Thursday

Penolakan terhadap anti-hadith

- Pertamanya, wajib umat mengetahui latar-belakang dan fahaman songsang anti hadith:

• Ajaran yang turut dikenali sebagai “Ajaran Al-Qur’an Menolak Hadith” ini dipercayai muncul di Amerika Syarikat hasil garapan seorang pemikir Islam, Rashad Khalifa. Rashad sebelumnya turut menggemparkan umat Islam seluruh dunia apabila memperkenalkan Kod 19, yang merupakan suatu penyelewengan besar kepada pentafsiran dalam Al-Qur’an.

• Di Malaysia, ajaran ini mula diperkenalkan dan dikembangkan sejak 1985 oleh tiga “tokoh pemikir” yang amat takjub dengan keupayaan akal mereka sendiri, iaitu Kassim Ahmad, Abdul Manan Harun dan Othman Ali.

• Isu anti hadith bertitik tolak apabila Kassim Ahmad yang mendokong idea Dr. Rashad Khalifa terutama penentangannya terhadap hadith dan penemuan Kod 19. Mereka bukan di kalangan ahli ilmuan Islam tetapi sengaja menulis dan membahaskan di kalangan Islam dengan berpandukan akal dan kaedah saintifik semata-mata. Ini dapat dilihat sebagaimana petikan kenyataan Kassim Ahmad yang disiarkan di dalam Akhbar Mingguan Islam pada 21 November 1985 seperti berikut:

“Perbincangan dan perbahasan ini dilakukan mengikut kaedah saintifik, semua fakta-fakta, kenyataan dan keterangan mestilah nyata, berwibawa, selaras dan benar dan semua hujah mestilah munasabah, logikal dan rasional.”

• Akibat terpengaruh dengan buku-buku tulisan Dr. Rashad Khalifa seperti buku “Quran The Final Scripture”, “Quran, Hadith And Islam” dan “Quran Visual Presentation Of The Miracle”, Kassim Ahmad telah memperkenalkan idea-idea berkenaan kepada umat Islam di negara ini dengan menulis beberapa artikel di dalam ruangan “Berani Kerana Benar” dalam akhbar Watan. Artikelnya yang bertajuk “Penolakan Teori Ahli-Ahli Hadith” telah menunjukkan pendiriannya dalam menolak hadith dan sunnah dalam Islam.

• Bermula bulan September 1985, Kassim Ahmad telah memperlihatkan peningkatan gerakannya dengan penganjuran Majlis Diskusi mengenai “Teori Hadith” di Pejabat ALIRAN (Aliran Kesedaran Rakyat) di Jalan Sungai Nibong, Bayan Baru, Pulau Pinang dan juga di rumah beliau di No. 8, Jalan Gajah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang yang dihadiri oleh beberapa orang kenalannya daripada ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Penyebaran ajaran sesat Kassim Ahmad telah disedari dan dikecam hebat oleh para ulama’ Islam dan akhirnya Kerajaan telah membatalkan beberapa siri ceramah beliau yang telah dirancangkan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan.

• Ekoran daripada kecaman dan kritikan ulama’-ulama’ tersebut serta tindakan Kerajaan membatalkan siri ceramahnya, maka pada bulan Mei 1986, Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku bertajuk “Hadith Satu Penilaian Semula” terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. Penulisan buku tersebut telah membangkitkan kemarahan dan menjadi suatu kontroversi yang meluas di kalangan umat Islam kerana antara lain buku tersebut mendokong fahaman penolakan hadith secara total sebagai salah satu sumber hukum Islam. Buku tersebut kemudiannya telah diharamkan oleh Kerajaan melalui Warta Kerajaan P.U.A 223 bertarikh 10 Julai 1986.

• Pada Oktober 1992, Kassim Ahmad sekali lagi telah mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam apabila beliau menulis sebuah buku yang bertajuk “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik” terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. dengan mesej yang sama iaitu
menolak hadith secara total. Kerajaan sekali lagi telah mengharamkan buku tersebut melalui Warta Kerajaan.

• Demikian juga halnya dengan Othman Ali. Karyanya, “Bacaan” (makna kepada perkataan Al-Qur’an dalam bahasa Melayu) memperjelaskan pegangan eratnya kepada ajaran anti hadith. Keseluruhan kandungan Bacaan adalah himpunan “tafsiran selapis” Othman kepada setiap bilah ayat Al-Qur’an yang berbahasa Arab. Othman sendiri pernah mengakui bahawa beliau tidak begitu arif dengan bahasa Arab tetapi masih mencipta Bacaan.

• Ajaran golongan intelek ini agak berbeza berbanding dengan kebanyakan ajaran sesat lain yang berkembang di negara ini. Jika kebanyakan ajaran lain mempraktikkan amalan tertentu seperti berzikir di tengah kepekatan malam serta amalan-amalan lain yang berbau khurafat sebagai identiti mereka, tidak pula demikian dengan anti hadith. Penyelewengan mereka ternyata bergaya apabila mereka mengenengahkan suatu “penyelewengan profesional” yang mereka dakwa sebagai “pembetulan” kepada “amalan sesat” yang diamalkan oleh umat Islam kini. Lebih tepat lagi, “sesatnya” umat Islam kini (seperti dakwaan mereka) kerana beramal ibadah dengan berpandukan hadith, sedangkan mereka beramal ibadah dengan berpandukan Al-Qur’an secara mutlak.

• Usaha golongan ini menolak hadith sebagai salah satu sumber hukum Islam bukan sahaja melalui buku-buku, malah juga disebarkan melalui pelbagai bentuk penulisan seperti penulisan risalah Iqra’, artikel dalam media cetak, dan kegiatan-kegiatan lain seperti majlis diskusi, forum, ceramah, usrah dan sebagainya. Buku dan risalah (seumpama Bacaan) menjadi medium utama kerana sebahagian besar pengamal ajaran ini merupakan intelektual yang tahu menulis apa sahaja. Manakala usrah pula merupakan cara paling mudah untuk menyebarkan fahaman ini kepada ahli-ahli baru.

KANDUNGAN BUKU DAN CIRI-CIRI KESALAHAN

1. Penyelewengan dari sudut `aqidah:

a) Menolak hadith secara total sebagai sumber `aqidah dan perundangan Islam.
Antara bahan-bahan penulisan mereka yang memuatkan fahaman ini ialah:
i.Buku “Hadith Satu Penilaian Semula” tulisan Kassim Ahmad:

“Hadith atau Sunnah Nabi suatu ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun kemudian dan yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad.” (hal. 18)
“Satu daripada kuasa-kuasa palsu yang dipegang oleh umat Islam lebih seribu tahun ialah hadith/sunnah.” (hal. 20)

“Kebanyakan hadith merupakan ‘omong kosong’ yang menyesatkan manusia dari jalan Tuhan tanpa pengetahuan.” (hal. 91)

“Hadith merupakan pandangan dan pendapat manusia yang tidak terjamin kebenarannya. Ia tidak lebih daripada tekaan dan agakan.” (hal. 112)

ii. Buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, hal. 12, tulisan Kassim Ahmad:

“Tesis-tesis saya dalam buku ini ialah bahawa umat Islam telah membelakangkan Al-Qur’an selama kira-kira 1,000 tahun dan ini telah menyebabkan kejatuhan mereka. Dan bahawa ajaran hadith/sunnah sebagai sumber hukum merupakan suatu perkembangan dan ajaran baru yang muncul kira-kira tiga ratus tahun

setelah Nabi Muhammad wafat, tanpa izin Nabi, dan tidak mempunyai autoriti dalam Al-Qur’an dan sejarah.”

iii. Buku “The Computer Speaks: God’s Message To The World”, hal. 507, tulisan Dr. Rashad Khalifa:

“Hadith and sunnah are false doctrines, and that we shall uphold Qur’an, the whole Qur’an and nothing but the Qur’an.”

“Hadith, sunnah and regulations made up by various imams are false doctrines sponsored by satan.”

iv. Risalah Iqra’, Sya`ban 1415H/Januari 1995M, hal. 3:

“Imam-imam penulis hadith juga telah membawa fahaman baru, iaitu hadith qudsi: ................................... kepercayaan seperti ini tidak lain daripada khurafat yang paling dahsyat.” 


Golongan anti hadith ini berfahaman bahawa dua kalimah syahadah yang diucapkan oleh umat Islam adalah dilarang oleh Al-Qur’an, kerana syahadah yang diwajibkan hanyalah “la ilaha illallah”.

Antara penulisan-penulisan mereka yang dikenalpasti mengembangkan fahaman ini ialah:

i. Buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, hal. 141, tulisan Kassim Ahmad:

“Al-Qur’an mengajar syahadah dalam tiga buah ayat, iaitu ayat 18, surah 3 yang menyatakan bahawa Tuhan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu bersaksi bahawa “Tiada Tuhan melainkan Allah”, ayat 19, surah 47 yang menegaskan “Ketahuilah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah” dan ayat 1, surah 63 yang membatalkan kenyataan orang-orang munafiq yang mendakwa “Kami bersaksi bahawa Muhammad Rasul Allah”.”

“Dua kalimah syahadah yang diajar dalam hadith itu bercanggah dengan ayat-ayat di atas.”

ii. Akhbar Utusan Malaysia 14 Julai 1995, kenyataan oleh Othman Ali:

“Selain itu, tambahnya, Al-Qur’an turut menyebut bahawa syahadat itu tiada Tuhan melainkan Allah sedangkan ulama’ mengajarkan kepada kita bahawa syahadat itu termasuklah juga bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bukan sahaja syahadat kita salah, malah ia juga mengakibatkan sembahyang kita salah kerana menyebut nama Nabi semasa tahiyyat awal dan akhir.”

iii. Buku “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu: Hadith Di dalam Al-Qur’an”, hal. 316, oleh Idris Abdul Rahman:

”Beriman kepada Nabi pada mereka bermakna beriman kepada hadithnya. Mereka gunakan dua kalimah syahadah sebagai bukti mereka. Kata mereka syahadah kepada Allah tidak boleh dipisahkan dari syahadah kepada Rasul. Ini sahaja mereka sudah mempersekutukan Allah dengan Rasul seolah-olah Allah tidak boleh berdiri dengan sendirinya.”

c) Menolak qadha’ dan qadar.

Kumpulan ini juga menolak kepercayaan kepada qadha’ dan qadar yang merupakan salah satu tonggak keimanan yang wajib dipegang oleh setiap umat Islam. Antara hujah mereka:

i. Petikan daripada risalah Iqra’ Jilid 3/Bilangan 1, Sya`ban 1415H/Januari 1995M, hal.

“Kepercayaan kepada taqdir yang dipegang oleh kebanyakan umat Islam hari ini dimasukkan ke dalam Rukun Iman dan berasal daripada hadith. Kepercayaan ini tidak ada, malah dibantah dalam Al-Qur’an. “Tidakkah fahaman ini melumpuhkan daya kreatif umat Islam dan menjadi punca utama kejatuhan mereka?”

ii. Petikan daripada buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, Kassim Ahmad, hal. 90:

“Faham qadha’ dan qadar ini sebahagian penting dalam teologi kaum Asy`ariyyah, berasal dari ajaran kaum stoik, dan dimasukkan ke dalam hadith, kerana ia tidak terdapat dalam Al-Qur’an, malah ia anti-Qur’an.”

iii. Petikan daripada cerpen “Politik” oleh Kassim Ahmad, Dewan Sastera keluaran Februari 1995, hal. 74:

“Isu Al-Qur’an itu sebenarnya saintifik dan rasional. Contohnya kepercayaan kepada taqdir baik dan jahat itu daripada Tuhan yang dirumuskan dalam hadith itu, bercanggah dengan ajaran Al-Qur’an dan ditolak oleh Al-Qur’an yang menggesa manusia bekerja kuat ke jalan kebaikan. Pegangan kepada hadith ini merupakan suatu punca besar kejatuhan umat Islam.”

d) Memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat Al-Qur’an.

Antara penyelewengan paling nyata yang dilakukan oleh golongan anti hadith ini ialah menterjemah dan mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut “selera” sendiri tanpa memperhitungkan disiplin ilmu Islam yang sebenarnya. Contoh ayat-ayat yang telah diselewengkan tersebut ialah:

i. Ayat 12, Surah At-Taghabun:

Ayat ini telah ditafsirkan dengan maksud bahawa taat kepada Rasul bermakna taat kepada wahyu (Al-Qur’an).

Penjelasan mengenai ayat ini dikembangkan oleh Kassim Ahmad, di dalam buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, hal. 26 & 27:

”Ayat ini menerangkan bahawa tugas Rasul hanyalah menyampaikan wahyu Allah, iaitu Al-Qur’an. Jadi, taat kepada Rasul bermakna taat kepada Allah yang diwakili oleh RasulNya dalam Al-Qur’an, dan berpegang kepada Al-Qur’an. Jadi, taat kepada Rasul dengan sendirinya bermakna taat kepada Allah dan berpegang kepada Al-Qur’an.”


”Bukti-bukti bahawa inilah makna ungkapan tersebut yang sebenar dapat dilihat dari kegunaan perkataan ‘Rasul’ dan bukan ‘Muhammad’, dan juga dari banyak ayat Al-Qur’an yang memerintah kita supaya tunduk, berpegang dan patuh hanya kepada Tuhan.”

ii. Ayat 114, Surah Hud:

Pengertian ayat ini telah diselewengkan dengan maksud bahawa sembahyang hanya tiga kali sehari, iaitu Subuh, Maghrib dan `Isya’.


”Othman memberikan contoh surah 11:114 yang berbunyi: ‘Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang dan awal malam’. Ayat ini bermakna sembahyang hanya tiga kali sehari, iaitu Subuh, Maghrib dan ‘Isya’.”
(Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, 14 Julai 1995, kenyataan oleh Othman Ali)

iii. Ayat 15, Surah Taha:

Pengertian ayat ini telah diselewengkan dengan maksud bahawa:

”Saat itu (tamatnya dunia) pasti tiba, Aku hampir-hampir merahsiakannya supaya tiap-tiap diri dibalas mengikut kerjanya.” (Petikan daripada buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik” tulisan Kassim Ahmad, hal. 57)

Dengan pentafsiran seperti di atas, golongan anti hadith ini mendakwa bahawa tarikh akan berlakunya qiyamat tidak menjadi rahsia kepada manusia, malah ianya boleh ditentukan dengan menggunakan kaedah Kod 19 (Lihat Perkara e).

e) Mempertikaikan kesahihan ayat-ayat Al-Qur’an.

Selain daripada memesongkan pengertian ayat-ayat Al-Qur’an, golongan ini juga didapati telah mempertikaikan kesahihan ayat 128 dan 129, Surah At-Tawbah. Kassim Ahmad melalui bukunya “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, hal. 60, mendakwa bahawa terdapat sabotaj dalam penulisan kedua-dua ayat ini kerana ia tidak dapat diselaraskan dengan Kod 19.


”Kita tidak boleh meninggalkan bab ini tanpa menyebut suatu lagi pendedahan besar yang telah dibuat oleh Kod 19. Bukhari dan As-Suyuti (811 T.M.) menyatakan bahawa ketika Khalifah `Uthman melantik sebuah suruhanjaya untuk menyemak naskhah-naskhah Al-Qur’an yang wujud pada waktu itu, termasuk menyemak dengan mereka yang menghafal Al-Qur’an untuk mengadakan suatu naskhah Al-Qur’an yang rasmi, suruhanjaya itu mendapati bahawa tiap-tiap ayat Al-Qur’an disahkan oleh banyak saksi, kecuali ayat-ayat 128 dan 129, surah 9. Tetapi yang amat memeranjatkan itu bila kita dapati bahawa kedua-dua ayat ini, dari segi huruf, perkataan dan ayat - ditolak oleh Kod 19. Ini bermakna Kod 19 mengesahkan dua kenyataan sejarah oleh Bukhari dan As-Suyuti yang kita petik tadi bahawa ayat-ayat ini ialah tambahan yang tidak terdapat dalam Al-Qur’an”.

f) Mendakwa qiyamat akan berlaku pada 1710H/2280M.

Golongan anti hadith ini juga mendakwa qiyamat akan berlaku pada 1710H/2280M berdasarkan kepercayaannya kepada Kod 19. Kenyataan ini terkandung di dalam buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, hal. 59, tulisan Kassim Ahmad.


”Angka 309 ada disebut dalam Al-Qur’an dalam konteks yang berkaitan dengan tamatnya dunia dan qiyamat. Ini bermakna Al-Qur’an sendiri mengesahkan tarikh tamatnya dunia dan qiyamat. Oleh yang demikian, dunia ini akan berakhir 309 tahun Hijrah dari 1400 atau 300 tahun Masihi dari 1980 pada 1710 T.H. bersamaan dengan 2280 T.M.”


g) Menolak berlakunya seksaan kubur selepas mati.

Golongan anti hadith ini juga didapati menafikan berlakunya perkara “ghaib selepas mati”, seperti seksaan kubur selepas mati kerana ia tidak disebut di dalam Al-Qur’an dan hadith-hadith mengenainya adalah palsu belaka. Contohnya, petikan daripada buku “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu: Hadith Di Dalam Al-Qur’an”, Idris Abdul Rahman, hal. 269:
”Hamdan tak jumpa dalam Al-Qur’an. Ajaran ada seksa kubur menunjukkan seolah-olah Nabi mengajar yang Tuhan itu tak adil dan zalim. Dia melaksanakan hukuman sebelum dihukum atau didengar dan dibuktikan apa-apa kesalahan. Ini semua hadith palsu.”
Penolakan ini dinyatakan oleh Kassim Ahmad sendiri melalui akhbar Utusan Malaysia, 14 Ogos 1995:

”Allah tidak akan menghukum manusia sebelum dibicarakan di Padang Mahsyar. Mati ibarat tidur dan jangka waktu di antara mati dengan hari pembalasan bagi mereka (yang sudah mati) adalah terlalu cepat.”

h) Menafikan kedudukan Nabi Adam sebagai manusia pertama ciptaan Allah subhanahu wata`ala.
Kassim Ahmad juga menafikan tentang kejadian Nabi Adam, seperti dakwaannya yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia, 14 Ogos 1995:
 

”Nabi Adam bukanlah manusia pertama secara mutlak yang dicipta oleh Tuhan tetapi ia lebih merujuk kepada tiga konsep. Pertama, jelas Dr. Kassim Ahmad, Adam melambangkan manusia, kedua, ia mewakili masyarakat awal tamadun manusia dan ketiga, mewakili rasul-rasul yang pertama dalam masyarakat mereka.”

”Sehubungan dengan itu, tambahnya lagi, manusia pertama dicipta oleh Tuhan sebenarnya wujud di beberapa tempat dan mereka boleh dianggap sebagai Adam.”


”Ini benda yang belum pasti Adam bukan ada di satu tempat. Ia ada di beberapa tempat. Manusia yang asal, kita kata Adam dan orang yang menjadi guru yang Allah hantar untuk mereka, juga kita namakan Adam.”

i) Menolak kema`suman para Nabi.

Fahaman ini telah dicetuskan oleh Dr. Rashad Khalifa melalui bukunya “The Computer Speaks: God’s Message To The World”, hal. 507:


”And that Mohammad the man committed many mistakes.”
 

Idea yang menyeleweng ini diperkukuhkan lagi oleh Kassim Ahmad melalui bukunya “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, hal. 4:

”Jika para nabi itu ma`sum, mereka bukan lagi manusia. Jika mereka bukan manusia, bolehkah mereka menjadi teladan kepada manusia?”

2. Percanggahan dari sudut syari`ah:

a) Menolak pensyari`atan sembahyang.

i. Di dalam beberapa penulisan mereka, kumpulan ini mendakwa bahawa melaksanakan syari`at Islam cukup dengan Al-Qur’an sahaja, contohnya dalam kaifiyat melaksanakan ibadat sembahyang.
“Umat Islam tidak perlu merujuk kepada amalan Rasulullah kerana amalan sembahyang telah pun ada sejak zaman Nabi Ibrahim. Oleh yang demikian kita boleh melakukan sembahyang dengan cara meniru cara datuk nenek kita melakukannya mengikut cara asal Nabi Ibrahim, Ismail, Ya`kub, Musa, `Isa dan pengikut-pengikut mereka.
 

Disebabkan Al-Quran tidak menyebutkan perincian, maka cara melakukannya bolehlah dengan akal dan perundingan.” (Fakta ini dipetik daripada buku “Hadith Jawapan Kepada Pengkritik”, Kassim Ahmad, hal. 40-41)

ii. Petikan daripada buku “Hadith Satu Penilaian Semula”, Kassim Ahmad, hal. 99:

“Mengikut hadith, perintah sembahyang diterima oleh Nabi Muhammad di dalam perjalanan “Malam Isra’ dan Mi`raj” di mana cerita-cerita hadith menggambarkan beliau tawar menawar dengan Tuhan tentang bilangan waktu sembahyang untuk umat Islam dengan Nabi Musa sebagai penasihat beliau: Nyatakan ini satu cerita rekaan untuk menyedapkan telinga yang mendengar.”

iii. Proses pensyari`atan sembahyang ini kemudiannya telah diselewengkan lagi oleh Othman Ali, penulis buku “Bacaan” yang mengatakan bahawa:

“Ayat ini bermakna sembahyang hanya tiga kali sehari iaitu Subuh, Maghrib dan `Isya’, tapi ulama’ mengajar kita sembahyang lima kali sehari. Ini satu pembohongan,” jelasnya. Sembahyang juga, kata beliau minimumnya satu raka`at sahaja dan umat Islam juga boleh menggunakan apa sahaja bahasa semasa menunaikannya, termasuk semasa membaca Surah Al-Fatihah.”

(Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, 14 Julai 1995)  


Kumpulan anti hadith ini juga didapati menolak ketetapan yang telah disyariatkan oleh Islam tentang aurat wanita yang wajib dipelihara dan diikuti oleh setiap umat Islam.

i. Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, 14 Ogos 1995, kenyataan oleh Kassim Ahmad:

“............ wanita Muslim boleh memakai apa sahaja pakaian walaupun mendedahkan anggota-anggota berkenaan dengan syarat ia hendaklah bersopan dan tidak menyalahi adat serta budaya masyarakat setempat. Aurat ialah menutup bahagian sulit yang apabila kita dedahkan menjadi sumbang kepada masyarakat. Tanda tentang aurat ialah wudhu’. Semasa wudhu’, Allah menyuruh kita membasuh muka, tangan dan menyapu kepala. Maknanya kepala itu tidak ditutup, kerana kalau kepala ditutup, tentu Tuhan tidak menyuruh kita menyapunya.”

ii. Petikan daripada surat Puan Kalsom Abd. Rahman, isteri kepada Wadan Kassim yang telah dikemukakan kepada BAHEIS pada 15 Disember 1994:

“Surah An-Nur, ayat 31 menyuruh wanita menutup dada dan bukan kepala mereka. Surah Al-Ahzab juga menjelaskan lagi hal yang sama “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mu’min, hendaklah mereka menutup baju luar mereka ke seluruh badan mereka. Dengan begitu, mereka lebih mudah untuk dikenal dan mereka tidak diganggu ....
Ayat ini juga menyuruh tutup badan sahaja dan bukan kepala. Apabila kepala ditutup, tambahan dengan memakai purdah, tentulah susah dikenali.”

3. Percanggahan dari sudut akhlaq:

a) Menghina peribadi dan kedudukan Rasulullah. Antara contoh penghinaan tersebut yang dimuatkan dalam penulisan mereka ialah:

i. Petikan surat daripada Abdul Manan Harun kepada Datuk Abu Hasan Din, 5 Ogos 1989: “Cuba saudara beri maksud, apabila saudara membaca semasa bertahiyyat, betulkah Allah memerintah kita mengucapkan assalamu`alaikum kepada Nabi semasa Allah memerintah kita bersolat dengannya? Agak-agak saudara apabila memberi salam kepada Nabi Muhammad semasa kita bersolat dengan Allah, Nabi boleh membalas balik salam kita atau tidak?”

ii. Petikan daripada risalah Iqra’, Jilid 3/Bilangan 3, Muharram 1416H/1995M, hal. 3:

“Adakah Nabi Muhammad seorang manusia yang berakhlaq tinggi, setelah berjuang selama 23 tahun menyeru manusia kepada agama tawhid yang diajar oleh semua nabi, menyuruh umat Islam mengucap dua kalimah syahadah yang mengutamakan beliau sendiri mengatasi nabi-nabi lain?”

”Menyebut nama Nabi Muhammad dalam kalimah syahadah melanggar perintah Tuhan yang menegah kita daripada membeza-bezakan di antara rasul-rasulNya (rujuk 2:285).”

iii. Petikan daripada surat Puan Kalsom Abd. Rahman, isteri kepada Wadan Kassim yang telah dikemukakan kepada BAHEIS pada 15 Disember 94:
”Rasul (Muhammad) adalah sama seperti posmen dan dia adalah manusia biasa, tidak perlu didewa-dewakan atau dipertuhankan.“

Kumpulan anti hadith ini juga sering kali mencerca dan memfitnah para ulama dengan berbagai tuduhan melalui penulisan-penulisan mereka. Contohnya:

i. Petikan dari buku “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu: Hadith Di dalam Al-Qur’an”, Idris Abdul Rahman, hal. 147:

“Seperti Samiri yang telah menggunakan ‘berhala anak lembu’ yang telah dibentuk atas arahannya untuk menyesat dan menindas umat Nabi Musa, begitu juga ulama’ hadith yang lampau ini telah menyesat dan menindas umat Muhammad dengan menggunakan hadith Nabi rekaan mereka. Melalui ajaran mereka, orang-orang Islam telah menjadi orang-orang Musyrik penyembah berhala atau penyembah ulama’ yang telah membentuk hukum-hakam rekaan mereka melalui apa yang mereka katakan sebagai hadith Nabi. Bukanlah berhala anak lembu yang telah menyesatkan umat Nabi Musa bahkan Samiri. Dan bukanlah hadith Nabi yang telah menyesatkan umat Nabi Muhammad bahkan ulama’ hadith yang lampau ini. “

ii. Petikan daripada akhbar Berita Harian, 14 Julai 1995, tulisan Wadan Kassim, hal. 10:

“Seperti yang diberitakan, RM 3 juta wang rakyat digunakan untuk pelajar negeri Kelantan sahaja yang di peringkat darjah enam ke bawah supaya mereka mahir melagu-lagukan Al-Quran sebagai syair. Wang RM 3 juta itu tentunya akan masuk ke dalam saku guru-guru syair. Apabila umat sudah mempelajari Al-Qur’an, ulama’ akan kehilangan pengaruh dan fungsi mereka. Agama tidak akan menjadi punca rezeki yang lumayan lagi.”

Selain daripada itu mereka juga memfitnah para ulama’ melalui ayat Al-Quran dengan memesongkan pengertian ayat tersebut, contohnya, petikan daripada akhbar Berita Harian, 14 Julai 1995, tulisan Wadan Kassim, hal. 10:

”Dalam hal ini Al-Quran mengatakan: “Wahai orang beriman sesungguhnya kebanyakan pendita-pendita dan `alim ulama’ itu memakan harta manusia dengan cara yang palsu (batil) dan mereka menghalang orang daripada jalan Allah.”

c) Mencabar dan mempertikaikan kewibawaan pihak berkuasa agama.
 

Kumpulan anti hadith ini sering kali mencabar Kerajaan, khususnya pihak berkuasa agama supaya mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya benar fahaman yang dibawa oleh mereka bertentangan dengan ajaran Islam. Contohnya, petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, 26 Julai 1995, kenyataan oleh Kassim Ahmad:

Kassim Ahmad hari ini mencabar Pusat Islam serta Jawatankuasa Majlis Agama supaya mendakwanya jika beliau dan anggota-anggota Persatuan Jemaah Al-Qur’an Malaysia (JAM) benar-benar menyeleweng.”

”Saya fikir saya tidak buat salah malah hadith itu perlu dikaji dengan teliti mengikut al-Quran.”

Selain daripada itu, corak propaganda kumpulan anti hadith ini yang mempertikaikan tindakan dan kewibawaan pentadbiran agensi-agensi agama adalah merupakan elemen menghasut yang boleh mencetuskan kesangsian terhadap kewibawaan Kerajaan. Contohnya, petikan daripada akhbar Watan, 24 Julai 1995, kenyataan oleh Kassim Ahmad:

”Saya yakin pengharaman itu dibuat berdasarkan pendapat daripada sesetengah ulama’ yang mendesak Kerajaan bertindak demikian dan bukan daripada penelitian yang mendalam. Ini satu perkembangan yang tidak sihat dan bahaya kepada individu Islam yang mahu mengembangkan syi`ar Islam.”

d) Tidak mengikut disiplin ilmu-ilmu Islam.

Dalam menyampaikan ajaran Islam, kumpulan anti hadith juga tidak menggunakan panduan yang berlandaskan kepada ajaran agama, sebaliknya mereka menggunakan pendekatan saintifik dalam menyampaikan ajaran Islam. Mereka menolak penggunaan Al-Qur’an, hadith, ijma` ulama’ dan qiyas di samping membelakangkan disiplin ilmu-ilmu Islam yang boleh membawa kepada penyelewengan. Kumpulan anti hadith ini turut enggan menggunakan buku-buku rujukan yang mu`tabar dalam menterjemahkan ayat-ayat Al-Qur’an, `aqidah dan syari`ah. Malah mereka lebih gemar menggunakan buku-buku yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa, dan lain-lain buku karangan sarjana orientalis seperti Ignaz Goldzihar dan Joseph Schacht.
 



Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai