Thursday

Keluarkan dunia, bukan keluar dari dunia



Lazimnya kalimah yang ada sesejak lahir sebagai seorang muslim, adalah hanya dilidah dan lidah bukanlah destinasinya. Sebagaimana seorang yang melakukan safar, selama dia masih diperhentian bas, dia belum lagi mencapai destinasi yang hendak ditujunya. Namun bila dia berusaha mendapatkan bas untuk pengangkutannya dan melakukan perjalanannya, akhirnya sampailah dia kedestinasinya. Sebegitulah, selama digelar muslim, lahir dengan kalimah Lailahaillallah, namun tiada usaha menbawa agama dan kebesaran Allah kedalam dirinya, selama itulah kalimah tersebut belum sampai kedestinasinya, iaitu hatinya.

Antara usaha pertama dalam menyelami pengertian kalimah Lailahaillallah adalah bagaimana mengeluarkan segala kebesaran dunia dari dalam hati dan membawa kebesaran Allah kedalam hati.

Usaha bagaimana dunia keluar dari hatinya, bukan dirinya keluar dari dunia. Hari ini, bila seseorang berusaha menuju kepada Allah, ada pihak lain menyatakan dia meninggalkan dunia kehidupannya, meninggalkan keluarganya, harta serta tanggung-jawabnya dan ini adalah tidak benar. Kerana tidak mungkin seseorang boleh meninggalkan dunia, meninggalkan tanggung-jawabnya sedangkan dia masih hidup?

Seperti contohnya, bagaimana seorang yang berlayar dengan kapalnya diatas air lautan meninggalkan air lautan? Hendak kemana dibawa kapalnya, sedangkan dia berlayar dilautan dalam? Apa yang diusahakannya adalah bagaimana air laut tersebut tidak memasuki kedalam kapalnya, dan bila air laut memasuki kapalnya, wajar dikeluarkan kembali kerana bila air laut tersebut memasuki dan memenuhi kapalnya, maka karamlah dia. Sebegitulah, apa yang diusahakan bila seseorang tersebut menuju kepada Allah, meninggalkan keluarganya untuk tempoh-tempoh tertentu kerana keluar dijalan Allah (sebagaimana misal dari pengorbanan para-para sahabah yang keluar menyebarkan agama kemerata penjuru dunia) adalah agar kebesaran dunia tidak masuk kedalam hatinya, kerana bila kebesaran dunia memasuki hatinya, maka luputlah kebesaran Allah dari hatinya dan tenggelamlah dia dalam kehidupan duniawi yang membawa kerugian buat dirinya, keluarganya mahupun masyarakat sekitarnya.

Dan sebagaimana yang dinyatakan, islah pertama-tama untuk umat adalah meyakini kebesaran Allah serta zuhud dunia. Sedang tafsiran zuhud menurut Syaidina Ali r.a adalah:

"Zuhud itu terdiri dari tiga huruf: Pertama Zai, kedua Ha, ketiga Dal. Ada pun Zai maksudnya Zadun lilma`ad (bekal untuk akhirat), Ha maksudnya Hudan liddin (petunjuk agama) dan Dal maksudnya Dawamum alatto`ah (sentiasa taat)"

Manakala pada tafsiran lain berbunyi:
"Zuhud itu terdiri dari tiga huruf, Zai maksudnya tarkuz zinah (meninggalkan perhiasan), Ha maksudnya tarkul hawa (meninggalkan keinginan nafsu), Dal maksudnya tarkud Dunya (meninggalkan dunia)."

Saturday

Memperolehi Ilmu dan menyampaikannya.




Abu Musa r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda:

Perumpamaan yang Allah turunkan kepadaku berupa Ilmu dan Hidayah (petunjuk) adalah seperti curah hujan yang lebat yang jatuh kepermukaan bumi (diatas 3 jenis daratan yang berbeza). Sebahagian dari tanah itu murni dan subur yang menyerap air dan menumbuh-suburkan tanaman serta padanag rumput. Dan sebahagian tanah yang kering dan mandul, bahagian ini menahan air (tanpa menyerapnya) dan Allah menyebabkannya bermanfaat kepada manusia untuk minum darinya, memberikan kepada ternak untuk minum daripadanya, dan mereka bercucuk-tanam (berkebun)serta memetik hasil daripadanya. Bahagian yang ketiga yang mana hujan jatuh keatasnya, adalah tanah yang berbatu, yang tidak menahan air dan juga tidak menumbuh-suburkan tanaman atau padang rumput. Demikianlah (halnya juga dengan manusia, dari tiga jenis tanah ini, manusia yang pertama) adalah orang yang menuntut ilmu agama dan kebaikan-kebaikan apa yang Allah turunkan kepadaku, ia mempelajarinya dan mengajarkannya, dan (orang yang kedua) adalah orang yang tidak mengambil manfaat bagi dirinya akan tetapi memberi manfaat kepada orang lain, dan (orang yang ketiga) adalah yang tidak peduli dirinya (serta orang lain tidak mendapat manfaat daripadanya)dan tidak mendapat hidayat Allah dari apa yang diturunkan melalui aku. (Bukhari)

Mencari ilmu itu adalah fardhu bagi setiap lelaki dan wanita Islam, dan mengenai ilmu, umat Islam mempunyai dua tugas iaitu belajar dan kemudian mengajar, sebagaimana yang dikatakan, ilmu itu merangkumi segala perintah Allah dan adalah tugas bagi setiap orang untuk menerima perintah Allah dan menyampaikannya kepada orang lain mengikut kemampuan dan hikmahnya.

" Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu), bererti kamu tidak menyampaikan amanatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada orang-orang kafir." Al Maidah : 67)

Apa yang diperintahkan kepada Rasulullah s.a.w didalam ayat diatas juga menimpa setiap orang Islam sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda: " Sampaikan (apa-apa yang kamu dapat) daripadaku walau satu ayat sekalipun"

Sebagaimana juga didalam hadith yang lain menyatakan: " Seorang yang menyembunyikan ilmu apabila diminta daripadanya, akan dikekang dengan api neraka pada Hari Qiamat"

- Dan alhamdulillah, brakah usaha mereka yang berkorban kesetiap penjuru alam untuk membawa agama kedalam diri mereka serta untuk umat sekelian, ramai yang berpeluang untuk menimba ilmunya. Begitu ramai yang tidak berpeluang mempelajari agama sesejak kecil, tidak berpeluang ke madrasa-madrasa atau kelas-kelas pengajian (sebagaimana maklum keadaan umat dimana-mana), mahupun yang belajar atau mengetahui tetapi kerana suasana kehidupan duniawi yang membuat mereka jauh dari mengamalkan perintah Allah serta sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w, alhamdulillah, asbab kerja agama ini, mereka berpeluang belajar mahupun membawa perintah Allah berserta sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w didalam kehidupan mereka.

Sebagaimana salah satu contohnya seorang yang begitu berusia, yang tidak tahu cara-cara berwuduk dan bersolat dan segan pula bertanya serta tiada siapa mempedulikannya, alhamdulillah asbab jemaah datang menziarahinya, mengajak dia sama-sama keluar dijalan Allah, maka berpeluanglah dia belajar tanpa segan-segan terutama adanya usaha ikhram, kasih-sayang serta bertolak-ansur semasa keluar dijalan Allah. Asbab "Madrasa bergerak", berjuta-juta malah keangka berpuluh-puluh juta insan diseluruh dunia dapat kembali mengambil perintah Allah berserta sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w kedalam kehidupan mereka.

Monday

Dars dan dakwah


Usaha agama adalah bagaimana agama itu tersebar keseluruh peringkat, tidak kira dimana dan kepada siapa. Dari masjid tersebar kepejabat, kestor-stor, ketoko-toko kedai, kekilang-kilang, ketempat-tempat pengajiaan, kekomplek-komplek, lorong-lorong, ladang-ladang dan seterusnya. Yang mana seakan sahutan panggilan azan, disambung secara manual keseluruh penjuru alam.

Azan yang memperkatakan tentang kebesaran Allah, penyaksian keatas keesaan Allah, penyaksian keatas kenabian Rasulullah s.a.w, keutamaan kepada solat dan kejayaan didunia serta akhirat adalah dengan mengikut perintah Allah adalah mudah dan suatu yang sentiasa berulang-ulang yang mana sehingga kanak-kanak yang belum memasuki kelas tadika pun dapat memperkatakannya.

Dan ini adalah asas dakwah ilallah, yang mana ramai tidak faham akan perbezaan antara dars dan dakwah. Dars atau pengajian memerlukan kepakaran atau ilmu mendalam keatas sesuatu masail atau perkara dan wajar dilakukan oleh mereka yang benar-benar arif atau tahu serba-serbi atau juga berpengalaman dalam sesuatu topik serta ianya lazim sentiasa berubah-rubah topiknya sehinggalah sesuatu pengajian tersebut tamat manakala dakwah adalah kerja seluruh umat Islam dalam menuju kepada Islam dan perkataan didalam kerja dakwah adalah yang terbaiknya suatu perkataan mudah serta difahami umum biarpun ianya adalah suatu perkataan yang berulang-ulang seperti azan yang dilaungkan.

Sebagaimana bila seseorang tersebut meninggal dunia, maka sesuatu jemaah tersebut bertanggung-jawab memandikan jenazah tersebut, mengkafan dan mengebumikannya, bukan hanya tugas Tok Imam dan malah Tok Imam tidak akan mampu bersendirian menguruskan jenazah tersebut. Terlebih dari itu, semakin ramainya yang memakmumkan solat jenazah, semakin afdal. Sebegitulah, bukan hanya kerja Tok Imam atau alim-ulamak memanggil insan lain kepada Allah tetapi ini adalah kerja keseluruhan umat Islam.

Dan setiap yang keluar dijalan Allah atau keluar kerana Allah, dia tidak akan kerugian tidak kira darjat, kedudukan, rupa dan seterusnya. Sebagaimana kisah disurah Khaf, tiga golongan yang keluar dijalan Allah dan masing-masing beroleh kemanfaatan mengikut kemampuan masing-masing.

Golongan yang pertama adalah pemuda-pemuda yang lemah, baru beriman dan cuba mempertahankan iman mereka lalu mereka keluar untuk menyelamatkan iman mereka. Mereka singgah disuatu gua yang mana disitu Allah telah menidurkan mereka selama 309 tahun. Dalam-mana dengan berkeadaan tidur sahaja, mereka telah menyelamatkan iman mereka.

Golongan kedua adalah para alim-ulamak sebagaimana contohnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s memberitahu pada umatnya bahawa dia adalah yang paling arif, maka Allah perintahkan dia keluar lalu dia bertemu dengan Khidir a.s yang mana terlihat oleh Nabi Musa kemudiannya, masih begitu banyaknya ilmu terlindung yang tidak diketahuinya.

Dan golongan seterusnya adalah mereka yang berkeupayaan besar dari segala sudut seperti contohnya Raja Zulkarnain, yang mana beliau telah keluar kearah matahari terbenam serta kearah matahari timbul diseluruh penjuru alam dalam memerhati dan membawa kebesaran Allah sehinggakan Allah telah menjadikan beliau sebagai asbab khair iaitu terpenjaranya kaum liar Yajud-Majud sehingga kini dan malah sehingga suatu masa yang ditentukan kelak.

Begitulah contohnya, mereka yang keluar dijalan Allah dengan ikhlas, tidur mereka pun bernilai, ilmu mereka pun bertambah serta berkemungkinan Allah menjadikan mereka asbab khair untuk sekelian alam serta mahluk, yang mana merupakan suatu anugerah yang begitu tinggi nilainya.

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:
English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai