
Sesungguhnya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, tertutuplah pintu wahyu namun dalam pada itu, ilham buat kebaikan dari Allah tetap datang pada insan dari masa kesemasa. (Ilham yang datang pada insan selepas Rasulullah s.a.w bukanlah merubah syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, tetapi merupakan bisikan-bisikan untuk kebaikan dan kearah kebenaran)
Ilham dari Allah pada insan selain dari anbiya adalah seperti kisah ibu Nabi Musa, dikala dia begitu ketakutan akan Firaun Ramsses membunuh anaknya, lalu Allah ilhamkan agar dia hanyutkan Nabi Musa dalam bakul disungai Nil.
Untuk seorang yang beriman, asas utama untuk mendapat ilham dari masa kesemasa buat kebaikan serta kebenaran adalah dengan usaha keatas Iman, dalam mana usaha mendapat Iman dan Istiqamah diatas keimanannya sebagaimana Allah berfirman yang lebih kurang maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, maka turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) serta janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat..."
Sebaliknya, syaitan juga saban waktu sentiasa cuba memberi ilham kepada insan untuk menuju kemungkaran dan kesesatan. Saban waktu dibisikkannya kepada insan berbagai-bagai racun fitnah, hasad, was-was dan seterusnya sehinggalah insan tersebut mengikut segala bisikkannya dan tenggelam dalam kegelapan.
Hatim Al-Asom seorang ahli hikmah berkata: "Tiada satu pagi berlalu melainkan syaitan tetap membisikan kepadaku: Apa yang akan engkau makan hari ini, apa yang engkau akan pakai hari ini dan dimana engkau akan bertempat tinggal? Maka aku pula menjawab: Aku akan memakan maut, memakai kain kafan dan bertempat tinggal didalam kubur".
- Istiqamah adalah lebih baik dari seribu karamah, dalam mana juga, amal yang sedikit tetapi istiqamah dalam melakukannya adalah lebih baik dari amal yang bertimbun tetapi tidak istiqamah dalam melakukannya.
2 comments:
syaitan adalah musuh manusia yang nyata.
Benar ziarah76, Iblis telah berjanji akan memesong setiap bani Adam kecuali mukhlisin, iaitu mereka yang ikhlas. Semoga kita sentiasa dapat memperbaharui niat kita dalam setiap amal. Diawal, pertengahan dan selepas sesuatu amal sebagaimana yang disarankan oleh para masyaikh.
Post a Comment