Wednesday

Dakwah nafi isbat - 1


ALlah swt Maha Rahim. Allah swt Maha Karim.

Allah swt Khaliq, yang mencipta. Allah swt mencipta matahari yang bersinar saban waktu dan tiada siapa yang mampu mencipta walau hanya sebiji matahari melainkan Allah semata-mata. Allah mencipta bumi yang terhampar dengan segala diatas mahupun didalamnya dan tiada siapa yang mampu mencipta walau sebiji pun bumi melainkan Allah semata-mata. Allah yang mencipta langit tanpa tiang dengan segala planet-planet yang berligar dalam orbitnya dan tiada siapa pun mampu mencipta sepertinya melainkan Allah semata-mata.

Allah yang mencipta segala macam tumbuh-tumbuhan dari biji-bijian, bunga-bunga yang berbagai warna, pokok-pokok yang menghasilkan berbagai rasa buah-buahan dan tiada siapa yang mampu menciptanya melainkan Allah semata-mata. Allah mencipta segala macam kehidupan dari haiwan yang berenang, melata hingga yang berjalan kaki dan tiada siapa yang mampu menciptanya melainkan Allah semata-mata.

Allah juga yang mencipta keadaan-keadaan, keadaan sejuk, panas, suka, duka, senang, susah, aman, huru-hara serta seterusnya dan tiada siapa yang mampu mencipta keadaan-keadaan melainkan Allah semata-mata.

Sebagaimana Allah mencipta mahluk dan keadaan, sebegitulah juga, segala khazanah Allah tiada batasnya. Segala yang ada dari permulaan mahluk hingga keakhir mahluk tiadalah dapat dibandingkan dengan khazanah Allah. Segala harta-benda jika dikumpulkan dari permulaan insan hingga keakhir insan yang lahir tiadalah dapat dibandingkan dengan khazanah Allah. Segala pengetahuan insan jika dikumpulkan dari permulaan insan hingga keakhir insan yang hadir tiadalah dapat dibandingkan dengan pengetahuan Allah.

Dalam khazanah Allah juga tiadalah terbatas khazanah keadaan. Kegembiraan yang diperolehi oleh seluruh penghuni dunia ini jika dibandingkan dengan kegembiraan seorang penghuni syurga yang terendah sekali hanyalah seperti setitis air dilautan dalam. Kesusahan seluruh penghuni dunia ini jika dibandingkan dengan kesusahan seorang penghuni neraka adalah seperti setitis air dilautan dalam. Keamanan yang dimiliki oleh seluruh penghuni dunia ini jika dibandingkan dengan keamanan seorang penghuni syurga adalah seperti setitis air dilautan dalam. Kehuru-haraan seluruh penghuni dunia jika dibandingkan dengan kehuru-haraan seorang insan dipadang masyhar adalah seperti setitis air dilautan dalam. Kekayaan yang dimiliki oleh seluruh penghuni dunia ini jika dibandingkan dengan kekayaan yang dimiliki oleh seorang penghuni syurga adalah juga seperti setitis air dilautan dalam.

Saturday

kisah 3 hari 3 malam


Rasulullah s.a.w yang pernah ditawarkan kedudukan yang tinggi oleh kaum musyrikin diMekah agar meninggalkan usaha keatas Iman, namun ditolak oleh beliau dan malah ditegaskan oleh beliau, biarpun diletak matahari disebelah tangan kanan manakala bulan disebelah tangan kiri beliau, beliau tetap tidak akan melepaskan usaha keatas Iman. Begitulah Rasulullah dan juga para sahaba-sahabi sanggup menempuh apa juga kesukaran semata-mata kerana usaha keatas Iman. Dan dalam menyelamatkan Iman dan juga usaha keatas Iman, Rasulullah s.a.w dan para Sahaba serta sahabi telah berhijrah, meninggalkan harta-benda, kampung halaman, sanak saudara dan berkorban semata-mata kerana usaha ini.
Kisah penghijrahan Rasulullah bersama Syaidina Abu Bakar dari Mekah keMadinah adalah suatu pelajaran yang amat berguna, dan malah seluruh kehidupan beliau adalah suatu misal yang patut direnungi. Bagaimana Rasulullah bersama Syaidina Abu Bakar bersembunyi selama 3 hari 3 malam didalam gua semasa dikejar oleh kaum musyrikun Mekah, dan Syaidina Abu Bakar yang ketakutan dan risau, bukan atas dirinya tetapi risau sesuatu terjadi pada Rasulullah, ditenangkan oleh Rasulullah dengan kata-kata "Allah bersama kita". (Berbeza dengan Nabi Musa dan kaumnya, yang mana bila mereka sampai dipinggir laut Merah, dan mereka begitu ketakutan kerana Firaun serta tenteranya dibelakang mereka, Nabi Musa memberitahu kaumnya, "Allah bersamaku")
Semasa kaum musyikun Mekah bertemu dengan gua yang didalamnya terdapat Rasulullah dan Syaidina Abu Bakar, pintu gua telah dipenuhi oleh sarang labah-labah yang mana Allah memerintah sang labah-labah membina sarangnya. Allah mampu sahaja mengalihkan pandangan kaum musyrikin Mekah ketempat lain atau terus sahaja menghapuskan mereka, tetapi kisah ini menayangkan bahawa Allah mampu mengambil kerja dari siapa atau apa-apa sahaja yang dikehendakNya, sebagaimana sarang sang labah-labah yang rapuh serta lemah dibandingkan dengan pedang-pedang kaum Musyrikin Mekah tetapi dijadikan Allah sebagai asbab menyelamat mahluk yang paling mulia iaitu Rasulullah s.a.w.
Sebegitulah, untuk sesiapa sahaja yang melakukan usaha keatas keimanan, perlu yakin dan tawajuh akan atas bantuan Allah.
3 hari 3 malam, dimana setiap malam, Asma puteri Syaidina Abu Bakar membawa nusrah makanan, Amir bin Fuhairah membawa susu segar dan manakala Abdullah putera Syaidina Abu Bakar pula, berulang-alih membawa khabar Mekah.
Sebaik sahaja Rasulullah, Syaidina Abu bakar serta Amir bin Fuhairah yang menjadi dalil mereka meninggalkan tempat persembunyian diBukit Tsaur, tiba-tiba menyusul dibelakang mereka Suragah bin Malik dengan kudanya berlari kencang kepada mereka disamping tombaknya tersedia ditangan. Suragah yang begitu bersemangat kerana dijanjikan 100 ekor unta oleh musyrikin Mekah, sebaik sahaja mendekati Rasulullah sejauh jangkauan tombaknya, tiba-tiba kaki kudanya terbenam kedalam lumpur dan tersungkurlah dia bersama kudanya. Suragah lantas menyedari bahawa Rasulullah dilindungi oleh suatu kuasa ghaib yang maha hebat, lalu dengan merendahkan diri, memohon keampunan serta berjanji tidak akan mengejar Rasulullah dan malah akan merahsiakan route perjalanan Rasulullah daripada musyikin Mekah. Rasulullah mengampuninya dan atas doa Rasulullah, kuda Suragah dapat kembali berdiri lalu membawanya kembali keMekah.
Seterusnya Rasulullah dan Syaidina Abu Bakar melakukan perjalanan selama 12 hari sebelum sampai keMadinah, mereka singgah diQuba yang mana disitu Rasulullah tinggal selama 3 hari 3 malam dan mendirikan masjid yang pertama didalam sejarah Islam.

[40]- (Tentang bersembunyinya Rasulullah bersama Syaidina Abu Bakar digua bukit Tsaur)Jikalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (Musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah, dan Kalimah Allah (Islam) itulah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[41] - Pergilah kamu beramai-ramai, sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Surah taubah)

Monday

Ahsannya perkataan seorang "Da´i"



Da´i, adalah diambil dari perkataan mengajak kepada Allah atau menyeru kepada kalimah Laillahaillallah. Sedang seorang da´i adalah mereka yang menuturkan tentang keesaan Allah, kebesaran Allah, keagungan Allah, kemuliaan Allah, kerahmatan Allah, kekuasaan Allah dan seterusnya dalam mana tiap butir perkataannya adalah bagaimana mengajak diri dan insan lain menuju kepada Allah. Dan seorang da´i adalah mereka yang memiliki perkataan yang paling ahsan dari segala jutaan perkataan yang diucapkan.
Dalam surah Fushshilat (ayat 33) telah diterangkan akan hal ini:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
- Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal solehan dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri"

Kemuliaan diatas perkataan menyeru kepada Allah yang diudarakan dalam mana membuat diri mendapat keyakinan keatas setiap amalan solehan dan seterusnya membawa amalan solehan tersebut pertama-tamanya kedalam kehidupan seharian dan seterusnya mendapat sifat yang mulia, iaitu sifat tawaduk lalu menyatakan bahawa diri hanyalah termasuk diantara orang-orang muslim (mereka-mereka yang berserah diri kepada Allah).

Hari ini, berbagai-bagai perkataan yang diucapkan, seperti dari perkataan-perkataan dipasar-pasar, disesuatu gelanggang hinggalah kepada perkataan lirik-lirik lagu yang dimainkan, sedang antara perkataan-perkataan tersebut, ada perkataan biasa yang diperlu dalam kehidupan seharian, ada perkataan yang membuat diri hina atau juga perkataan-perkataan yang membuat diri bertambah angkuh lagi sombong.
Firaun yang bertahta kerajaan bertamadun paling pesat dizamannya, menuturkan perkataan, "Akulah tuhanmu", sedang perkataannya adalah perkataan yang membuat dirinya hina dalam kesombongannya serta musibah menimpa didunia dan seterusnya diakhirat, sedang Nabi Musa yang tiada memiliki apa-apa menuturkan perkataan mengajak kepada Allah, mendapat kemuliaan, didunia mahupun diakhirat.
Rustam, General Persia yang merasakan akan kemuliaan serta ketinggian tarafnya memandang hina pada para-para Sahaba, diturunkan taraf serendah-rendahnya didunia mahupun diakhirat, sedang para Sahaba yang menganggap diri mereka hanyalah insan biasa dikalangan orang-orang muslim dan berjuang untuk mengajak insan lainnya kepada Allah, ditinggikan dan dimuliakan taraf mereka didunia mahupun diakhirat.

Lantas dari itu, wajarlah direnungi akan keutamaan dan bagaimana mudahnya untuk menjadi seorang Da´i, seorang yang mengajak kepada Allah, kerana sesiapa pun yang telah yang mengenal Kalimah Syahadah serta menyakininya, tentu sahaja memahami dengan hatinya mengapa dia berpegang kepada Kalimah tersebut. Menyakini bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah, melainkan Allah semata-mata serta menyakini bahawa Rasulullah itu adalah utusan Allah. Dan ini adalah paling minimun untuknya agar berupaya menuturkan kalimah mengajak diri dan insan lain kepada Allah sebagaimana dinyatakan dalam hadis "Balighuani walau ayat", sampaikan walau sepotong ayat.

Wednesday

Kepentingan bermusyawarah - 1


Bermusyawarah adalah merupakan amalan yang begitu ditekankan didalam Islam terutama dalam urusan berkaitan dengan usaha agama serta juga buat kemaslahatan dalam menguruskan urusan kehidupan umat Islam.
Faktor utama dengan bermusyawarah, adalah bagaimana hati-hati umat dapat disatukan, kerana bila-mana umat bersatu-hati, maka mudahlah urusan-urusan seterusnya. Faktor seterusnya adalah bagaimana dapat membentuk kesatuan dalam berfikir serta membina berfikir untuk menyelesaikan sesuatu urusan. Dalam mana, musyawarah sendiri ada adab-adabnya dan bila adab-adab ini dijaga, maka wajarlah bertawakal setelah keputusan dicapai dalam bermusyawarah.
Dasar-dasar musyawarah adalah, saling memaafkan (wa´fu `anhum), meminta keampunan untuk mereka (wastaghfir lahum) dan ajaklah mereka bermusyawarah (wasyaawirhum fil amri), yang mana sebelum bermusyawarah, wajarlah terlebih dahulu "membuka" hati dengan saling maaf memaafi dan memohon keampunan sesamanya.
Musyawarah adalah seperti mengisar gandum dengan pengisarnya, apabila gandum tidak dimasukkan dalam pengisar, maka gandum tersebut tidak dapat dijadikan tepung untuk proses seterusnya seperti untuk dijadikan roti dll. Dan bilamana telah menjadi tepung yang hendak dijadikan roti, tetapi tidak diikut rezepi-rezepi untuk membuat roti serta cara pembakarannya, maka hasilnya tidaklah sebagaimana yang dikehendaki.
Sebegitulah bagaimana pentingnya bermusyawarah serta mengikut adab-adab bermusyawarah, dan kerana musyawarah adalah amara Allah serta sunnah Rasulullah, maka yakinlah khair yang yang mendatang darinya.
Sebagaimana kisah dalam peperangan Khandak(parit), dalam mana para sahaba menggali parit sebagai benteng pertahanan mereka, tiba-tiba terdapat seketul batu besar ditengah-tengahnya. Lalu para sahaba bermusyawarah bagaimana untuk menyelesaikannya, ada yang memberi usul agar parit tersebut dibelokkan manakala yang yang tidak setuju. Setelah itu, mereka membawa usul-usul mereka kepada Rasulullah. Rasulullah kemudiannya pergi kearah batu tersebut dan memukul batu tersebut dan dari pukulan beliau, terpancarlah cahaya membawa khabar ghaib tentang kejatuhan Romawi dan Persia.
Sebegitu juga dengan kisah bagaimana Rasulullah hendak menguruskan tawanan perang Badar. Syaidina Abu Bakar mengusulkan akan diambil tebusan dari pihak Mekah atau mana-mana yang tiada penebusnya, hendaklah mengajar sehingga fasih 10 kanak-kanak diMadinah mengeja, manakala Syaidina Umar mengusulkan agar dihukum bunuh para tawanan tersebut. Rasulullah mengambil usulan Syaidina Abu Bakar sedang Allah lebih menyenangi akan usulan Syaidina Umar, namun Allah tetap memberi brakah atas amalan bermusyawarah, yang mana ramai kanak-kanak diMadinah dapat berpeluang belajar mengeja dari para tawanan tersebut, malah ada kalangan tawanan yang tertarik lalu memeluk Islam dalam tempoh mereka diMadinah.
Rasulullah sendiri sebenarnya tidak perlu bermusyawarah dengan para Sahaba kerana Rasulullah sendiri menerima wahyu dari Allah, sedang sesiapa yang ingkar kepada keputusan Rasulullah, maka terkeluarlah mereka dari ketaatan, namun Rasulullah memberi umat suatu misal akan kepentingan dalam bermusyawarah. Dalam hal syariat, Rasulullah tidak membuat suatu masyuwarah kerana ia merupakan suatu ketetapan, namun dalam hal-hal lain terutama dalam usaha penyebaran agama, memang begitu ditekankan.
Sedang hal-hal berkaitan kemaslahatan umat, lazimnya, Rasulullah tidak akan membuat sesuatu keputusan sebelum meminta pendapat dari para Sahaba atau sesuatu keputusan tersebut juga kekadang dirombak kerana ada usulan datang dari sahaba.
Sebagaimana kisah Al- Haris (pemuka Bani Ghaffar) telah datang menemui Rasulullah membawa surat perjanjian meminta Rasulullah agar menyerahkan kepadanya setengah dari buah tamar yang dihasilkan diMadinah, dan sekiranya tidak, dia mengugut akan memenuhi Madinah dengan tentera-tenteranya. Rasulullah memanggil Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah untuk bermusyawarah dengan mereka. Kedua-duanya bertemu Rasulullah dan berkata: "Ya, Rasulullah, sekiranya urusan ini, Tuan sukai dan Allah yang memerintah sebegitu, maka kami akan laksanakan dengan taat, tetapi apakah Tuan memutuskannya kerana kepentingan dan keselamatan kami?" Rasulullah bersabda bahawa beliau putuskan sebegitu kerana khuathir akan keselamatan mereka. Setelah itu, mereka berkata jika kerana khuatirkan keselamatan mereka, mereka membuat usulan tidak akan menyerah sebahagian dari tamar madinah dan malah sanggup berjuang mempertahankan hak mereka. Lalu Rasulullah menyerahkan surat perjanjian tersebut kepada mereka dan Saad bin Muaz memadamkan apa yang tertulis diatasnya. (Al-Bidayah)
Banyak lagi kisah lain yang menunjukkan akan kepentingan bermusyawarah yang mana amalan ini seterusnya diteruskan dikalangan para Khulafa dan para sahaba lainnya selepas kewafatan Rasulullah.

Saturday

Usaha kearah khairul ummat - 2


Insan sebenarnya telah diamanahkan, yang mana amanah ini, gunung dan langit pun tidak sanggup memikulnya. Atas amanah ini, insan ditinggikan tarafnya sebagai khalifah, dimuliakan, dan dijadikan antara yang terbaik dimuka-bumi. Tetapi persoalannya, amanah yang bagaimana, dan jawapannya adalah tentulah sebagaimana yang dikehendaki oleh Pencipta yang mencipta segalanya.
Dan Allah Taala, Pencipta segalanya, saban waktu, sentiasa mengutus dan mengamanahkan para Anbiya untuk membimbing insan dan memahamkan insan supaya mengikuti jalan yang Allah kehendaki agar mendapat kejayaan didunia dan akhirat.
Begitu ramai Anbiya-anbiya yang diutuskan kepada kaumnya, sehinggalah kepada Rasulullah s.a.w yang diutuskan khas bukan hanya untuk kaumnya, bukan hanya untuk waktunya, tetapi untuk sekelian alam dan sekian segala waktu.
Rasulullah yang kedatangannya membawa rahmat adalah juga datang dengan tanggung-jawab yang dipikul untuk untuk membawa kebaikan kepada insan sekelian. Allah mampu untuk menukar segalanya kepada kebaikan dan memberi hidayat keseluruh alam, kerana kebaikan dan hidayat ditangan Allah semata-mata, namun alam dunia ini, Allah jadikan Darul Asbab, medan bersebab, iaitu bukan insan yakin pada asbab tetapi asbab adalah sebagai ujian buat insan.
Selepas Rasulullah, tiada lagi Anbiya akan dilahirkan, lalu tanggung-jawab ini diberikan kepada umatnya, yang mana bila umatnya mengambil jalan Rasulullah dan tanggung-jawab Rasulullah, maka dia akan dimuliakan dan dia telah memenuhi amanah sebagai hamba Allah.

Dalam kata lain, setiap yang mengambil kalimah Laillahaillallah, Muhamadurrasulullah sebagai pegangan hidupnya, adalah bertanggung-jawab untuk menjaga keaslian kalimah ini serta menyampaikannya.
Sebagaimana seseorang yang hendak mengambil susu untuk diminumnya dan juga untuk keluarganya atau tetamunya dll, semestinya, setelah memerah susu, tentulah dia akan menjaga keaslian susu tersebut seperti tiada anasir-anasir yang merosakkan susu tersebut mahupun susu tersebut tidak tumpah. Dan usaha ini pula adalah usaha harian, kerana jika hari ini, dia menjaga susu tersebut dengan baik, manakala esoknya sambil lewa, maka berkemungkinan rosaknya susu tersebut samaada dari segi kuantiti mahupun kualiti.
Sebegitulah dengan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, seasli mungkin, kita lakukan usaha sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah, seasli itu juga agama yang akan datang. Kerana kedatangan Rasulullah sendiri dan usaha Rasulullah keatas para Sahaba/Sahabi (sebagaimana seterusnya usaha ini disambung oleh para Sahaba/Sahabi keatas umat kemudian), bukan berpijak hanya pada teori-teori, tetapi suatu pratikal yang mana merupakan penyelesaian buat insan untuk mencapai kesempurnaan dan kejayaan didunia mahupun diakhirat.

Setiap usaha yang dilakukan untuk agama, akan membuahkan khair. Mungkin kita tidak nampak, namun inilah suatu kepastian dan janji dari Allah sendiri.
Antara khair yang utama, bagaimana sifat-sifat mulia datang pada diri iaitu sifat yakin kepada Allah, semakin memahami jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah, sifat sejati hamba Allah iaitu beristiqamah mendambakan diri pada Allah dan berusaha menghayati(khusyuk) dalam pengabadiannya, sifat tertanamnya minat mengetahui lebih mendalam akan ilmu kebenaran serta mengajar hati agar sentiasa berpaut pada Allah, sifat rahmat dan syafaqat kepada sekelian mahluk, sifat mengajar diri agar ikhlas kepada Allah yang mana membuat amal diterima, serta sifat seterusnya yang membuat seseorang insan itu begitu mulia iaitu seorang insan yang Allah dijadikan sebagai asbab kebaikan dan hidayat untuk insan-insan lainnya.

Lantas samaada telah terzahir atau belum kelihatan, yang pasti usaha keatas agama pastinya membuahkan kebaikan dan membawa umat menuju kearah khairul ummat.
Misal suatu kisah, seorang pemuda memasuki suatu desa, dilihatnya seorang petani yang begitu rajin dikebunnya. Tetapi pemuda itu hanya melihat bunga-bunga kecil yang layu dikebun tersebut. Lalu pemuda itu bertanya petani tersebut, kenapa bunga-bunga dikebun petani tersebut layu, dan pemuda tersebut terus menyambung percakapannya menerangkan teknik-teknik baru yang dipelajarinya bagaimana untuk menjaga bunga-bunga tersebut dari layu.
Setelah habis pemuda tersebut menerangkannya, sipetani itu menjawab, yang ditanamnya bukan bunga tetapi kentang. Bunga tersebut, bila sampai waktunya, tentulah layu jadinya, tetapi dibawah akarnya, kentang-kentang kian membesar dan sudah hampir masanya untuk dikutip.

Semoga Allah memberi kita kefahaman dan kekuatan untuk beramal.
Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai