Tuesday

Awal dan akhir kehidupan manusia.

Awal dan akhir manusia adalah debu. Bermula seperti debu, dan sampai ketikanya akan berakhir lalu lebur kembali menjadi debu. Bukan sahaja manusia, malah segala benda datangnya dari debu dan akan kembali semula padanya. Inilah intipati atau hakikat dunia.

Dalam masa diantara kewujudannya yang singkat, perhiasan dan kecantikan muncul, dan terbit dalam berbagai-bagai bentuk rupa, fikiran, warna, bunyi-bunyian dan seterusnya. Sebegitulah dengan hayat manusia, didalam tempoh hayatnya, akan wujud perhiasan dan kecantikan buatnya.

Samaada dari sudut harta, rupawan, zuriat-zuriat dan berbagai-bagai perkara yang lainnya yang mana memikat dan menakluk hatinya. Akan tetapi, dari itu, ramai manusia terlupa permulaannya dan memalingkan wajahnya dari tempat dirinya akan berakhir.

Lalu tenggelamlah dia dalam waktu kehidupannya yang singkat dengan segala perhiasan dan kecantikan dunia hingga terlupa bersiap untuk menempuh waktu yang kehidupannya akan berkekalan nanti.

Sebagaimana tersebutlah kisah yang mana seorang Raja menawarkan sesuatu sebagai pertukaran untuk intan yang dimiliki oleh seorang pemuda, yaitu, pemuda tersebut berhak mengambil apa sahaja dari kamar khazanah sang Raja, tapi dengan syarat, waktunya hanyalah dari waktu matahari terbit, hingga kewaktu zohor.

Selepas itu, segala yang ada didalam kamar khazanah akan dimiliki kembali oleh sang Raja, manakala apa yang dapat dikeluarkan dari kamar khazanah, akan sang Raja berikan pada pemuda tersebut sebagai pertukaran dengan intan yang dimiliki oleh pemuda tersebut. Lalu pemuda tersebut pun bersetuju.

Keesok harinya, sipemuda menanti dengan penuh gelisah didepan pintu kamar khazanah Sang Raja. Bila sahaja matahari terbit, maka pintu kamar khazanah Sang Raja pun dibuka oleh hulubalangnya.

Bergegaslah pemuda tersebut memasukinya, dan alangkah terkejutnya melihatkan segala isi yang ada didalamnya. Kamar khazanah Sang Raja terlalu luas, seakan tiada penghujungnya, dan penuh dengan segala perhiasan-perhiasan yang memukaukan mata yang melihatnya. Kerana sipemuda masih mempunyai waktu yang panjang, maka dia bercadang bersiar-siar dahulu didalam kamar tersebut.

Dalam pada itu, matanya terpaut pada satu katil berukir begitu cantik yang diperbuat dari emas dan bertilam-bantal empuk yang disalut dengan sustera halus serta penuh dengan perhiasan. Teringin benar sipemuda untuk berbaring diatas katil tersebut.

Lalu sipemuda pun merebahkan badannya keatas katil tersebut, dan oleh kerana empuknya tilam katil tersebut, sipemuda pun terlelap. Tiba-tiba hulubalang sang Raja mengejutkannya dan memberitahu, waktu zohor telah masuk, lalu menangkapnya dan memasukkannya kedalam penjara untuk dijadikan hamba abdi kepada sang Raja kerana begitulah perjanjiannya dengan sang Raja. Kini menyesallah sipemuda, hanya kerana terlelap diatas katil emas yang penuh perhiasan itu, dia kini kehilangan intannya mahupun juga harga dirinya.

Allah berkuasa, mahluk tiada kuasa.

Laillahaillallah, maksudnya adalah bagaimana kita menafikan selain daripada Allah, semuanya tidak berkuasa dan tidak boleh berbuat apa-apa. Allahlah yang berkuasa mutlak keatas segala-galanya. Kita perlu menafikan bahawa-sanya, asbab tidak dapat melakukan apa-apa, melainkan dengan keizinan Allah semata-mata. Allah adalah Khaliq, mencipta setiap mahluk dan juga keadaan untuk setiap mahluk. Semua mahluk diciptaNya dan ditentukan kadar keadaannya, samaada dari sudut rupa, umur, rezeki dan seterusnya. Contohnya, dalam sekecil-kecil benih gandum, telah termaktub, berapa haba, sukatan air dan seterusnya pada suasana, untuk benih gandum tersebut tumbuh. Dan bila ia mula tumbuh lalu tunasnya berusaha mendapatkan cahaya dan hinggakan dijadikan santapan mahluk lain, mahupun terbiar untuk tumbuh dimusim lain, semuanya didalam perhitungan yang diciptakan oleh Allah Taala.
Segala yang dapat dicapai oleh penglihatan kasar, mahupun tidak dapat dicapai, adalah ciptaan Allah. Jika segala yang dapat dicapai mahupun tidak dapat dicapai oleh penglihatan kasar, iaitu segala yang ada didalam dunia ini, jika dibandingkan dengan khazanah Allah, ianya hanyalah bak setitis air dilautan yang tiada tepinya. Rugi dan untung adalah dibawah khazanah Allah, Allah mampu memberi kerugian didalam keuntungan, mahupun sebaliknya, dalam kerugian seseorang itu mendapat keuntungan. Dalam kekalahan, Allah mampu memberi kemenangan, manakala dalam kemenangan, Allah mampu memberi kekalahan sebagaimana peribahasa Melayu, "Menang bersorak, kampung tergadai".
Kerana itu, kita harus sentiasa mendahului perintah Allah, sentiasa ingat-mengingati antara ssesama kita akan perintah Allah dan menunaikannya. Kita perlu menunaikan perintah Allah dengan kafiat Nabi, jalan yang ditunjukkan oleh Nabi dan menunaikan perintah Allah menurut tempat, keadaan dan masa, yang mana bererti dalam keadaan apa sahaja, dimana sahaja dan mengikut waktunya, perintah Allah harus dilaksanakan. Contohnya, bila kita mengembara, tentunya tempat-tempat, arah kiblat mahupun waktu solat berubah-ubah, namun solat 5 waktu, wajib kita tunaikan dan begitulah seterusnya dengan perintah-perintah yang lain seperti amal-makruf, nahi mungkar, harus dilakukan dimana sahaja mengikut tempat, keadaan dan waktunya. Semoga Allah memberi kita kefahaman.

Sunday

Yang bernilai disisi Allah

Segala yang ada, samaada dialam zahir atau batin, samaada yang dapat dijangkau oleh mata-kasar, mahupun tidak, semuanya adalah ciptaan Allah semata-mata. Dan semua yang ada didunia ini, tiadalah bernilai disisi Allah hatta jika diibaratkan dengan sekecil-kecil nilai seperti nilai sayap nyamuk. Segala benda yang keluar dari ciptaan Allah tidak bernilai disisi Allah, tetapi segala amalan yang keluar dari jasad nabi, amat bernilai disisi Allah. Kejayaan manusia didunia dan akhirat tidak dapat dihasilkan melalui ciptaan zahir, tetapi dapat dihasilkan melalui amalan murni Nabi s.a.w. Syaidina Ali memberitahu, siapa yang bergantung pada benda, dia akan menemui kegagalan, manakala sesiapa yang bergantung pada Allah, pasti dia akan menemui kejayaan. Sesiapa yang yakin pada ilmu, akan disesatkan, sesiapa yang yakin pada harta, hartanya akan dikurangkan dan sesiapa yang yakin pada akal, akan menjadi gila, sebaliknya, sesiapa yang yakin pada Allah, tidak akan disesatkan, hartanya tidak akan dikurangkan dan akalnya terpelihara.
Asas kejayaan dan kegagalan manusia telah ditetapkan oleh Allah bergantung pada iman dan amal. Ubai bin Khalap, Hamman, Qarun dan Firaun mempunyai asbab yang banyak tetapi Allah memberi kegagalan pada mereka kerana iman dan amal yang salah. Sebaliknya Osman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mempunyai asbab yang banyak, Allah mengurniakan kejayaan buat mereka kerana iman dan amal yang betul. Kerana itu, usaha yang utama adalah mengembalikan keyakinan semata-mata pada Allah, dan amalan yang diterima oleh Allah dalam mana amalan yang paling utama untuk dititik-beratkan adalah solat yang difardukan oleh Allah Taala. Dihari pengadilan nanti, amalan yang pertama-tamanya dikira adalah solat seseorang, bila-mana solatnya baik, maka baiklah amalan seterusnya. Hari ini, kita mengejar-gejar sesuatu yang kita anggap begitu bernilai dalam kehidupan kita, sedangkan, solat,yang mana nilainya menjanjikan kejayaan didunia dan akhirat, kita abaikan. Diberitakan, bila-mana seseorang bersolat dengan khuysuk didalam solatnya, maka Allah akan memudahkan rezeki hariannya. Solat juga adalah nilainya seperti kunci untuk membuka pintu syurga dan juga kunci untuk khazanah Allah, disamping itu, solat adalah juga suatu pemberian Allah yang begitu bernilai untuk umat Nabi Muhamad s.a.w, kerana dengan bersolat, umat ini dapat terus-menerus berhubung dengan Tuhannya.

Saturday

Harga dan suatu nilai.

Batu dan pemata tidak sama nilainya, sebegitulah, insan yang ada benar-benar Kalimah Lailahaillallah didalam hati mereka, tidak sama dengan mereka yang tiada Kalimah ini dihati mereka, atau mereka yang ada kalimah ini, tetapi bercampur-paur dengan perkara yang bertentangan dengan Kalimah ini.

Mereka yang ada Kalimah ini bagaikan permata yang jauh begitu bernilai daripada batu, jika dibandingkan dengan mereka yang tiada Kalimah ini. Kalimah ini sendiri, mempunyai nilai yang melebihi segalanya dialam fana ini.

Diriwayatkan, bilamana dunia dengan keseluruhannya diletakkan disebelah kiri dacing, manakala Kalimah Lailahaillallah ini diletakkan disebelah kanan dacing, berat Kalimah ini pasti akan melebihi dunia dan keseluruhannya.

Kenyataannya, dihari pengadilan nanti, setelah mana semua manusia dibangkitkan kembali untuk diperhitungkan samaada akan menjadi penghuni syurga atau neraka, ketika itulah nanti, tahunya setiap insan betapa berharganya Kalimah Agung ini.

Tetapi sayang untuk mereka yang didunia tiada mengendahkan nilainya, kerana dihari tersebut nanti, iainya adalah terlambat untuk dinilai, sebagaimana Firaun yang begitu angguh dan tidak mahu percayakan kalimah agung ini, tetapi bila dia melihat air laut datang menghentamnya dari kiri dan juga dari kanan untuk mencabut nyawanya, barulah dikala itu dia yakin pada kalimah agung ini, tetapi ianya sudah terlambat.

Kerana itulah kita harus bersyukur kerana dilahirkan atau dikurniakan kalimah agung ini pada kita. Tetapi dalam pada itu, walaupun kita dilahirkan atau dijadikan sebagai seorang Islam yang mengenal kalimah agung ini, kita tetap kena berusaha untuk membawa kalimah ini kedalam hati kita dan agama datang dalam kehidupan harian kita, kerana hanya-sanya bila kalimah ini masuk kedalam hati kita dan agama hadir didalam kehidupan harian kita, barulah dapat kita mengerti dan menikmati nilai kalimah agung ini.

Permata itu, kalau terbiar ditepi jalan, seperti batu biasa yang berdebu, berminyak dan kotor hingga menutup kilauan dan rupa aslinya, tentu hilang nilainya, dan sesiapa pun menyangka, ia hanya seketul batu atau guli yang rosak, tetapi bila diambil, dicuci, digilap dan diletakkan ditempat yang seharusnya seperti didalam almari kaca dengan ditambah lampu yang khas, akan menjadi begitu berharga dengan mempunyai nilai yang tinggi. Mungkin mencapai keangka jutaan.

Begitulah dengan seorang yang tahu akan Kalimah Lailahaillallah, jika tidak diusahakan agar Kalimah ini masuk kedalam hatinya dan tiada agama dalam dirinya, samalah seperti permata yang bernilai tetapi terbuang dijalanan, hinggakan luput nilai permata tersebut.

Sebaliknya, jika diusahakan agar kalimah ini masuk kedalam hati dan agama ada dalam diri serta menjaga diri agar sentiasa duduk didalam rumah-rumah Allah (masjid) maka jadilah dia insan yang begitu berharga dan terlindung harganya. Nilai-nilai agama yang ada dalam diri seseorang itu akan menyebabkan dia dimuliakan oleh Allah Taala dan Allah Taala akan memerintahkan para malaikat juga sekelian mahluk untuk memuliakan insan tersebut. Dan jika Allah hendak memuliakan seseorang itu, siapakah dapat menghalangnya?

Tuesday

Maut adalah benar, hidup adalah tipu-daya.

Semua yang bertentangan dengan hakikat adalah tipu muslihat. Semua yang berlawanan dengan benar adalah tidak benar. Kebenaran yang pertama, bahawa maut pasti akan datang dalam dunia yang penuh dengan tipu daya. Maut pasti akan mengundang kita, sedangkan kita tidak tahu bila kedatangannya. Semua dari kita tahu tarikh hari-jadi kita, manakala tarikh mati adalah diluar pengetahuan kita. Kini, kita hanya begitu sibuk dengan kehidupan duniawi dan mengabaikan kehidupan akhirat, sibuk dengan perkara-perkara kecil, tetapi perkara besar iaitu maut, tidak diperdulikan. Sibuk dengan melengkapkan apa sahaja hajat untuk duniawi, yang mana akan kita tinggalkan samaada dengan rela atau tidak, sebaliknya, kehidupan akhirat yang mana harus kita dudukinya buat selama-lamanya, samaada dengan rela atau tidak, tidak kita mahu melengkapkannya dengan keimanan dan amalan solehan didunia ini. Kehidupan didunia ini bagaikan hanya satu kerlipan mata jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Bila kita pejamkan mata untuk tidur dimalam hari, segala tingkah dan usaha yang kita lakukan dihari sebelumnya, mahupun tahun-tahun sebelumnya, hanya tinggal kenangan, dan malah akan dipersoalkan dihari pengadilan, sedangkan hari esok atau hari muka akan berterusan, hatta kita berdepan dengan maut. Dan selepas itu, akan bermulalah hari yang menentukan kebahagian atau kesengsaraan buat hari-hari seterusnya yang harinya tiada penghujung. Apabila sesuatu hal berhubung dengan kebendaan, maka manusia akan memikirkannya siang dan malam, sedangkan amalan tidak langsung dihiraukan, sedangkan segala benda yang kita fikir dan usahakan, pada suatu saat akan kita tinggalkan, manakala amalan agama, walau sekecil mana pun, pasti akan kita bawa keakhirat nanti. Segala yang keluar dari tanah tidak akan kekal abadi, sedangkan amalan yang dilakukan oleh tubuh-badan kita akan kekal selama-lamanya, samaada amalan baik atau buruk.
Semua benda yang kita usahakan didunia ini tidak akan dibawa mati, kerana diPadang Mahsyar nanti, semua manusia akan dibangkitkan didalam keadaan tanpa apa-apa pun, hatta seurat benang.

Saturday

My Slide art-1 (zar zh)

Bantuan dari Allah Taala.

Bantuan Allah Taala (nusrahtullah) akan hadir bukan kerana rupa-paras, kebijaksanaan mahupun keberadaan seseorang atau umat ini, tetapi nusrahtullah yakni bantuan Allah datang disebabkan iman, amal, akhlak dan sifat manusia itu sendiri. Allah Taala memberi bantuan kepada Rasulullah s.a.w, para-para Sahabat r.a, para-para WaliNya, dan seterusnya kerana asbab keimanan mereka, amalan mereka, pengorbanan mereka, dan juga perjuangan mereka keatas agama Allah. Sebegitu juga umat hari ini, sekiranya umat ini mengidamkan bantuan dari Allah Taala, maka umat ini harus menghidupkan kembali amalan-amalan mereka yang diredhai Allah, disamping membuat usaha keatas agama seperti usaha dakwah dan pula sanggup berkorban untuk agama dari segi kewangan, diri dan masa mengikut kemampuan masing-masing. Inilah prosuder atau langkah-langkah untuk mendapat bantuan dari Allah Taala, dan melaluinya, umat akan melihat sendiri bagaimana bantuan Allah akan hadir keatas umat ini. Dan sudah setentunya asas utama untuk menghadirkan bantuan ghaib Allah, adalah diatas keyakinan seseorang atau juga umat seterusnya kepada Allah semata-mata. Yakin kepada sesuatu selain daripada Allah Taala, tidak akan mampu memberi apa-apa bantuan. Semuanya berlaku dengan bantuan dan rahmat dari Allah Taala dan Allah Taala boleh mengambil dari apa sahaja asbab atau sebab untuk membantu umat ini, hatta dari seekor semut, mahupun dari burung-burung pipit.
Semasa peperang Badar dan juga peperangan Khandak, kaum Muslimin yakin selain dari Allah, tidak ada yang dapat dijadikan tempat perlindungan dan tempat meminta bantuan. Mereka tidak percaya pada kekuatan yang dimiliki oleh mereka dan mengharapkan rahmat dan bantuan dari Allah Taala, maka Allah mengurniakan bantuan kepada mereka. Sedangkan diwaktu peperangan Uhud dan peperangan Hunain, ada dikalangan kaum muslimin yang terpengaruh kepada bilangan besar pasukan mereka, maka Allah Taala tarbiyah mereka dengan kekalahan. Jesteru itu, perlunya umat ini menyedari dan mengambil cara-cara yang sebenar untuk mendapatkan bantuan dari Allah, dan bila rahmat dan bantuan Allah Taala datang, siapakah yang dapat menghalangnya?

Berusaha keatas cahaya agama.


Sekiranya kita mempunyai taman atau kebun, kita perlu menjaganya dan mengusahakannya, jika tidak dijaga dan diusahakan, maka jadilah ia padang lalang, semak mahupun rimba. Sebegitu juga dengan pakaian yang kita pakai, saban hari harus dicuci, jika tidak berbau dan kotorlah ia, atau rumah kita, jika tidak dibersihkan, maka bersepah dan berhabuklah rumah kita. Lazimnya, semua itu memerlukan usaha untuk mengekalkan keadaan baik atau terapinya. Begitu juga dengan agama kita, harus adanya usaha keatas agama, dan usaha pertama keatas agama adalah dakwah, iaitu mengajak kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran, untuk diri, keluarga dan seterusnya untuk semua diatas kemampuan kita, barulah agama itu akan kekal dalam keadaan aslinya seperti dizaman Rasulullah s.a.w. Bilamana orang akan memperkatakan kebesaran Allah, memperkatakan kelebihan-kelebihan sunnah Rasulullah, maka agama pun akan kembali segar dimana-mana.
Agama itu adalah cahaya penerang buat seluruh alam. Dan untuk mendapatkan cahaya agama (kebenaran), memang harus diusahakan usaha agama. Walaupun banyaknya asbab-asbab, alat-alat atau apa sahaja untuk mendapatkan cahaya, tetapi tanpa usaha, kita tidak akan dapat menghasilkan cahaya. Misalnya, begitu banyak hujan yang turun, sungai-sungai yang airnya deras, mahupun peralatan-peralatan elektroknik yang canggih, namun tiada diusahakan untuk membuat empangan-empangan hidro, generator-generator elektrik, kabel-kabel untuk dialirkan elektrik keseluruh kawasan, maka kita tidak akan dapat menghasilkan cahaya. Sebegitulah, walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam, diajar segala ilmu-ilmu agama, rumah penuh dengan kitab-kitab, tetapi tanpa sebarang usaha keatas agama, cahaya dari agama itu tidak akan datang pada diri, mahu pun tersebar pada orang lain. Dan dari situ, agama yang akan ada hanyalah berupa agama adat, bukan ibadat. Agama yang tiada ruhnya, hanya bentuknya sahaja. Patung yang mati, tanpa ruh, apakah sama dengan seorang insan yang hidup? Jesteru itu, segalanya memerlukan usaha, dan usaha memerlukan pengorbanan dari sudut diri, waktu dan harta-benda.

Tuesday

Usaha dengan yakin pada Allah dan janji-janji Allah Taala.


Bila kita melakukan usaha agama atau usaha keatas sesuatu amalan yang baik, tetapi kita tiada atau kurang keyakinan kepada Allah, maka bila datang sedikit kesusahan atau cubaan, maka dengan mudah, kita tinggalkan usaha-usaha ini. Keyakinan pada Allah dan janji-janji Allah adalah begitu penting disemaikan didalam hati dan juga, usaha sebaik mungkin sebagaimana yang disarankan oleh Allah Taala. Bila Nabi Musa datang kebukit Tursina dan berkata-kata dengan Allah, yang pertama diajar adalah keyakinan keatas Allah semata-mata. Diperintahkan Nabi Musa melontar tongkatnya, dan tongkatnya berubah menjadi ular, lalu diperintahkan ambil semula tongkat tersebut yang masih dalam keadaan seekor ular. Nabi Musa ketakutan tetapi yakin segalanya berlaku diatas perintah Allah dan dia harus turuti perintah Allah, maka dipegangnya ular itu yang mana berubah kembali menjadi tongkat. Dan begitu juga, bila Firaun mengejar Nabi Musa dan umat-umatnya, bila mereka sampai dilaut Merah, Nabi Musa tahu melalui pengalamannya yang bila dia lontarkan tongkatnya, akan menjadi ular dan menyerang Firaun, tetapi Nabi Musa tidak bertindak seperti pengetahuan atau pengalaman dia, tetapi bertindak atas perintah Allah. Lalu Allah perintahkan Nabi Musa memukul Laut Merah dengan tongkatnya yang mana Laut Merah terbelah dan Nabi Musa juga umat-umatnya berjaya melarikan diri dari Firaun dan bala-tenteranya, manakala, Firaun dan seluruh bala-tenteranya ditenggelamkan dan dimusnahkan oleh Allah Taala.

Wednesday

Kita dan maksud kita...


Peperangan bukanlah maksud orang Islam tetapi maksud orang Islam ialah melakukan dakwah. Maksud kita ialah untuk mendambakan diri pada Allah semata-mata. Inilah perbezaan kita yang sebenarnya jika dibandingkan dengan haiwan. Kalau kita beritahu, beza kita dengan haiwan kerana otak kita, maka cuba kita bawa kaldai dekat dengan api dan kita cuba tolak dia pada api, tentu dia akan bertindak berlawan kerana otak dia beritahu, api itu membakar. Jadi dalam konteks ini, kaldai pun boleh gunakan otak dia bahawasanya api itu membakar, jadi apa bezanya dengan manusia? Allah telah memberi jalan-jalan menuju kejayaan selama-lamanya, jalan melindungi kita dari api jahanam, dan melalui ini, Allah telah mengutus para-para Anbiya dan Rasulullah s.a.w merupakan nabi terakhir dan setelah itu, tanggung-jawab untuk melindungi manusia dari kemaraan api neraka dan membawa manusia menuju jalan kesyurga telah terletak dibahu ummat ini. Bila-mana ummat ini ambil usaha dakwah ini sebagai maksudnya, dan berusaha membawa sifat-sifat mulia dalam diri seperti sifat keikhlasan dalam melakukan usaha dakwah ini, maka jadilah dia seperti khalifa dimuka-bumi ini, yang mana Allah akan memuliakan dan melindunginya dan juga para-para malaikat akan mendampinginya dan sentiasa momohon keampunan dan rahmat untuknya.
Asas usaha dakwah ini adalah bagaimana kita ada kerisauan dan rahmat dihati kita untuk sekelian mahluk, sebagaimana yang ada pada diri baginda Rasulullah s.a.w.
Kita, ummat ini mungkin tidak dapat mencapai taraf fikir, kerisauan dan rahmat yang ada pada diri Rasulullah tetapi setitik sahaja dari fikir, kerisauan jua rahmat yang ada dihati Rasulullah jika terbit dihati kita, sudah mampu meletakkan kita didarjat yang mulia. Kita tidak mungkin sama sekali mencapai darjat para-para anbiya, namun kita mampu mencapai darjat syuhada, siddiqin dan solehan. Tidak mungkin turunnya wahyu lagi tetapi asbab usaha dakwah ini, kita akan mendapat barkat dari wahyu, ayat-ayat Quran yang kita baca, akan kita fahami dan insyaallah dapat mengamalkannya. Tidak mungkin kita dapat menyatukan ummat, lihat sahaja, dalam satu negara yang Islam ugama resminya pun, orang-orang Islam berpecah-belah, tetapi melalui usaha dakwah ini, kita akan kembali bersatu biar pun berbeza pendapat dan cara, kerana melalui usaha ini, kita akan mempunyai maksud yang satu. Tidak mungkin kita dapat meletakkan negara-negar Islam dalam barisan negara-negara utama dimata dunia, tetapi, percayalah, melalui usaha ini, Allah yang akan meletakkan negara-negara Islam sebagai negara utama bukan setakat dimata tetapi dialam nyata. Dan bila Allah, Tuhan Pencipta alam-semesta membuat keputusan memuliakan sesuatu, siapakah yang dapat menghalangnya?

Sunday

cillah-mind Art


Manusia berusaha membangun suatu kekuatan untuk melawan hukum Allah tetapi Allah menghancurkannya seperti menghancurkan kulit telur. Yang anda sebut-sebut sebagai "kekuatan besar", dihadapan Allah tiada ertinya walaupun dibandingkan dengan sarang labah-labah. Dunia dan seisinya pun tiada erti dan nilainya walaupun sebesar sayap nyamuk disisi Allah. Namrud menghimpun seluruh kekuatan askarnya untuk melawan kekuasaan Allah, Allah hanya menghantar nyamuk-nyamuk untuk menghancurkan seluruh kekuatan Namrud. Abrahah dengan kekuatan askar bergajahnya cuba merobohkan Kaabah (Baitullah), Allah hanya menghantar burung-burung kecil ababil, lalu seluruh kekuatan Abrahah termasuk dia sekali, hancur musnah. Kalau Allah hendak menghancurkan sesuatu, tanpa asbab (sebab) pun Allah mampu melakukannya. Itu hanya suatu pengajaran yang mana Allah mampu mengunakan apa sahaja untuk sesuatu yang dikehendakiNya.

cillah-mind Art

Saturday

Kejayaan dalam menyempurnakan perintah Allah Taala.



Seruan para Nabi adalah bahawa kejayaan manusia dan cara menyelesaikan masaalah bukan terletak pada harta, pangkat dan kuasa atau ramai pengikut, tetapi bilamana dapat menyempurnakan perintah Allah Taala dan berjuang dijalanNya. Didalam Al Quran, banyak kisah-kisah para-para Nabi dengan kaumnya seperti Nabi Ibrahim as dengan Namrud dan kaumnya, Nabi Musa as dengan Firaun dan rakyatnya, juga dengan Qarun yang banyak harta-hartanya. Kesimpulannya bahawa ramainya pengikut, banyaknya harta juga kekuasaannya, adalah tidak bernilai disisi Allah Taala bilamana ia digunakan bukan untuk Allah Taala atau jalan yang ditentukan oleh Allah Taala semata-mata.
Namrud, Firaun, Qarun, dan kaum-kaum seperti kaum Aad, Sabaa dan lain-lain, semua ditewaskan dan mengalami kerugiaan selama-lamanya sedangkan hamba-hamba Allah yang menjadi pembantu ugama Allah mencapai kejayaan bukan setakat didunia, tetapi juga diakhirat yang mana kejayaan untuk selama-lamanya.

Wednesday

Allah Khalik, Allah Malik.....


Allah adalah Khalik, Allah adalah Malik, selain daripada Allah, semua mahluk, yang tidak boleh membuat apa-apa. Allah mencipta semua mahluk dan menguasai semua mahluk. Disamping mencipta mahluk, Allah juga mencipta keadaan-keadaan dan menguasai semua keadaan. Semua ciptaan Allah dalam genggaman Allah. Semua ciptaan Allah samaada yang nampak dan tidak nampak. Berapa banyak hujan yang turun dalam tahun ini dan dimana ia turun dan untuk kegunaan siapa, semua dalam aturan dan genggaman Allah. Angin yang bertiup dan debu-debu yang berterbangan, semua dalam kawalan Allah. Seorang walilullah sedang bermurakabah disebuah masjid, tiba-tiba angin bertiup membawa debu. Lalu dia merungut, tiba-tiba terdengar olehnya suara yang menyatakan bahawa Allah yang memerintah agar angin tersebut bertiup dan membawa debu-debu kedalam masjid, untuk memberi ganjaran kepada sesiapa yang bersedia membersihkan masjid. Seorang perempuan dizaman Nabi, membersihkan masjid (Baitullah), ia meninggal dan ia dimasukkan oleh Allah kedalam surga.

Thursday

Allah berkuasa atas asbab.


Maulana Yusuf rah. berkata: "Manusia mamahami bahawa kehidupan terjalin dari pertanian, cucuk-tanam dan sebagainya. Sedangkan Allah Taala telah musnahkan pertanian dan cucuk-tanam kaum Saba. Sebaliknya Nabi Ismail a.s berada dipadang dimana tidak ada pertanian dan cucuk-tanam tetapi beliau terpelihara. Hari ini yakin kita pada kekuatan angkatan bersenjata sedangkan Allah Taala telah hancurkan angkatan Abrahah yang kuat dengan mengirimkan burung-burung yang kecil. Semua ini bermaksud umtuk membetulkan yakin kita yang salah".

Saturday


Syadina Abu Bakar Siddik berkata: "Yang gelap ada lima jenis dan suluhnya lima jenis:
1- Cinta kepada dunia adalah gelap dan suluhnya adalah taqwa, 2- Dosa itu gelap dan
suluhnya adalah taubat, 3- Kubur itu gelap dan suluhnya adalah kalimah Laillahaillallah Muhamadurasulullah, 4-Akhirat itu gelap dan suluhnya adalah amal solih, 5- Titian diakhirat itu
gelap sedangkan suluhnya adalah yakin".

Begitulah, kegelapan dan cahaya itu tidak sama, bila datang cahaya, automatik kegelapan menghilang, bila datang hak, batil pun menyepi. Inilah usaha kita lagi dan lagi bagaimana
cahaya yang memberi petunjuk hadir dalam hati kita. Semoga Allah membantu kita.


Rasulullah s.a.w menasihati Abu Zar r.a: "Hai Abu Zar, perbaharui perahumu, kerana lautan terlalu dalam. Sediakan bekal secukupnya, kerana perjalananmu amat jauh. Ringankan bebanmu, sebab pendakian terlalu sulit dan bersihkan amalmu, sebab pemeriksaannya sangat teliti".

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:
English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai