Laillahaillallah, maksudnya adalah bagaimana kita menafikan selain daripada Allah, semuanya tidak berkuasa dan tidak boleh berbuat apa-apa. Allahlah yang berkuasa mutlak keatas segala-galanya. Kita perlu menafikan bahawa-sanya, asbab tidak dapat melakukan apa-apa, melainkan dengan keizinan Allah semata-mata. Allah adalah Khaliq, mencipta setiap mahluk dan juga keadaan untuk setiap mahluk. Semua mahluk diciptaNya dan ditentukan kadar keadaannya, samaada dari sudut rupa, umur, rezeki dan seterusnya. Contohnya, dalam sekecil-kecil benih gandum, telah termaktub, berapa haba, sukatan air dan seterusnya pada suasana, untuk benih gandum tersebut tumbuh. Dan bila ia mula tumbuh lalu tunasnya berusaha mendapatkan cahaya dan hinggakan dijadikan santapan mahluk lain, mahupun terbiar untuk tumbuh dimusim lain, semuanya didalam perhitungan yang diciptakan oleh Allah Taala.Segala yang dapat dicapai oleh penglihatan kasar, mahupun tidak dapat dicapai, adalah ciptaan Allah. Jika segala yang dapat dicapai mahupun tidak dapat dicapai oleh penglihatan kasar, iaitu segala yang ada didalam dunia ini, jika dibandingkan dengan khazanah Allah, ianya hanyalah bak setitis air dilautan yang tiada tepinya. Rugi dan untung adalah dibawah khazanah Allah, Allah mampu memberi kerugian didalam keuntungan, mahupun sebaliknya, dalam kerugian seseorang itu mendapat keuntungan. Dalam kekalahan, Allah mampu memberi kemenangan, manakala dalam kemenangan, Allah mampu memberi kekalahan sebagaimana peribahasa Melayu, "Menang bersorak, kampung tergadai".
Kerana itu, kita harus sentiasa mendahului perintah Allah, sentiasa ingat-mengingati antara ssesama kita akan perintah Allah dan menunaikannya. Kita perlu menunaikan perintah Allah dengan kafiat Nabi, jalan yang ditunjukkan oleh Nabi dan menunaikan perintah Allah menurut tempat, keadaan dan masa, yang mana bererti dalam keadaan apa sahaja, dimana sahaja dan mengikut waktunya, perintah Allah harus dilaksanakan. Contohnya, bila kita mengembara, tentunya tempat-tempat, arah kiblat mahupun waktu solat berubah-ubah, namun solat 5 waktu, wajib kita tunaikan dan begitulah seterusnya dengan perintah-perintah yang lain seperti amal-makruf, nahi mungkar, harus dilakukan dimana sahaja mengikut tempat, keadaan dan waktunya. Semoga Allah memberi kita kefahaman.



No comments:
Post a Comment