Pada malam israk dan mikraj, Jibril turun lalu membelah dada Rasulullah s.a.w. Setelah membasuhnya dengan air zam-zam, dibawanya bejana emas yang berisi hikmat dan iman lalu dituangkan kedalam dada Rasulullah s.a.w sebelum ditutup kembali. Kemudian didatangkan Buraq, iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari himar tetapi lebih kecil dari baghal. (Ada yang menyatakan bahawa istilah nama buraq adalah kemungkinan dari perkataan barqu yang bermakna kilat, iaitu sejenis haiwan yang mampu bergerak seperti kilat, wallahualam)
Rasulullah s.a.w ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil dimana mereka juga berhenti di Thaibah (Madinah) iaitu tempat dimana kemudiannya Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, bukit Tursina iaitu tempat Nabi Musa .a.s berkata-kata dengan Allah dan juga Baitul-Laham/Bethelehem iaitu tempat Nabi Isa a.s dilahirkan.
Dimasjid Al-Aqsa, Rasulullah s.a.w telah mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan seluruh para Nabi dan mursalin menjadi makmum. Kemudian Jibrail membawa dua bejana yang berisi arak dan susu, dimana Rasulullah s.a.w memilih susu lalu diminumnya. Berkata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. “Engkau telah memilih fitrah”
Rasulullah s.a.w kemudiannya menyaksikan peristiwa-peristiwa yang amat ajaib buat pengajaran iaitu :
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah.
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka kembali kepada asalnya, lalu dipecahkan kembali. Keadaan ini dilakukan berulang-ulang. Jibrail memberitahu Rasulullah s.a.w: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah.
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan dan mereka memakan bara api serta batu dari neraka Jahannam. Jibrail berkata: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat buat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Jibrail berkata: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Jibril berkata: “Itulah orang yang makan riba“
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Jibrail berkata: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
- Satu kaum yang sedang mengunting lidah dan bibir mereka dengan pengunting besi dimana setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Jibrail berkata: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Jibrail berkata: Itulah orang yang memakan daging manusia (dengan mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan atau memfitnah) orang lain.
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit dan cuba kembali memasuki lubang tersebut tetapi tidak berjaya. Jibrail berkata: Itulah orang yang sombong dan bercakap besar (Takbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah s.a.w tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah s.a.w berhenti. Rasulullah s.a.w tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah s.a.w untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment