Saturday

Usaha kearah khairul ummat - 2


Insan sebenarnya telah diamanahkan, yang mana amanah ini, gunung dan langit pun tidak sanggup memikulnya. Atas amanah ini, insan ditinggikan tarafnya sebagai khalifah, dimuliakan, dan dijadikan antara yang terbaik dimuka-bumi. Tetapi persoalannya, amanah yang bagaimana, dan jawapannya adalah tentulah sebagaimana yang dikehendaki oleh Pencipta yang mencipta segalanya.
Dan Allah Taala, Pencipta segalanya, saban waktu, sentiasa mengutus dan mengamanahkan para Anbiya untuk membimbing insan dan memahamkan insan supaya mengikuti jalan yang Allah kehendaki agar mendapat kejayaan didunia dan akhirat.
Begitu ramai Anbiya-anbiya yang diutuskan kepada kaumnya, sehinggalah kepada Rasulullah s.a.w yang diutuskan khas bukan hanya untuk kaumnya, bukan hanya untuk waktunya, tetapi untuk sekelian alam dan sekian segala waktu.
Rasulullah yang kedatangannya membawa rahmat adalah juga datang dengan tanggung-jawab yang dipikul untuk untuk membawa kebaikan kepada insan sekelian. Allah mampu untuk menukar segalanya kepada kebaikan dan memberi hidayat keseluruh alam, kerana kebaikan dan hidayat ditangan Allah semata-mata, namun alam dunia ini, Allah jadikan Darul Asbab, medan bersebab, iaitu bukan insan yakin pada asbab tetapi asbab adalah sebagai ujian buat insan.
Selepas Rasulullah, tiada lagi Anbiya akan dilahirkan, lalu tanggung-jawab ini diberikan kepada umatnya, yang mana bila umatnya mengambil jalan Rasulullah dan tanggung-jawab Rasulullah, maka dia akan dimuliakan dan dia telah memenuhi amanah sebagai hamba Allah.

Dalam kata lain, setiap yang mengambil kalimah Laillahaillallah, Muhamadurrasulullah sebagai pegangan hidupnya, adalah bertanggung-jawab untuk menjaga keaslian kalimah ini serta menyampaikannya.
Sebagaimana seseorang yang hendak mengambil susu untuk diminumnya dan juga untuk keluarganya atau tetamunya dll, semestinya, setelah memerah susu, tentulah dia akan menjaga keaslian susu tersebut seperti tiada anasir-anasir yang merosakkan susu tersebut mahupun susu tersebut tidak tumpah. Dan usaha ini pula adalah usaha harian, kerana jika hari ini, dia menjaga susu tersebut dengan baik, manakala esoknya sambil lewa, maka berkemungkinan rosaknya susu tersebut samaada dari segi kuantiti mahupun kualiti.
Sebegitulah dengan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, seasli mungkin, kita lakukan usaha sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah, seasli itu juga agama yang akan datang. Kerana kedatangan Rasulullah sendiri dan usaha Rasulullah keatas para Sahaba/Sahabi (sebagaimana seterusnya usaha ini disambung oleh para Sahaba/Sahabi keatas umat kemudian), bukan berpijak hanya pada teori-teori, tetapi suatu pratikal yang mana merupakan penyelesaian buat insan untuk mencapai kesempurnaan dan kejayaan didunia mahupun diakhirat.

Setiap usaha yang dilakukan untuk agama, akan membuahkan khair. Mungkin kita tidak nampak, namun inilah suatu kepastian dan janji dari Allah sendiri.
Antara khair yang utama, bagaimana sifat-sifat mulia datang pada diri iaitu sifat yakin kepada Allah, semakin memahami jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah, sifat sejati hamba Allah iaitu beristiqamah mendambakan diri pada Allah dan berusaha menghayati(khusyuk) dalam pengabadiannya, sifat tertanamnya minat mengetahui lebih mendalam akan ilmu kebenaran serta mengajar hati agar sentiasa berpaut pada Allah, sifat rahmat dan syafaqat kepada sekelian mahluk, sifat mengajar diri agar ikhlas kepada Allah yang mana membuat amal diterima, serta sifat seterusnya yang membuat seseorang insan itu begitu mulia iaitu seorang insan yang Allah dijadikan sebagai asbab kebaikan dan hidayat untuk insan-insan lainnya.

Lantas samaada telah terzahir atau belum kelihatan, yang pasti usaha keatas agama pastinya membuahkan kebaikan dan membawa umat menuju kearah khairul ummat.
Misal suatu kisah, seorang pemuda memasuki suatu desa, dilihatnya seorang petani yang begitu rajin dikebunnya. Tetapi pemuda itu hanya melihat bunga-bunga kecil yang layu dikebun tersebut. Lalu pemuda itu bertanya petani tersebut, kenapa bunga-bunga dikebun petani tersebut layu, dan pemuda tersebut terus menyambung percakapannya menerangkan teknik-teknik baru yang dipelajarinya bagaimana untuk menjaga bunga-bunga tersebut dari layu.
Setelah habis pemuda tersebut menerangkannya, sipetani itu menjawab, yang ditanamnya bukan bunga tetapi kentang. Bunga tersebut, bila sampai waktunya, tentulah layu jadinya, tetapi dibawah akarnya, kentang-kentang kian membesar dan sudah hampir masanya untuk dikutip.

Semoga Allah memberi kita kefahaman dan kekuatan untuk beramal.

Wednesday

Usaha kearah khairul ummat - 1.

Sesungguhnya, umat ini, umat Rasulullah adalah umatul khair, umat yang terbaik. Biarpun umurnya pendek jika dibandingkan dengan umat terdahulu seperti umat nabi Nuh yang mencecah 1000 tahun umur mereka, mahupun umat ini kurang amal solehannya jika dibandingkan dengan umat nabi Musa namun kerana umat ini merupakan umat Rasulullah s.a.w, nabi terakhir penutup pintu nubuwat dan diutus sebagai rahmat untuk sekelian alam, maka selama mana umat in mengambil usaha Rasulullah s.a.w, umat ini sentiasalah dalam kategori umat yang terbaik.
Justeru itu, sesiapa sahaja dari kalangan umat ini, akan terpilih menjadi mereka yang terbaik antara penghuni dunia, tidak kira statusnya, pekerjaannya, bahasa ibundanya, warna kulitnya, bentuk tubuh badannya, jantinanya, kepintarannya dan seterusnya, selama mana usaha yang dilakukan selari dengan usaha Rasulullah iaitu amar makruf wa nahi mungkar (mengajak kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran), serta beriman dan mengajak yang lainnya beriman kepada Allah.

Usaha Rasulullah, pertama-tamanya adalah usaha membawa rahmat Allah dan hidayat kembali meliputi sekelian alam yang mana permintaan pertama dalam membawa rahmat Allah serta mendapat hidayat dari Allah adalah bagaimana mengenal akan keesaan Allah lalu mendambakan diri kepadaNya semata-mata.

Usaha dakwah Rasulullah yang mana bermula dari rasa dan fikir untuk kebaikan, khair untuk sekelian alam. Atas rasa dan fikir inilah, maka lahirlah keinginan dan seterusnya membawa kepada perbuatan yang membawa kebaikan kepada diri dan sekelian alam. Rasulullah s.a.w sendiri dari zaman sebelumnya mendapat wahyu sehinggalah turunya wahyu, sentiasa dibelenggu kerisauan keatas keburukkan yang menimpa insan sekelian.

Usaha ini sekali-gus membuang perlahan-lahan segala sifat keburukan atau sifat yang bercanggah dengan kebaikan. Segala sifat yang membuat diri atau pun alam sekeliannya binasa seperti hasad, dendam, tamak, sombong dan lain-lain dapat digantikan kepada sifat kebaikan seperti pemaaf, pemurah, pengasih dan lain-lain. Ini kerana mereka yang berjaya membawa rasa dan fikir untuk kebaikan akan sentiasa mengharapkan kebaikan dan kerahmatan untuk sekelian alam.

Usaha ini, membuat seseorang itu, bila memerhatikan insan lain tidak kira samaada Islam atau yang belum Islam, akan mendoa dan mengharapkan hidayat untuk mereka. Samaada bangun diwaktu malam bersolat tahajud atau pun diwaktu-waktu lainnya untuk mendoakan hidayat, iaitu suatu kebaikan yang amat besar serta juga akan melahirkan tindakan-tindakan kearah kebaikan seperti melakukan ikram atau berpesan dalam keadaan berhikmah.

Usaha ini akan membuat seseorang itu melalui kehidupannya dalam keadaan tenang jiwanya, kerana tiada perasaan negatif menyaluti jiwanya. Mungkin lazimnya sebagai insan biasa, ada keadaan-keadaan tertentu yang membuat seseorang itu marah atau tertekan, tetapi dilubuk hatinya, adalah disinari kerahmatan, seperti seorang ayah yang memarahi anaknya kerana kenakalan anaknya, namun dilubuk hatinya adalah kasih kepada anaknya dan mengharapkan kebaikan untuk anaknya.

Usaha ini juga akan membuat seseorang itu bukan hanya akan menambahkan Ilmunya, malah akan diberikankan kefahaman keatas Ilmunya, yang mana kefahaman bererti juga kekuatan untuk melaksanakan Ilmu yang diketahuinya. Ilmu dan jahalat bukanlah sama, kerana Ilmu adalah sesuatu yang membawa kebaikan, manakala jahalat adalah mengetahui sesuatu, tetapi membawa keburukkan mahupun meninggalkan kesan yang untuk mempengaruhi suasana keburukkan samada disedari atau tidak.
Lantas dari itu, setiap dari umat ini yang baligh, dipertanggung-jawab untuk membawa usaha dakwah Rasulullah kedalam diri mereka mengikut kemampuan masing-masing dan tentunyanya usaha ini memerlukan pengorbanan diri, waktu mahupun harta-benda.




Monday

Menjaga amalan.

Amal dapat dilakukan dengan istiqamah serta dijaga mutunya bila datangnya yakin didalam hati. Selama-mana yakin yang sebenar-benarnya belum disemai dihati, maka bila-bila masa sahaja, mudah untuk kita meninggalkan amalan-amalan solehan kita, biarpun atas perkara-perkara yang kecil.
Tetapi bila adanya keyakinan yang sebenar, dapatlah kita menjaga amalan-amalan solehan kita. Misalnya, seorang petani yang menyemai benih buah mangga, walaupun tidak dilihat pokok yang akan tumbuh, tidak dilihat pokok yang menghasilkan mangga-mangga, tetapi diatas keyakinannya bahawa, semaiannya akan membuahkan hasil, maka dia terus menerus menanam dan menjaga semaiannya. Diairinya, dibaja dan dilindunginya semaian tersebut dari serangga-serangga perosak mahupun dari tumbuhan-tumbuhan liar yang menganggu proses pertumbuhan semaiannya, kerana yakinnya bahawa semaiannya akan menghasilkan mangga-mangga suatu hari nanti.
Sebegitulah bila seseorang insan mencapai yakin yang sebenar-benar pada Allah, pada ajaran Rasulullah, pada hari akhirat, pada ganjaran-ganjaran yang menjanjikan kebahagian yang berkekalan yang diperolehinya dari segala amalan-amalan solehannya, pada kerugian yang didapatinya bila meninggalkan sesuatu amalan, maka secara automatiknya, dia akan beristiqamah dan menjaga segala amalan-amalan solehannya.
Dan yang pasti, setiap sesuatu itu memerlukan waktu atau tempoh-tempoh yang tertentu, sebagaimana pokok mangga yang memerlukan waktu untuk menghasilkan buah mangga, sebegitulah kita memerlukan waktu dalam mencapai keyakinan yang sebenar. Waktu-waktu tersebut adalah waktu yang mana kita berusaha mencapai amalan yang dikehendaki Allah dan mengorbankan diri kita semata-mata kerana Allah.
Sebaik-baik pengorbanan adalah dengan melakukan usaha yang dilakukan oleh Rasulullah dan para Sahaba iaitu menyampaikan risalah tentang kebenaran Kalimah Laillahaillallah. Rasulullah dan para Sahaba telah meninggalkan kita cara-cara untuk mendapatkan keyakinan dan menjaga keyakinan agar tidak tergugat kerana selama kita hidup dimuka bumi ini, selama itulah syaitan yang bersenjatakan nafsu kita cuba menyelewengkan kita dan meletakkan kita dalam keadaan was-was. Menyampaikan atau mendakwahkan Kalimah Laillahaillallah adalah suatu penawar yang memusnahkan segala racun-racun yang ditabur oleh syaitan.

Tashahid niat

Sesungguhnya niat itu adalah puncak segala amalan solehan. Bila seseorang itu berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan, walaupun dia belum melakukannya, dia telah mendapat pahala, sedangkan bila seseorang insan itu melakukan bertimbun amalan solehan, namun tanpa keikhlasan, maka segala amalan solehannya tertolak.
Dalam pada itu, Imam Ghazali rah.a pernah berkata, untuk menghalang seseorang insan itu dari melakukan sesuatu amalan solehan, dari mulanya, syaitan cuba sedaya menghasut dan membuat khayalan dalam fikiran insan tersebut agar perbuatan amalan solehan itu tidak dilakukannya. Namun, bila insan tersebut tetap melakukannya dan tidak menghiraukan hasutan syaitan, maka syaitan akan membisikkan dihati insan tersebut bahawa amalan yang dilakukannya adalah tiada keikhlasan dan tanpa keikhlasan, segala amalan solehannya tidak bernilai dan apa yang dilakukan adalah sia-sia. Sehingga timbul perasaan was-was didalam diri insan tersebut untuk terus melakukan amalan solehannya dan bilamana insan tersebut meninggalkan segala amalan solehannya, maka berjayalah sisyaitan.
Justeru itu, tidak patutlah bagi kita untuk meninggalkan amalan solehan kita kerana berfikir, apa yang kita lakukan adalah tiada keikhlasan. Bahkan, kita sewajarnya sedaya upaya menghadirkan keikhlasan dalam amalan solehan kita dimana sentiasa cuba memperbaharui niat kita, Tashahid niat, iaitu memperbaharui niat harus dilakukan diawal perbuatan, dipertengahan perbuatan dan diakhir perbuatan.
Keikhlasan itu sendiri adalah milik Allah dan Allah mampu menitipkan dihati sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, kerana itu juga, pentingnya kita sentiasa berdoa kepada Allah Taala untuk membantu kita membawa keikhlasan didalam setiap amalan kita.
Segala amalan solehan, mempunyai kekuatannya tersendiri. Kerana itu, banyaknya ayat-ayat Al Quran dan juga hadis menyebut tentang kepentingan beramal soleh.
Setiap dari kita tahu akan riwayat bagaimana Nabi Adam a.s dijadikan dari tanah dan pada mulanya tiada ruh, dan Sang Iblis yang memasuki jasad tersebut dan mendapati, tiada apa-apa kelebihan pada jasad tersebut, tetapi bila ditiupkan ruh kedalam jasad Nabi Adam a.s, maka jadilah beliau mahluk yang mulia yang mana segala para malaikat termasuk Sang Iblis, diperintahkan sujud hormat padanya. Sebegitulah insan ini, mungkin pada mulanya, dia belum mencapai tahap yang mana dia akan dimuliakan oleh para Malaikat dan juga mahluk yang lain, dan amalannya belum tidak diterima oleh Allah Taala kerana tiada keikhlasan, tetapi, bila dia berterusan beristiqamah dalam amalan solehannya, maka sampai kesatu peringkat, jadilah dia insan solehan dengan penuh sifat-sifat keikhlasannya dan sifat-sifat murni yang lain, yang mana meletakkannya kesuatu tahap sebagai insan mulia dan dihormati oleh setiap mahluk, mahupun diredhai oleh Allah Taala dan seterusnya, amalannya diterima oleh Allah Taala. (Yakin pada Allah Taala dan yakin pada segala perintah Allah Taala)
Memang pasti, tiada siapa pun dapat memasuki syurga biarpun bertimbun amalan solehannya tanpa mendapat kerahmatan dari Allah Taala, namun yang pasti, dengan segala amalan solehan yang dikehendaki oleh Allah Taala untuk setiap insan supaya berusaha melakukannya, mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, insan itu sendiri "menarik" rahmat Allah agar dicucurkan kepadanya.

Sunday

Amal Ijtimai dan amal Infiradi

Semua amal yang kita lakukan untuk usaha agar agama yang sempurna tersebar keseluruh alam, mahupun bagaimana agama yang sempurna dapat datang kedalam diri dan keluarga kita adalah sebenarnya untuk memajukan diri kita sendiri. Melalui usaha ini, Allah akan mengangkat darjat seseorang dan untuk mereka yang gigih bermujahadah diatas jalan Allah, merekalah yang pertama-tamanya mendapat keuntungan dalam bentuk hidayat (petunjuk) menuju kearah kebenaran dan kehidupan yang diredhai Allah, dan malah dari itu, Allah akan menjadikan mereka asbab khair, punca kebaikan untuk semua.
Usaha-usaha yang dilakukan adalah keatas Iman dan amal solehan. Biasanya, kalau kita memperkatakan tentang amal-amal solehan, iainya terbahagi kepada dua iaitu amal Ijtimai (berjemaah atau beramai-ramai seperti solat berjemaah, majlis-majlis agama, masyuara dll) dan amal infiradi (amalan solehan yang dilakukan bersendirian seperti berzikir, tilawat Al Quran, solat sunat dll)
Kelebihan amal Ijtimai dengan amal Istimai adalah seperti lautan jika dibandingkan dengan air yang setitik. Amal Ijtimai yang dilakukan dalam keadaan beramai-ramai, biasanya ganjarannya begitu tinggi namun masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Tanpa air setitik, bagaimanakah untuk menghasilkan air selautan dan malah kita pernah mendengar perbahasa "kerana nila setitik, habis susu sebelangga dirosakkan".
Sebegitulah pesan Maulana Inamul Hasan rah: "Melalui amal Infiradi, amal Ijtimai akan mempunyai kekuatan. Perhatian khas hendaklah diberikan didalam berzikir dan membaca Al Quran dengan beristiqamah".
Salah satu kelebihan amal Ijtimai adalah dapat melindungi dan menampung kekurangan diri. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, yang lebih kurang maksudnya, bahawa bila seekor kambing biri-biri keseorangan, maka mudahlah untuk serigala membahamnya dibandingkan dengan kambing biri-biri yang berkumpulan, sebagaimana itulah, bila seseorang itu sentiasa bersendirian, maka mudahlah untuk syaitan mengoda atau menghasutnya, dibandingkan bila seseorang itu dalam berjemaah. Contohnya bila seseorang itu berjemaah atau duduk bersama kumpulan-kumpulan yang menyeru dan mengamalkan kebaikan, dapatlah dia untuk nasihat-menasihati, bertukar-tukar pandangan, bermasyuara tentang hal-hal penting, belajar sifat-sifat mulia dari yang lain, belajar memahami perasaan orang lain serta belajar bertolak-ansur dan mahupun dapat menghakis perasaan segan diri yang tidak bertempat.
Kerana itu, memang ditekankan akan kepentingan amal Ijtimai seperti contoh solat berjemaah yang mana merupakan salah-satu sunnah terbesar Rasulullah s.a.w dan para-para Sahaba r.a. Rasulullah s.a.w, sepanjang riwayatnya diMadinah, sentiasa bersolat berjemaah. Sebegitu juga solat Jumaat yang mana menghimpunkan para penduduk disatu-satu qariah pada setiap hari Jumaat adalah begitu ditekankan untuk dikerjakan oleh pihak lelaki muslim.

Saturday

Mengikut usul untuk mendekati Allah

Untuk mendekatkan diri pada Allah dan membuatNya redha pada kita dan malah menjadikan kita asbab khair (kebaikan), usul dan tertib usaha agama adalah penting untuk diikuti dan dilazimkan kedalam kehidupan harian kita. Rasulullah s.a.w dan para sahaba dan sahabi r.a telah mempamirkan kepada kita suatu corak kehidupan yang ada usul dan tertibnya. Jadi bila kita terokainya dan mengambil usul serta tertib ini kedalam kehidupan kita, maka kejayaanlah menanti kita serta umat sekeliannya.
Kejayaan, kemulian mahupun kehinaan umat tidaklah terletak ditangan Amerika, Rusia, China dan lain-lain. Tidak juga terletak dalam cara bangsa masing-masing, tetapi terletak didalam usul dan tertib agama yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w serta para sahaba ajjmain. Segala dari dunia ini yang kita gunakan hanyalah merupakan alat, bukan matlamat, sedangkan cara yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah matlamat dalam mencapai kejayaan didunia dan akhirat. Alat mungkin dapat menyelamat dan mungkin juga tidak, tetapi pencapaian matlamat adalah bererti pencapaian kejayaan yang menyelamatkan umat didunia dan diakhirat.
Sebagaimana yang kita fahami, segala yang dibangunkan, jika kita berkeinginan ia dapat membangun secara baik, stabil dan dapat dimanfaatkan, bergantung kepada perlaksanaan usul dan tertib dalam pembangunannya. Contohnya, bila seseorang itu membangunkan bangunan yang tertinggi didunia, tetapi tidak mengikuti usul dan tertib buat asas tapak pembinaan tersebut, maka bila datang sahaja gempa bumi hatta dengan skala yang kecil, runtuhlah bangunan tersebut.
Bani Israel adalah dari keturunan para Anbiya, tetapi apabila mereka merosakkan usul, sekali-gus mereka telah merosakkan agama yang benar dan berlanjutanlah mereka tinggal dalam kemurkaan Allah. Sebaliknya, para Sahaba dan Sahabi r.a adalah dari keturunan penyembah berhala, tetapi kerana mereka menghidupkan usul dan tertib dalam beramal, yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, lalu Allah meredhai mereka dan memuliakan mereka. Hingga keumat kini mahupun generasi seterusnya, mengambil contoh dan ilmu pengetahuan dari mereka.

Friday

Asas usaha agama...

Asas usaha agama dapat kita ambil dari para-para Sahaba dan Sahabi yang mana dididik terus dari Rasulullah s.a.w. Dan sebagaimana asas yang paling utama dalam usaha keatas agama adalah kalimah Lailahaillallah itu sendiri. Mereka, para pengusaha agama terdahulu, telah mematikan segala jasbah (semangat) dan tinggallah hanya jasbah (semangat) untuk berkorban pada Allah Taala. Dengan itu, Allah telah menurunkan rahmat dan hidayat dan menjadikan mereka asbab hidayat buat generasi seterusnya dan menjadikan amalan mereka sebagai cahaya untuk menerangi kegelapan batil didunia.
Kerana itu, asas usaha pertama kita adalah membawa kalimah Laillahaillallah kedalam hati kita dan hati umat keseluruhannya. Usaha buangkan segala berhala-berhala didalam hati kita seperti keberhalaan patong kufur, patong syirik, patong riak, patong sombong dan seterusnya dan memasukkan hanya keesaan Allah dengan segala kebesaranNya kedalam hati kita. Apabila hati-hati kita dipenuhi oleh nur kalimah Laillahaillallah, maka Allah akan memberi kita kafiat dan Allah akan sebarkan nur yang ada didalam hati kita buat kebaikan insan keseluruhannya. Sebab itu, pentingnya setiap insan melakukan usaha keatas agama.
Dan semakin banyak usaha, semakin banyak pengorbanan yang dilakukan, semakin kita akan dekat dengan Allah dan diredhaiNya. Para-para Sahaba dan Sahabi sendiri, begitu banyak mujahadah dan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka, hingga mereka mendapat mencapai maqam, "orang yang diredhai Allah". Dihari para Sahaba dan Sahabi menyatakan keIslamanan mereka, bermakna dimana hari penyerahan dalam mana segala yang dimiliki samaada dari segi kewangan, kesihatan mahupun waktu, adalah milik Allah semata-mata dan sayugia diserahkan kembali pada Allah Taala. Dasar penyerahan mereka inilah menyebabkan keimanan yang sebenar ada dalam diri mereka. Agama diutamakan lebih dari segalanya, bila terdengar panggilan-panggilan untuk memenuhi tugas-tugas agama, merekalah yang berdiri didepan menyahutnya.
Perlu ditekankan, walaupun semua insan berjaya atau gagal, iainya tidak memberi apa-apa kesan pada Allah, tidak menambah kekuatanNya, mahupun mengurangkan kekuatanNya. Allah yang mencipta segalanya, tidak memerlukan apa-apa usaha dari kita, segala usaha yang kita lakukan, yang mendapat keuntungannya adalah diri kita sendiri, kerana Allah telah menjadikan kehidupan kita ini sebagai medan atau ladang buat kita, untuk menghasilkan suatu kebaikan atau pun sebaliknya. Dan Allah dengan rahmatNya telah mengutus Rasulullah s.a.w dan seterusnya para-para Sahaba mahupun Sahabi untuk kita tauladani, apa dan bagaimana usaha dilakukan.

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:
English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai