
- Tentang kalimah syahadah:
Kepercayaan ahli sunnah mengenai zat Allah s.w.t yang Maha Suci ialah bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, Maha Dahulu yang tiada permulaaNya,
wujudNya yang tiada penghabisan. Dia adalah Maha Abadi, Maha kekal, tiada binasa sama sekali. Dia tidak akan hilang dan tidak akan lenyap, bersifat dengan segala keagungan. Tidak akan musnah atau terputus sekalipun dengan berlalunya waktu.
Bahkan Allah adalah Maha Dahulu dan Maha Akhir. Maha zahir dan Maha Batin. Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia bukanlah suatu benda yang dapat digambarkan.
Dia tidak menyamai segala yang wujud dan tidak suatu pun benda yang wujud menyerupai sifatNya. Dia tidak dibatasi oleh penjuru atau arah, tidak pula didalam lingkungan
bumi atau langit. Dia "beristiwa" diatas arasy sebagaimana yang difirmankan olehNya dan dengan pengertian yang dikehendakiNya.
Dia ada diatas arasy dan langit, bahkan diatas segala sesuatu sehinggakan kedasar tanah dan dibatas bumi dan ketinggianNya itu tidak menambah jaraknya dengan arasy atau langit,sebagaimana juga tidak menambahkan jarakNya dari bumi dan tanah. Bahkan ia Maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah. Sekalipun demikian, Dia tetap dekat dengan segala yang wujud, Dia lebih dekat dengan hambaNya daripada hamba itu dengan urat lehernya sendiri, sebab kedekatanNya itu tidak sama dengan dekatnya benda, sebagaimana juga zatNya itu tidak sama dengan zat segala mahluk dan benda.
Dia tidak bertempat disuatu benda dan tiada sesuatu benda pun bertempat dalam zatNya. Maha suci Allah daripada dilingkungi oleh sesuatu tempat, sebagimana Maha Suci Dia daripada dibatasi oleh masa,bahkan Dia telah ada sebelum terciptanya zaman dan tempat dan sampai sekarang ini pun masih tetap dalam keadaanNya sebagaimana dahulu.
Dia adalah Tuhan yang Maha Luhur, Maha Hidup, Pemaksa, Pemberi Balasan, yang tidak dihinggapi sifat lalai serta lemah, tidak mengantuk ataupun tidur, tidak juga rosak
ataupun mati. Dia adalah Maha Satu dan Sendiri dalam mencipta dan membuat segala yang baru, Maha Esa dalam menjadikan dan membentuk.
Dia Maha mengetahui segala sesuatu, meliputi segala perkara atau peristiwa yang terjadi, mulai dari dasar tanah hingga kepuncak langit,tidak terhalang daripada penglihatanNya sekalipun seberat debu yang ada dibumi ataupun dilangit, bahkan Dia mengetahui gerakan seekor semut hitam yang berjalan diatas batu hitam yang licin diwaktu malam yang kelam.
Dia mengetahui bagaimana gerakan sebutir debu ditengah-tengah cakerawala ini. Dia Maha Mengetahui segala yang disembunyikan atau yang diterangkan. Mengetahui apa-apa yang terlintas dalam kalbu, apa-apa yang tergerak dalam ingatan ataupun rahsia yang disembunyikan. Semuanya itu dimaklumi dengan sifat ilmuNya.
bersambung....
No comments:
Post a Comment