
Allah Maha Mendengar dan Maha melihat. Tiada suatu pun yang terhalang dari pendengaranNya, sekalipun halus, serta tiada suatu pun yang terhalang dari penglihatanNya, sekalipun begitu amat kecil. PendengaranNya tidak terbatas dengan jarak yang jauh mahupun dekat dan penglihatanNya tidak terbatas seperti kerana ketiadaan cahaya atau gelap dan seterusnya.
PendengaranNya dan penglihatanNya itu tidaklah sama sekali dengan pendengaran dan penglihatan oleh mahluk, sebagaimana zatNya tidaklah menyamai sama sekali dengan zat mahluk.
Allah Maha berfirman, Pemberi perintah dan larangan, Pemberi janji dan ancaman. Al Quran, Taurat, Injil dan Zabur adalah kitab-kitab yang diturunkan olehNya kepada rasul-rasulNya dengan cara berfirman yang merupakan sifat zatNya dan bukan merupakan mahluk dari sekian mahluk-mahlukNya yang lain. Bahawasanya, Al Quran adalah firman Allah yang bukan mahluk, kerana kalau mahluk atau bersifat mahluk, tentulah ayatnya akan rosak, hilang atau musnah, sedangkan ayat Al Quran itu dijamin oleh Allah sendiri akan pemeliharaan keatasnya.
Allah adalah Tuhan yang Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala keputusanNya. Maka dari itu semua selain Allah, baik manusia, jin atau malaikat, mahupun langit, bumi, bintang, tumbuh-tumbuhan, benda padat, yang dapat dilihat atau yang dapat dirasai, semuanya itu adalah benda-benda baru yang dicipta olehNya dengan kekuasaanNya, yakni yang dahulu tiada kemudian dijadikan ada, ditumbuhkan dari asalnya belum wujud lalu wujud, sebab sejak azali yang Maha Ada itu hanya Allah dan tidak ada yang lain.
Maka Allah mengadakan mahluk sesudah itu, sebagai tanda bukti kekuasaanNya, juga untuk merealisasikan segala sesuatu yang telah dikehendaki olehNya, juga kerana sebagai kebenaran kalimatNya sejak azali lagi. Segala sesuatu itu dicipta, bukan kerana Allah memerlukan atau berhajat kepadanya, sebaliknya segala yang diciptaNya sentiasa berhajat kepada Allah.
1. Katakanlah: Dia-lah Allah Yang Maha Esa
2. Allah yang menjadi tumpuan sekelian mahluk untuk memohon sebarang hajat
3. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan
4. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa denganNya
Surah Al-Ikhlas yang diturunkan diMakkah berisi penegasan tentang keesaan Allah, tentang Allah tidak berhajat atas apa pun melainkan segalanya yang berhajat kepadaNya serta tiada apa pun yang menyerupai Allah.
iQuran BahasaMelayu