Showing posts with label zikir. Show all posts
Showing posts with label zikir. Show all posts

Friday

Menghitung dzikir - 1



Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
Barangsiapa bertasbih kepada Allah sehabis shalat sebanyak tiga puluh tiga kali, dan bertahmid kepada Allah tiga puluh tiga kali, dan bertakbir kepada Allah tiga puluh tiga kali, hingga semuanya berjumlah sembilan puluh sembilan, dan untuk menggenapkan jadi seratus dia membaca: LAA ILAHA ILLALLAHU WAHDAHU LAA SYARIKA LAH, LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WA HUWA ALA KULLI SYAY`IN QADIR, maka kesalahan-kesalahannya akan diampuni walau sebanyak buih di lautan.” (Muslim no. 597)

1. Hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai dan Al-Hakim berasal dari Ibnu Umar ra. yang mengatakan: “Rasulullah s.a.w menghitung dzikir dengan jari-jarinya dan menyarankan para sahaba supaya mengikuti cara beliau saw.”.

"Hendaklah kalian sentiasa bertasbih (berdzikir), bertahlil dan bertaqdis (yakni berdzikir dengan menyebut ke–Esa-an dan ke-Suci-an Allah swt.). Janganlah kalian sampai lupa hingga kalian akan melupakan tauhid. Hitunglah dzikir kalian dengan jari, kerana jari-jari kelak akan ditanya oleh Allah dan akan diminta berbicara" .

2. Imam Tirmidzi, Al-Hakim dan Thabarani meriwayatkan sebuah hadits berasal dari Shofiyyah yang mengatakan: "Bahawa pada suatu saat Rasulullah s.a.w datang kerumahnya. Beliau melihat empat ribu butir biji kurma yang biasa digunakan oleh Shofiyyah untuk menghitung dzikir. Beliau s.a.w bertanya; ‘Hai binti Huyay, apakah itu ?‘ Shofiyyah menjawab ; ‘Itulah yang aku pergunakan untuk menghitung dzikirku’. Beliau s.a.w kemudian berkata; ‘Sesungguhnya engkau dapat berdzikir lebih banyak dari itu’. Shofiyyah menyahut; ‘Ya Rasulullah, ajarilah aku’. Rasulullah s.a.w menjawab; ‘Sebutlah, Maha Suci Allah sebanyak ciptaan-Nya’ ".

3. Abu Dawud dan Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadits yang dinilai sebagai hadits hasan oleh An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim iaitu hadits yang berasal dari Sa’ad bin Abi Waqqash r.a yang menyatakan:

"Bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w singgah dirumah seorang wanita. Beliau melihat banyaknya batu kerikil yang biasa dipergunakan oleh wanita tersebut untuk menghitung dzikir. Beliau bertanya; ‘Mahukah engkau, daku sampaikan cara yang lebih mudah dari itu dan lebih afdhal?’ Sebutlah kalimat-kalimat ini: ‘Subhanallahi ‘adada maa kholaga fis samaai, subhanallahi ‘adada maa kholaga fil ardhi, subhanallahi  ‘adada maa baina dzaalika, Allahu akbaru mitslu dzaalika, wal hamdu lillahi mitslu dzaalika, wa laa ilaaha illallahu mitslu dzaalika wa laa guwwata illaa billahi mitslu dzaalika’ ".

Yang ertinya : "Maha suci Allah sebanyak makhluk-Nya yang dilangit, Maha suci Allah sebanyak makhluk-Nya yang dibumi, Maha suci Allah sebanyak makhluk ciptaan-Nya. (sebutkan juga) Allah Maha Besar, seperti tadi, Puji syukur kepada Allah seperti tadi, Tidak ada Tuhan selain Allah, seperti tadi dan tidak ada kekuatan kecuali dari Allah, seperti tadi !’ ".

  • Galakan menghitung dengan jari dalam hadits diatas bukan bererti melarang menghitung dzikir dengan cara yang lain. Contoh riwayat number 2 diatas dimana, Rasulallah s.a.w tidak melarang atau tidak mengatakan bahawa Shofiyyah harus berdzikir dengan jari-jarinya bila melihat Shofiyyah menggunakan biji kurma untuk menghitung dzikirnya, namun menerangkan akan fadhilat suatu dzikir yang bila dibaca, melebihi segala dzikir yang dilakukan oleh Shofiyyah. Sebegitu juga, riwayat number 3 diatas, Rasulullah s.a.w tidak melarang seorang wanita yang menggunakan batu kerikil untuk menghitung dzikirnya dengan kata lain beliau s.a.w tidak memerintah wanita tersebut untuk membuang batu kerikilnya dan menghitung dzikirnya dengan jari-jari atau menghadkan hitungan dzikir yang dilakukan oleh wanita tersebut, tetapi mengajarkan bacaan-bacaan yang lebih utama dan lebih mudah dibaca.
Sebahagian riwayat akan para sahaba serta generasi salaf yang menggunakan biji kurma, batu-batu kerikil, ikatan simpulan benang dan lain-lain untuk menghitung dzikir.

1 - Imam Ahmad bin Hanbal didalam Musnadnya meriwayatkan bahawa seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Shofiyyah menghitung dzikirnya dengan batu-batu kerikil. Riwayat ini dikemukakan juga oleh Imam Al-Baihaqi dalam Mu’jamus Shahabah;  "Bahawa Abu Shofiyyah, maula Rasulallah saw. menghamparkan selembar kulit kemudian mengambil sebuah kantong berisi batu-batu kerikil, lalu duduk berdzikir sehingga tengah hari. Setelah itu ia menyimpannya. Selesai sholat zuhur, ia mengambilnya kembali lalu berdzikir sehinggalah petang hari ".

2 - Abu Syaibah juga mengutip hadits ‘Ikrimah yang mengatakan; "Bahawa Abu Hurairah r.a mempunyai seutas benang dengan seribu ikatan simpulan. Setelah berdzikir dua belas ribu kali, barulah ia tidur".

3 - Imam Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya bab Zuhud mengemukakan; "Bahawa Abu Darda r.a mempunyai sejumlah biji kurma yang disimpan dalam kantong. Selesai sholat shubuh, biji kurma itu dikeluarkan satu persatu untuk menghitung dzikirnya sehingga habis".

4 - Abu Syaibah juga mengatakan; "Bahawa Sa’ad bin Abi Waqqash r.a menghitung dzikirnya dengan batu kerikil atau biji kurma. Demikian juga dengan Abu Sa’id Al-Khudri".

5 - Dalam kitab Al-Manahil Al-Musalsalah Abdulbaqi mengetengahkan sebuah riwayat yang mengatakan; "Bahawa Fathimah binti Al-Husain ra mempunyai benang yang banyak ikatan simpulannya untuk menghitung dzikir".

6 - Dalam kitab Al-Kamil , Al-Mubarrad mengatakan;  “Bahawa ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas ra (wafat th 110 H) mempunyai lima ratus butir biji zaitun. Tiap hari ia menghitung raka’at-raka’at sholat sunnahnya dengan biji itu, sehingga banyak orang yang menyebut namanya dengan ‘Dzu Nafatsat’ ". 

Bersambung... 

Wednesday

Zikir lantang - 4

Apakah takbir dihari raya secara lantang dan berjemaah itu bid`ah dholala sebagaimana yang ditegaskan serta difatwakan oleh sesetengah pihak sedangkan perbuatan tersebut telah diamalkan oleh beratus-ratus juta umat Islam diseluruh dunia bila setiap kali menjelangnya Hari Raya? Umat Islam yang terdiri daripada setiap lapisan masyarakat termasuk para-para ulama dari dahulu hingga kini, apakah mereka itu semuanya termasuk ahlu-ahlu bid`ah dan tidak tahu tentang hukum-hukum tersebut?

Tentunya tidak sama sekali, bahkan takbir dihari raya yang sebegitu, ternyata suatu kebaikan. Mungkin fatwa atau pandangan bahawa takbir secara lantang dan berjemaah itu dholala adalah dari pandangan-pandangan mereka yang menganggap bahawa segala yang berkenaan dengan zikir secara berjemaah adalah bid`ah dholala, sedangkan sebaliknya, zikir secara berjemaah telah jelas ada sanadnya.

Sheikh Allamah Musnid Prof. Dr. Ali Jum'ah (Mufti Mesir) mengatakan (dalam buku beliau "Al-Bayan") bahawa: " Berhimpun untuk melakukan zikir secara berjemaah dalam satu halaqah (perhimpunan) merupakan suatu amalan yang sunnah, yang bersandarkan dalil syarak yang mulia.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّہُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡہُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya dipagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka [kerana] mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." (Al-Kahfi: 28)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya, bagi malaikat itu, sekumpulan malaikat yang berlegar-legar dalam mencari ahli zikir. Maka, apabila mereka (malaikat) mendapati satu kaum berzikir kepada Allah s.w.t., mereka (malaikat) akan berkata (kepada sesama para malaikat yang lain): "marilah segera kepada hajat kamu (apa yang kamu hajati)" Maka, mereka menaungi golongan yang berzikir (secara berjemaah tersebut) dengan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia..." - (Bukhari).

Mu'awiyah r.a. telah berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah keluar menuju kehalaqah para sahabat Baginda s.a.w. Lalu, Baginda s.a.w. bertanya (kepada para sahabat yang berhimpun tersebut): "Apa yang menyebabkan kamu semua duduk berhimpun ini?" Mereka menjawab: "Kami duduk untuk berzikir kepada Allah s.w.t., memuji-Nya terhadap nikmat-Nya takkala Dia memberi hidayah kepada kami dalam memeluk Islam..." sehinggalah sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah s.w.t. berbangga terhadap kamu di hadapan para malaikat" - (Muslim)

Abu Hurairah r.a. telah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tidaklah duduk sesuatu kaum, akan suatu majils untuk berzikir kepada Allah, melainkan para malaikat akan menaungi mereka, akan terlimpah rahmat ke atas mereka, dan Allah s.w.t. juga akan memperingati mereka..." - (Muslim)

Imam An-Nawawi dalam syarah beliau mengatakan bahawa: "Hadis ini menunjukkan tentang kelebihan majlis-majlis zikir dan kelebihan orang-orang yang berzikir, serta kelebihan berhimpun untuk berzikir beramai-ramai.

Monday

Zikir lantang - 3

Secara umumnya, disunatkan bertakbir bermula dari tenggelam matahari pada malam hari raya dengan suara yang lantang atau nyaring sehinggalah Imam bertakbiratul-ihram untuk solat sunat hari raya (manakala untuk Aidul-adha terdapat perbezaan yang dibincangkan dibawah ini).

Allah Taala berfirman:

وَلِتُكَمِّلُوْا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوْا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ

Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.“ ( Al-Baqarah ayat 185)

Allah Taala berfirman:

لِّيَشۡهَدُواْ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡڪُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ۬ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ فَكُلُواْ مِنۡہَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآٮِٕسَ ٱلۡفَقِيرَ

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Qs. Al Hajj: 28)

- Ibn Abbas r.a berkata: yang dimaksudkan dengan hari hari yang tertentu adalah hari-hari tasyrik.

Pembahagian Takbir Eid adalah:

1 - Takbir Mursal

Takbir mursal ialah takbir yang dilakukan pada hari Aidul Fitri (Hari raya puasa) yang tiada mengiringi solat. Maksud takbir Mursal adalah takbir yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dimana sahaja seperti dalam keadaan berjalan, berdiri, duduk, mahupun berbaring, dalam kendaraan, sewaktu bekerja dan seterusnya dalam mana boleh dilakukan samaada dirumah, dijalan-raya, dipejabat-pejabat, dikedai-kedai, diladang-ladang, dimasjid-masjid dan seterusnya.

Takbir mursal ini bermula setelah tengelamnya matahari pada malam hari Aidul-fitri dan berakhir apabila imam bertakbiratul-ihram ketika bermulanya solat sunat Aidil-fitri. Manakala untuk Aidul adha, takbir mursal bermula setelah setelah masuknya waktu Maghrib dan sesudah solat sunat Aidil-adha, ia berubah semula sifatnya kepada takbir muqaiyad sehinggalah waktu asar 13 Zulhijjah, iaitu dilakukan hanya setelah selesai solat.

2 - Takbir Muqaiyad

Maksud muqaiyad ialah mengiringi atau mengikat. Dinamakan demikian kerana ia mengiringi atau mengikat dengan solat. Oleh yang demikian, takbir muqaiyad ini hanya boleh dilakukan setelah selesai solat sahaja sama ada solat fardu ataupun sunat.

Ia bermula pada subuh hari Arafah (10 Zulhijjah) sehingga selepas Asar 13 Zulhijjah. Apabila masuknya waktu hari Arafah maka disunatkan bertakbir sesudah solat subuh. Setelah masuknya waktu Maghrib, takbir muqaiyad tadi telah berubah sifat kepada takbir mursal. Sifat mursal ini akan kekal sehinggalah imam bertakbiratul-ihram di dalam solat sunat Aidil-adha. Ini bermakna, apabila masuknya waktu Maghrib, maka dibolehkan bertakbir pada bila-bila masa dan dimana-mana tempat. akan tetapi, sesudah solat sunat Aidiladha, ia berubah semula sifatnya kepada takbir muqaiyad sehinggalah waktu asar 13 Zulhijjah.

Laungan takbir Eid adalah:

Allāhu akbar - Allāhu akbar - Allāhu akbar الله أكبر الله أكبر الله أكبر
lā ilāha illā Allāh لا إله إلا الله
Allāhu akbar- Allāhu akbar الله أكبر الله أكبر
wa li-illāhil-ḥamd ولله الحمد
Allāhu akbar kabīra - wal ḥamdu lillāhi kathīra - wa subḥāna Allāhi bukratan wa aṣīlā
الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا    
lā ilāha illā Allāh waḥdah(i)  لا اله إلا الله وحده  
Ṣadaqa wa`dah - wa naṣara abdah - wa 'a`azza jundahu wa ḥazama al-aḥzaba waḥdah صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده 
lā ilāha illā Allāh لا إله إلا الله walā na`budu illā iyyāh ولا نعبد إلا إياه  
Mukhliṣīn lahu ud-dīn wa law kariha al kāfirūn مخلصين له الدين ولو كره الكافرون Allāhumma ṣallī `alā Sayyidinā Muḥammad      -     wa `alā āla Sayyidinā Muḥammad    -    wa `alā aṣḥabi Sayyidinā Muḥammad     -     wa `alā anṣāri Sayyidinā Muḥammad     -    wa `alā azwāji Sayyidinā Muḥammad     -   wa `alā ḏurriyyati Sayyidinā Muḥammadin wa sallim taslīman kathīra اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد وعلى أصحاب سيدنا محمد وعلى أنصار سيدنا محمد وعلى أزواج سيدنا محمد وعلى ذرية سيدنا محمد وسلم تسليما كثيرا

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w keluar rumah menuju lapangan kemudian beliau bertakbir hingga tiba di lapangan. Beliau tetap bertakbir sampai shalat selesai. Setelah menyelesaikan shalat, beliau menghentikan takbir. (Ibn Abi Syaibah dalam Al Mushannaf 5621)

Dari Nafi: “Ibn Umar bertakbir pada hari eid (ketika keluar rumah) sampai beliau tiba di lapangan. Beliau tetap melanjutkan takbir hingga imam datang.” (Al Faryabi dalam Ahkam al Idain)

Dari Muhammad bin Ibrahim (seorang tabi’in), beliau mengatakan: “Abu Qatadah berangkat menuju lapangan pada hari raya kemudian bertakbir. Beliau terus bertakbir sampai tiba di lapangan.” (Al Faryabi dalam Ahkam al Idain)

Ad Daruqutni meriwayatkan: “Dulu Abu Ja’far Al Baqir (cucu Ali bin Abi Thalib) bertakbir setiap selesai shalat sunnah di Mina.” (Fathul Bari 3/389)

“Umar bin Khatab pernah bertakbir dikhemahnya ketika diMina dan didengar oleh orang yang berada dimasjid. Akhirnya mereka semua bertakbir dan masyarakat yang dipasar pun ikut bertakbir. Sehingga Mina bergegar dengan takbiran.” (Bukhari)

Anas r.a meriwayatkan: "Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah s.a.w bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah Taala telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidil-fitri dan Aidil-adha." (Imam Abu Daud dan an-Nasai)

Zikir lantang - 2

Jumhur Ulama menetapkan bahawa laungan talbiah itu disyariatkan untuk dibaca oleh para Jemaah ketika dalam keadaan ihram sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Dari Ummi Salamah r.anha katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai keluarga Muhammad, barangsiapa berhaji, maka hendaklah dia membaca talbiyah dengan suara yang nyaring untuk hajinya" - (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Laungan Talbiyah ini adalah sebagai berikut:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ

- Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka. - "Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu" -

Laungan talbiyah ini merupakan jawaban diatas panggilan Nabi Ibrahim a.s ketika diperintahkan oleh Allah untuk memanggil umat manusia agar berhaji:

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالاً۬ وَعَلَىٰ ڪُلِّ ضَامِرٍ۬ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ۬

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh" - (QS. Al-Hajj: 27)

Berkata Jabir bin Abdillah tentang sifat Haji Nabi s.a.w: "Kemudian beliau mengumandangkan kalimat Tauhid: "Labbaik ya Allah labbaik, tidak ada sekutu bagi-Mu, labbaik, sesungguhnya seluruh pujian dan kenikmatan hanyalah untuk-Mu, begitu pula dengan kerajaan, tidak ada sekutu bagi-Mu " - (Muslim)

"Tidak ada seorang Muslim pun yang bertalbiah kecuali akan ikut bertalbiah apa yang ada di samping kanan dan kirinya dari batu, pohon ataupun tanah, sampai hujung bumi dari arah ini dan arah ini (maksudnya adalah kanan dan kirinya)" - (Tirmidzi)

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih disisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai Allah daripada hari-hari sepuluh ini (1 - 10 Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir maka sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda. - (Al-Baihaqi)

Dari Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kami dan beliau bersabda, 'Wahai segenap manusia, Allah telah mewajibkan ibadah haji atas kalian, maka berhajilah.' Seorang berkata, 'Wahai Rasulullah, apakah setiap tahun?' Maka beliau diam sampai orang itu mengajukan pertanyaannya tiga kali. Maka Rasulullah saw. bersabda, 'Jika saya mengatakan 'ya' berarti menjadi wajib, dan kalian tidak akan sanggup melakukannya.' Kemudian baginda bersabda, 'Laksanakanlah apa yang telah kuperintahkan kepada kalian. Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kalian ialah karena mereka banyak bertanya kepada nabinya. Apabila aku menyuruh kalian melakukan sesuatu, maka kerjakanlah semampu kalian, dan jika aku melarang kalian melakukan sesuatu, maka tinggalkanlah ia'" - (Muslim)

Hassan al-Basri rah. telah berkata: “Haji yang mabrur ialah ia kembali menjadi orang yang zuhud di dunia dan gemarkan akhirat”. Sebagaimana para ulama berkata, diantara tanda haji mabrur ialah seorang muslim beristiqamah selepas hajinya dengan ketaatan kepada Allah dan keadaan dirinya lebih baik selepas haji berbanding sebelumnya.

Sunday

Zikir lantang - 1

Mengenai zikir-zikir yang sunat dilakukan pada setiap kali selepas solat fardhu samaada dalam keadaan senyap atau lantang serta juga secara berjemaah;
Tsauban r.a meriwayatkan: “Biasanya Rasulullah s.a.w. apabila telah selesai solat mengucapkan: astaghfirullah tiga kali (3X), - أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ - kemudian mengucapkan: Allahumma antas salaam wa minkas salaam tabaarakta yaa dzal jalaali wal ikram.”

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ. - (Muslim, Ahmad dan lain-lain)

Uqbah bin Amir meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkanku supaya aku membaca ‘Al-Muawidzat’ (1.Qulhuwallahu Ahad. 2. Qul a’udzu bi rabbil falaq 3. Qul a’udzu bi rabbinnaas.) di belakang setiap solat (fardu).” (Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'i dan lain-lain - sahih)

Abi Umamah r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda: 
مَنْ قَرَأَ آيَةَ اْلكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُوْلِ الْجَنَّةِ إِلاَّ أَنْ يَمُوْتَ  “Barangsiapa membaca ayat kursi di belakang setiap solat fardhu, nescaya tidak ada yang menghalanginya dari masuk syurga kecuali ia mati.” (An-Nasa'i dan lain-lain. - sahih]

Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi kesemuanya 99 kali, kemudian menyebut: “La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir“, untuk menggenapkannya sebanyak 100 kali, nescaya diampunkan dosa-dosanya walaupun umpama buih di lautan“ (Muslim)

Ibnu Abbas r.a mengatakan:
Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardhu telah pun berlaku di zaman Nabi s.a.w. Ibnu Abbas r.a berkata lagi: Saya mengetahui tamatnya solat Rasulullah s.a.w dengan laungan takbir. Ibn Hajar rah. berkata dalam mengulas kata-kata Ibn Abbas: “Daripada riwayat diatas, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka (para sahabat) memulakan zikir mereka dengan takbir (Allahu akbar) selepas solat mendahului tasbih dan tahmid.“ (Perbezaan riwayat mana yang didahulukan antara tasbih, tahmid dan takbir - Fath al-Bari: 2/259).
Pandangan Imam al-Nawawi rah. terhadap hadith dari Ibn Abbas r.a: Ini dalil terhadap apa yang dipegang oleh sebahagian ulama Salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan zikir-zikir lain selepas solat fardhu. Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkannya sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.

Imam al-Nawawi menambah lagi:
“Katanya: (Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Ma’bad kemudian dia menafikannya) pada menjadikannya hujah (dalil) oleh Muslim dengan hadith ini, merupakan bukti bahawa dia (Imam Muslim) berpegang sahihnya hadith (Ibn ‘Abbas) ini walaupun dinafikan oleh perawi asalnya, kerana yang merawikannya itu thiqah (diyakini). Ini merupakan mazhab jumhur ulama sama ada ulama hadith, fuqaha` atau ulama usul fiqh”. (Dari kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237. Maksud yang sama dihuraikan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari - Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, hal. 260).


Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata: Imam al-Syafie rah. telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: Ibrahim bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: telah menyampaikan hadith ini Musa bin ‘Uqbah, dari Abi al-Zubair, sesungguh beliau mendengar Abdullah bin Zubair berkata:
“Adalah Rasulullah s.a.w apabila memberi salam selepas solat, berkata dengan lafaz yang kuat: La ilaha illallahu wahdahula syarikalah lahulmulkuwalahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, wala haula wala quwwata illa billah, wala na’budu illa iyyahu, lahulni’mah, walahulfadhl, walahulthana`ul hasanu, la ilaha illallhu mukhlisina lahuddin walau karihal kafirun”. Berkata al-Syafie: “Dan amalan ini harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum. Dan al-Syafie berkata lagi: “Dan mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang aku nyatakan, secara lantang mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”. - (Kitab al-‘Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242)
- Hadith riwayat Ibn ‘Abbas mengenai berzikir secara lantang selepas solat, diterima oleh sebahagian ulama salaf sebagai hujjah dan sunat diamalkan. Perbezaan pandangan ulama hadith dan fuqaha mengenai persoalan tersebut tidak langsung mencetuskan perkataan perbuatan berzikir secara lantang selepas bersolat sebagai bid’ah dalalah’ atau sesat, kerana amalan berzikir secara lantang selepas solat, nyata ada sanadnya.

Berfikir / berzikir - 2


Fikir yang benar wajar sahaja membawa kehidupan kearah kebaikan atau kejayaan manakala fikir yang salah pula membawa kearah kesilapan langkah yang diambil dalam hidup dan mengakibatkan kesan keburukan atau kegagalan.

Fikir yang salah adalah biasanya terikat pada kehendak hawa-nafsu yang mana keupayaan berfikir hanya ditumpukan untuk bagaimana memenuhi hawa-nafsunya tanpa memikirkan kesan buruk pada pihak lain mahupun pada diri sendiri.

Hatta fikir yang benar tetapi terselit didalamnya bagaimana untuk memenuhi pertama-tamanya hawa-nafsu akan merubah fikir yang benar kepada fikir yang salah. Contohnya seseorang yang berfikir untuk untuk bersedekah pada fakir-miskin tetapi didalam itu terselit untuknya menunjuk-nunjuk akan kedermawannya, maka fikiran untuk melakukan sesuatu yang baik tertukar menjadi suatu perbuatan yang silap.

Sebagaimana juga contohnya seseorang yang berfikir untuk melakukan amal ibadat atau menghidupkan sunnah sebaik mungkin dan segalanya dalam kategori sahih tetapi didalam itu, terselit dari hawa nafsunya untuk merai populariti sebagai seorang yang warak atau merasa dirinya seorang yang hebat lagi benar sedang pihak lain tidak sehebat dirinya dan malah dicerca atau difitnah pihak lain melakukan bidaah biarpun pihak lain dapat membuktikan kebenaran diatas tindakan mereka, maka ia hanya memusnahkan fikirnya yang baik, membuat pihak lain berkecil-hati dan malah dari itu, permusuhan demi permusuhan berlaku yang tidak membawa apa-apa kebaikan.

Atau contohnya seorang yang pada awalnya berfikir baik untuk membantu masyarakat, lalu berusaha dia mencapai ketahap sebagai pemimpin masyarakat tetapi bila telah menjawat jawatan sebagai pemimpin, kemewahan dan kesenangan dari jawatan tersebut ditambah lagi akan penghormatan masyarakat kepadanya membuat nafsunya semakin tamak dan takebur, maka lupa dia akan niat asalnya dan ini tentulah membawa kemudaratan pada masyarakat, bukan membantu masyarakat.

Atau mahu pun contohnya seorang yang baik budinya, sentiasa berfikir baik terhadap pihak lain dan melakukan banyak kebaikan dan terkenal dengan kepintarannya tetapi tidak menunaikan perintah Allah seperti solat fardu 5 waktu dan solat Jumaat, zakat, berpuasa dibulan Ramadan, menunaikan haji jika berkemampuan dan lain-lain, maka biarpun dia mempunyai fikiran yang baik tetapi hakikatnya dia tidaklah bijak kerana mengabaikan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan selepas kematiannya.

Oleh itu cara yang terbaik untuk menundukan hawa nafsu adalah dengan mengingati kematian (zikrul-maut)sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang lebih kurang maksudnya: "Perbanyakkanlah olehmu mengingati perosak kelazatan iaitu kematian"

Kerana diantara insan yang bijak menggunakan akalnya untuk berfikir adalah mereka yang sentiasa mengingatkan akan kehidupan dunia yang singkat dan kematian dalam mana dengan berfikir secara sebegitu, mereka sentiasa mempersiapkan diri buat menghadapi kehidupan sebenar selepas kematian.

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang siapakah orang beriman yang paling bijak? Lalu dijawab oleh Rasulullah s.a.w dengan bersabda: "Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik persediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah orang yang paling bijak" (Ibn Majah)

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang tidak bijak itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah" (Tirmizi)

Bersambung... 

Wednesday

Berfikir / berzikir - 1


Saban waktu, insan berfikir, iaitu dari kanak-kanak riang berfikir untuk bermain sehinggalah peringkat menjadi warga tua kerana berfikir adalah sebahagian dari fitrah diri insan itu sendiri. Hanya persoalannya, apakah yang difikirkan saban hari.

Samaada fikiran itu dari perkara-perkara yang membawa faedah atau tidak, tekanan-tekanan hidup yang dialami, ransangan dari perasaan-perasaannya (seperti marah, dengki, takabur, rasa cinta, lucu, simpati dan lain-lain), pengajian-pengajian yang dilalui, pengamatan atau kajian yang dilakukan, permainan yang disukai (seperti bola dan lain-lain), pendapat-pendapat tertentu yang diikuti (seperti parti politik, sesuatu pertubuhan atau individu dan lain-lain), pegangan atau prinsip hidupnya dan seterusnya, insan akan sentiasa berfikir.

Menegah berfikir adalah seperti membuang sebahagian dari tubuh anggota insan atau melumpuhkan anggota utama tubuh badannya. Dan hari ini, kenyataannya, asbab insan berfikir, dunia saban waktu bertukar wajah dan sekian detik berbagai-bagai peristiwa berlaku samaada kesannya untuk diri seseorang mahupun keseluruhan masyarakat seterusnya.

Atas asbab berfikir juga, dari individu atau dari sesuatu fikiran mampu tersebar seterusnya keseluruh alam contohnya produkt Nestle, atas usaha untuk memajukan perniagaan, syarikat Nestle yang berpusat diSwiss yang hasilnya bahan tenusu, berfikir siang-malam untuk melariskan produktnya dan kini ianya tersebar dimana-mana penjuru alam hatta kawasan pendalaman yang serba kekurangan komunikasi seperti dipendalamam Borneo, didapati diwarung-warungnya barang-barang dari jenama Nestle seperti Nescafe, Milo dan lain-lain.

Asbab berfikir juga mampu menukar keadaan atau tabiat seseorang contohnya seorang anak muda yang biasa dikenali oleh masyarakat sekitarnya sebagai seorang yang sederhana dan memakai apa sahaja pakaian yang ada, namun setelah dia berhijrah kebandar, keadaan atau tabiatnya berubah yang mana hanya memakai pakaian berjenama terkenal kerana fikirannya telah terpengaruh dengan kebudayaan kebendaan.

Lantas siapakah yang benar-benar berakal atau siapakah yang benar-benar bijak menggunakan fikiranya? Fikiran atau cara berfikir apakah yang dapat menyelamatkan dan menjanjikan kebahagian sebenarnya buat diri serta umat seterusnya?

Ciri-ciri mereka yang benar-benar berakal atau bijak menggunakan fikirannya adalah seperti yang dijelaskan didalam Al Quran iaitu:


إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Allah Taala berfirman: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Ali-Imran : 190)


ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ


Allah Taala berfirman: “ (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran : 191)

Ayat dari surah al-Imran ini adalah penjelasan akan ciri-ciri insan yang benar-benar berakal atau bijak menggunakan fikirannya iaitu mereka yang berfikir dengan berzikir kepada Allah seperti dengan memerhatikan fenomena alam ciptaan Allah misalnya kejadian langit dan bumi atau melihat pertukaran siang dan malam dalam mana mengakui kebesaran Allah Taala.

Dengan itu, ia meningkatkan lagi keimanan kepada Allah Taala disamping meningkatkan lagi perasaan taqwa lalu memohon agar dilindungi dari azab yang amat pedih. Ayat ini juga adalah ayat dakwah yang mana berfikir dan berzikir untuk membawa kebesaran Allah dalam diri dan seterusnya berusaha berdakwah agar diri dan insan sekelian terselamat dari azab pedih api neraka.

Bersambung...
Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai