Monday

Tashahid niat

Sesungguhnya niat itu adalah puncak segala amalan solehan. Bila seseorang itu berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan, walaupun dia belum melakukannya, dia telah mendapat pahala, sedangkan bila seseorang insan itu melakukan bertimbun amalan solehan, namun tanpa keikhlasan, maka segala amalan solehannya tertolak.
Dalam pada itu, Imam Ghazali rah.a pernah berkata, untuk menghalang seseorang insan itu dari melakukan sesuatu amalan solehan, dari mulanya, syaitan cuba sedaya menghasut dan membuat khayalan dalam fikiran insan tersebut agar perbuatan amalan solehan itu tidak dilakukannya. Namun, bila insan tersebut tetap melakukannya dan tidak menghiraukan hasutan syaitan, maka syaitan akan membisikkan dihati insan tersebut bahawa amalan yang dilakukannya adalah tiada keikhlasan dan tanpa keikhlasan, segala amalan solehannya tidak bernilai dan apa yang dilakukan adalah sia-sia. Sehingga timbul perasaan was-was didalam diri insan tersebut untuk terus melakukan amalan solehannya dan bilamana insan tersebut meninggalkan segala amalan solehannya, maka berjayalah sisyaitan.
Justeru itu, tidak patutlah bagi kita untuk meninggalkan amalan solehan kita kerana berfikir, apa yang kita lakukan adalah tiada keikhlasan. Bahkan, kita sewajarnya sedaya upaya menghadirkan keikhlasan dalam amalan solehan kita dimana sentiasa cuba memperbaharui niat kita, Tashahid niat, iaitu memperbaharui niat harus dilakukan diawal perbuatan, dipertengahan perbuatan dan diakhir perbuatan.
Keikhlasan itu sendiri adalah milik Allah dan Allah mampu menitipkan dihati sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, kerana itu juga, pentingnya kita sentiasa berdoa kepada Allah Taala untuk membantu kita membawa keikhlasan didalam setiap amalan kita.
Segala amalan solehan, mempunyai kekuatannya tersendiri. Kerana itu, banyaknya ayat-ayat Al Quran dan juga hadis menyebut tentang kepentingan beramal soleh.
Setiap dari kita tahu akan riwayat bagaimana Nabi Adam a.s dijadikan dari tanah dan pada mulanya tiada ruh, dan Sang Iblis yang memasuki jasad tersebut dan mendapati, tiada apa-apa kelebihan pada jasad tersebut, tetapi bila ditiupkan ruh kedalam jasad Nabi Adam a.s, maka jadilah beliau mahluk yang mulia yang mana segala para malaikat termasuk Sang Iblis, diperintahkan sujud hormat padanya. Sebegitulah insan ini, mungkin pada mulanya, dia belum mencapai tahap yang mana dia akan dimuliakan oleh para Malaikat dan juga mahluk yang lain, dan amalannya belum tidak diterima oleh Allah Taala kerana tiada keikhlasan, tetapi, bila dia berterusan beristiqamah dalam amalan solehannya, maka sampai kesatu peringkat, jadilah dia insan solehan dengan penuh sifat-sifat keikhlasannya dan sifat-sifat murni yang lain, yang mana meletakkannya kesuatu tahap sebagai insan mulia dan dihormati oleh setiap mahluk, mahupun diredhai oleh Allah Taala dan seterusnya, amalannya diterima oleh Allah Taala. (Yakin pada Allah Taala dan yakin pada segala perintah Allah Taala)
Memang pasti, tiada siapa pun dapat memasuki syurga biarpun bertimbun amalan solehannya tanpa mendapat kerahmatan dari Allah Taala, namun yang pasti, dengan segala amalan solehan yang dikehendaki oleh Allah Taala untuk setiap insan supaya berusaha melakukannya, mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, insan itu sendiri "menarik" rahmat Allah agar dicucurkan kepadanya.

Sunday

Amal Ijtimai dan amal Infiradi

Semua amal yang kita lakukan untuk usaha agar agama yang sempurna tersebar keseluruh alam, mahupun bagaimana agama yang sempurna dapat datang kedalam diri dan keluarga kita adalah sebenarnya untuk memajukan diri kita sendiri. Melalui usaha ini, Allah akan mengangkat darjat seseorang dan untuk mereka yang gigih bermujahadah diatas jalan Allah, merekalah yang pertama-tamanya mendapat keuntungan dalam bentuk hidayat (petunjuk) menuju kearah kebenaran dan kehidupan yang diredhai Allah, dan malah dari itu, Allah akan menjadikan mereka asbab khair, punca kebaikan untuk semua.
Usaha-usaha yang dilakukan adalah keatas Iman dan amal solehan. Biasanya, kalau kita memperkatakan tentang amal-amal solehan, iainya terbahagi kepada dua iaitu amal Ijtimai (berjemaah atau beramai-ramai seperti solat berjemaah, majlis-majlis agama, masyuara dll) dan amal infiradi (amalan solehan yang dilakukan bersendirian seperti berzikir, tilawat Al Quran, solat sunat dll)
Kelebihan amal Ijtimai dengan amal Istimai adalah seperti lautan jika dibandingkan dengan air yang setitik. Amal Ijtimai yang dilakukan dalam keadaan beramai-ramai, biasanya ganjarannya begitu tinggi namun masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Tanpa air setitik, bagaimanakah untuk menghasilkan air selautan dan malah kita pernah mendengar perbahasa "kerana nila setitik, habis susu sebelangga dirosakkan".
Sebegitulah pesan Maulana Inamul Hasan rah: "Melalui amal Infiradi, amal Ijtimai akan mempunyai kekuatan. Perhatian khas hendaklah diberikan didalam berzikir dan membaca Al Quran dengan beristiqamah".
Salah satu kelebihan amal Ijtimai adalah dapat melindungi dan menampung kekurangan diri. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, yang lebih kurang maksudnya, bahawa bila seekor kambing biri-biri keseorangan, maka mudahlah untuk serigala membahamnya dibandingkan dengan kambing biri-biri yang berkumpulan, sebagaimana itulah, bila seseorang itu sentiasa bersendirian, maka mudahlah untuk syaitan mengoda atau menghasutnya, dibandingkan bila seseorang itu dalam berjemaah. Contohnya bila seseorang itu berjemaah atau duduk bersama kumpulan-kumpulan yang menyeru dan mengamalkan kebaikan, dapatlah dia untuk nasihat-menasihati, bertukar-tukar pandangan, bermasyuara tentang hal-hal penting, belajar sifat-sifat mulia dari yang lain, belajar memahami perasaan orang lain serta belajar bertolak-ansur dan mahupun dapat menghakis perasaan segan diri yang tidak bertempat.
Kerana itu, memang ditekankan akan kepentingan amal Ijtimai seperti contoh solat berjemaah yang mana merupakan salah-satu sunnah terbesar Rasulullah s.a.w dan para-para Sahaba r.a. Rasulullah s.a.w, sepanjang riwayatnya diMadinah, sentiasa bersolat berjemaah. Sebegitu juga solat Jumaat yang mana menghimpunkan para penduduk disatu-satu qariah pada setiap hari Jumaat adalah begitu ditekankan untuk dikerjakan oleh pihak lelaki muslim.

Saturday

Mengikut usul untuk mendekati Allah

Untuk mendekatkan diri pada Allah dan membuatNya redha pada kita dan malah menjadikan kita asbab khair (kebaikan), usul dan tertib usaha agama adalah penting untuk diikuti dan dilazimkan kedalam kehidupan harian kita. Rasulullah s.a.w dan para sahaba dan sahabi r.a telah mempamirkan kepada kita suatu corak kehidupan yang ada usul dan tertibnya. Jadi bila kita terokainya dan mengambil usul serta tertib ini kedalam kehidupan kita, maka kejayaanlah menanti kita serta umat sekeliannya.
Kejayaan, kemulian mahupun kehinaan umat tidaklah terletak ditangan Amerika, Rusia, China dan lain-lain. Tidak juga terletak dalam cara bangsa masing-masing, tetapi terletak didalam usul dan tertib agama yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w serta para sahaba ajjmain. Segala dari dunia ini yang kita gunakan hanyalah merupakan alat, bukan matlamat, sedangkan cara yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah matlamat dalam mencapai kejayaan didunia dan akhirat. Alat mungkin dapat menyelamat dan mungkin juga tidak, tetapi pencapaian matlamat adalah bererti pencapaian kejayaan yang menyelamatkan umat didunia dan diakhirat.
Sebagaimana yang kita fahami, segala yang dibangunkan, jika kita berkeinginan ia dapat membangun secara baik, stabil dan dapat dimanfaatkan, bergantung kepada perlaksanaan usul dan tertib dalam pembangunannya. Contohnya, bila seseorang itu membangunkan bangunan yang tertinggi didunia, tetapi tidak mengikuti usul dan tertib buat asas tapak pembinaan tersebut, maka bila datang sahaja gempa bumi hatta dengan skala yang kecil, runtuhlah bangunan tersebut.
Bani Israel adalah dari keturunan para Anbiya, tetapi apabila mereka merosakkan usul, sekali-gus mereka telah merosakkan agama yang benar dan berlanjutanlah mereka tinggal dalam kemurkaan Allah. Sebaliknya, para Sahaba dan Sahabi r.a adalah dari keturunan penyembah berhala, tetapi kerana mereka menghidupkan usul dan tertib dalam beramal, yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, lalu Allah meredhai mereka dan memuliakan mereka. Hingga keumat kini mahupun generasi seterusnya, mengambil contoh dan ilmu pengetahuan dari mereka.

Friday

Asas usaha agama...

Asas usaha agama dapat kita ambil dari para-para Sahaba dan Sahabi yang mana dididik terus dari Rasulullah s.a.w. Dan sebagaimana asas yang paling utama dalam usaha keatas agama adalah kalimah Lailahaillallah itu sendiri. Mereka, para pengusaha agama terdahulu, telah mematikan segala jasbah (semangat) dan tinggallah hanya jasbah (semangat) untuk berkorban pada Allah Taala. Dengan itu, Allah telah menurunkan rahmat dan hidayat dan menjadikan mereka asbab hidayat buat generasi seterusnya dan menjadikan amalan mereka sebagai cahaya untuk menerangi kegelapan batil didunia.
Kerana itu, asas usaha pertama kita adalah membawa kalimah Laillahaillallah kedalam hati kita dan hati umat keseluruhannya. Usaha buangkan segala berhala-berhala didalam hati kita seperti keberhalaan patong kufur, patong syirik, patong riak, patong sombong dan seterusnya dan memasukkan hanya keesaan Allah dengan segala kebesaranNya kedalam hati kita. Apabila hati-hati kita dipenuhi oleh nur kalimah Laillahaillallah, maka Allah akan memberi kita kafiat dan Allah akan sebarkan nur yang ada didalam hati kita buat kebaikan insan keseluruhannya. Sebab itu, pentingnya setiap insan melakukan usaha keatas agama.
Dan semakin banyak usaha, semakin banyak pengorbanan yang dilakukan, semakin kita akan dekat dengan Allah dan diredhaiNya. Para-para Sahaba dan Sahabi sendiri, begitu banyak mujahadah dan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka, hingga mereka mendapat mencapai maqam, "orang yang diredhai Allah". Dihari para Sahaba dan Sahabi menyatakan keIslamanan mereka, bermakna dimana hari penyerahan dalam mana segala yang dimiliki samaada dari segi kewangan, kesihatan mahupun waktu, adalah milik Allah semata-mata dan sayugia diserahkan kembali pada Allah Taala. Dasar penyerahan mereka inilah menyebabkan keimanan yang sebenar ada dalam diri mereka. Agama diutamakan lebih dari segalanya, bila terdengar panggilan-panggilan untuk memenuhi tugas-tugas agama, merekalah yang berdiri didepan menyahutnya.
Perlu ditekankan, walaupun semua insan berjaya atau gagal, iainya tidak memberi apa-apa kesan pada Allah, tidak menambah kekuatanNya, mahupun mengurangkan kekuatanNya. Allah yang mencipta segalanya, tidak memerlukan apa-apa usaha dari kita, segala usaha yang kita lakukan, yang mendapat keuntungannya adalah diri kita sendiri, kerana Allah telah menjadikan kehidupan kita ini sebagai medan atau ladang buat kita, untuk menghasilkan suatu kebaikan atau pun sebaliknya. Dan Allah dengan rahmatNya telah mengutus Rasulullah s.a.w dan seterusnya para-para Sahaba mahupun Sahabi untuk kita tauladani, apa dan bagaimana usaha dilakukan.

Tuesday

Awal dan akhir kehidupan manusia.

Awal dan akhir manusia adalah debu. Bermula seperti debu, dan sampai ketikanya akan berakhir lalu lebur kembali menjadi debu. Bukan sahaja manusia, malah segala benda datangnya dari debu dan akan kembali semula padanya. Inilah intipati atau hakikat dunia.

Dalam masa diantara kewujudannya yang singkat, perhiasan dan kecantikan muncul, dan terbit dalam berbagai-bagai bentuk rupa, fikiran, warna, bunyi-bunyian dan seterusnya. Sebegitulah dengan hayat manusia, didalam tempoh hayatnya, akan wujud perhiasan dan kecantikan buatnya.

Samaada dari sudut harta, rupawan, zuriat-zuriat dan berbagai-bagai perkara yang lainnya yang mana memikat dan menakluk hatinya. Akan tetapi, dari itu, ramai manusia terlupa permulaannya dan memalingkan wajahnya dari tempat dirinya akan berakhir.

Lalu tenggelamlah dia dalam waktu kehidupannya yang singkat dengan segala perhiasan dan kecantikan dunia hingga terlupa bersiap untuk menempuh waktu yang kehidupannya akan berkekalan nanti.

Sebagaimana tersebutlah kisah yang mana seorang Raja menawarkan sesuatu sebagai pertukaran untuk intan yang dimiliki oleh seorang pemuda, yaitu, pemuda tersebut berhak mengambil apa sahaja dari kamar khazanah sang Raja, tapi dengan syarat, waktunya hanyalah dari waktu matahari terbit, hingga kewaktu zohor.

Selepas itu, segala yang ada didalam kamar khazanah akan dimiliki kembali oleh sang Raja, manakala apa yang dapat dikeluarkan dari kamar khazanah, akan sang Raja berikan pada pemuda tersebut sebagai pertukaran dengan intan yang dimiliki oleh pemuda tersebut. Lalu pemuda tersebut pun bersetuju.

Keesok harinya, sipemuda menanti dengan penuh gelisah didepan pintu kamar khazanah Sang Raja. Bila sahaja matahari terbit, maka pintu kamar khazanah Sang Raja pun dibuka oleh hulubalangnya.

Bergegaslah pemuda tersebut memasukinya, dan alangkah terkejutnya melihatkan segala isi yang ada didalamnya. Kamar khazanah Sang Raja terlalu luas, seakan tiada penghujungnya, dan penuh dengan segala perhiasan-perhiasan yang memukaukan mata yang melihatnya. Kerana sipemuda masih mempunyai waktu yang panjang, maka dia bercadang bersiar-siar dahulu didalam kamar tersebut.

Dalam pada itu, matanya terpaut pada satu katil berukir begitu cantik yang diperbuat dari emas dan bertilam-bantal empuk yang disalut dengan sustera halus serta penuh dengan perhiasan. Teringin benar sipemuda untuk berbaring diatas katil tersebut.

Lalu sipemuda pun merebahkan badannya keatas katil tersebut, dan oleh kerana empuknya tilam katil tersebut, sipemuda pun terlelap. Tiba-tiba hulubalang sang Raja mengejutkannya dan memberitahu, waktu zohor telah masuk, lalu menangkapnya dan memasukkannya kedalam penjara untuk dijadikan hamba abdi kepada sang Raja kerana begitulah perjanjiannya dengan sang Raja. Kini menyesallah sipemuda, hanya kerana terlelap diatas katil emas yang penuh perhiasan itu, dia kini kehilangan intannya mahupun juga harga dirinya.
Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai