Saturday

Kes Muslim bunuh diri semakin serius

Bunuh diri oleh orang Islam sering dikaitkan dengan kerapuhan agama dan tidak dinafikan andaian itu ada benarnya tetapi ia bukan faktor utama kerana ada fenomena bunuh diri masih meninggalkan persoalan sukar dijawab hingga kini.

Terutama apabila tindakan itu dilakukan mereka yang berpengetahuan agama, membuatkan pihak di sekeliling perlu membuat penilaian sewajarnya. Malah Arab Saudi juga berdepan dengan masalah bunuh diri yang berleluasa, negara terletaknya tanah suci Makkah dan Madinah.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Badli Shah Alauddin, berkata bunuh diri kini menjadi masalah global termasuklah umat Islam. Kejadian itu juga menimbulkan polemik berterusan apabila dikaitkan dengan faktor agama kerana perbuatan itu sudah dimaklumi hukumnya sekali gus membangkitkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.

“Kerenggangan atau kurang ilmu pengetahuan agama dikatakan sebab seseorang mengambil tindakan membunuh diri. Tetapi jika diteliti daripada perkembangan berlaku di seluruh negara, banyak lagi faktor mendorong seseorang itu berbuat demikian.

“Sukar mengandaikan apabila di kalangan yang hebat ilmu agamanya turut terbabit dengan kejadian bunuh diri seperti berlaku di Arab Saudi di lokasi yang tidak terfikir kita,” jelasnya.

Katanya, awal 2009, Arab Saudi digemparkan kes profesor bidang Sejarah dan Kebudayaan di Universiti Ummul Qura, Makkah, Prof Nasser al-Harithy, 50, yang dijumpai mati tergantung pada kipas siling di pejabatnya dengan serban.

Agak menghairankan apabila dia mengambil tindakan sebegitu memandangkan lokasi universiti berhampiran dengan Padang Arafah, terletak 30 kilometer dari Masjidilharam. Siasatan menunjukkan punca dia mengambil tindakan itu disebabkan menanggung hutang mencecah 8 juta riyal.

Menurut laporan Laura Bashraheel (Arab News bertarikh 1 Disember 2009) berkenaan kes bunuh diri, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengeluarkan statistik agak mengejutkan iaitu ada 295 kes bunuh diri pada 2008 terdiri daripada 259 lelaki dan 36 perempuan. Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 2006 iaitu 266 kes bunuh diri dicatatkan.

Menurut laporan itu lagi, golongan wanita kebiasaannya membunuh diri dengan cara meminum ubat dengan dos berlebihan, minum racun dan peluntur. Bagi lelaki pula, kebiasaannya memilih cara menggantung atau menembak diri sendiri.

Selain itu, pendedahan Pakar Rujuk (Kanan) di Hospital Psikiatrik Jeddah, Dr Saad al-Khateeb menunjukkan golongan terpelajar antara paling ramai membunuh diri termasuk profesional seperti doktor dan peguam selain pegawai polis dan pemilik hotel.

Nisbah satu kes bunuh diri yang berlaku dalam setiap 40 saat di seluruh dunia jelas menunjukkan seriusnya permasalahan ini. Di Jepun saja, setakat enam bulan pertama tahun ini 15,906 orang membunuh diri dan di Korea Selatan, negara yang statistik bunuh dirinya menjadi antara tertinggi di dunia, menyaksikan 15 hingga 44 rakyatnya mati bunuh diri bagi 100,000 penduduknya.

Artis Korea Selatan antara yang tertinggi gemar membunuh diri dengan terbaru aktor Park Yong-Ha yang menggantungkan dirinya menggunakan kabel pengecas telefon bimbit.

Negara kita juga tidak terkecuali. Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000 mati bunuh diri.

Badli Shah berkata, perbuatan membunuh diri bukan termasuk perkara mensyirikkan Allah tetapi tergolong dalam perbuatan maksiat berstatus dosa besar dan pelaku dosa besar dikenali sebagai golongan fasik.

Beliau berkata, ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat jenazah golongan fasik ini sama ada jenazah itu terdiri daripada golongan yang tidak solat, tidak berzakat, penzina, peminum arak dan termasuk juga bunuh diri.

Sebahagian ulama seperti Umar Abdul Aziz dan juga al-Auza’i berpandangan, jenazah orang fasik tidak boleh disolatkan. Imam Abu Hanifah dan sahabatnya bersetuju dengan pendapat ini namun dalam kes tertentu seperti solat ke atas jenazah golongan pemberontak (al-Baaghi) dan memerangi Islam (al-Muharib).

Bagaimanapun, secara sepakat, ulama termasuk Imam Malik, Syafi’i, Abu Hanifah serta jumhur ulama berpendapat jenazah orang fasik tetap wajib disolatkan.

Antara dalilnya, sabda Nabi SAW diriwayatkan ad-Daruqutni dan at-Tabrani yang bermaksud: “Solatlah kamu di belakang sesiapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah dan solatlah oleh kamu sesiapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah.”

Imam Syaukani dalam hal ini mengulas: “Solat jenazah ke atas orang fasik telah ditunjukkan oleh hadis itu”, sementara Imam Nawawi menyatakan, telah hampir mencapai ijmak bahawa orang yang mati kerana bunuh diri tetap perlu disolatkan dan dikuburkan di tanah perkuburan orang Islam.

“Maka dalam konteks sekarang maka elok kita melihat kepada pendapat jumhur ulama kerana dalilnya lebih kuat (rajih). Justeru, jenazah orang fasik tetap wajib hukumnya disolatkan. Hujahnya, mereka adalah Muslim, bukan kafir,” katanya.

Namun katanya, bagi pemimpin atau tokoh masyarakat seperti khalifah dan ulama, sebaiknya tidak mensolatkan jenazah orang fasik sebagai satu bentuk hukuman serta pelajaran atas jenazah yang bersangkutan sekali gus kecaman supaya yang hidup tidak meniru perbuatan tercela itu.

Badli Shah berkata, berdasarkan penjelasan pendapat serta huraian itu jelaslah jenazah orang bunuh diri tetap wajib disolatkan kaum Muslimin dan tidak ada larangan kecuali wujud dalil khusus melarangnya.

Di samping itu, ada pandangan ulama, Rasulullah SAW tidak mensolatkan orang bunuh diri kerana itu hukum khusus kepada baginda tetapi tidak orang lain seperti kes orang mati meninggalkan hutang yang Rasulullah SAW tidak mensolatkannya tetapi memerintahkan penyempurnaan solat jenazah kepada sahabat lain.

Oleh Hasliza Hassan (hasliza@bharian.com.my, 2010/09/25)

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

- Sesungguhnya kejayaan dan kebahagian sebenar didalam hidup didunia, serta suatu kehidupan yang sentiasa mendapat petunjuk mahupun pelindungan dari Allah Taala adalah didalam pelaksanaan dan penghayatan kepada agama Islam disamping mendakwahkannya.

6 comments:

Ziarah76 said...

hati yang berzikir, mengingati Allah akan menjadi tenang.

zarch said...

Ya Z76, sesungguhnya dengan mengingati Allah akan membuat hati menjadi tenang. Semoga Allah memberi taufik dan hidayat untuk kita semua kearah suasana kehidupan yang sentiasa mengingati Allah saban detik.

Admin said...

kala maksiat itu berlaku, kala itu kita lupa pada Yang Satu.

~KiLaT~
eh.. macam ustaz laks. jom 40H cuti sekolah. Bangladesh....

zarch said...

Iradat tu memang ada Tuan Kilat... tapi.. oklah, jangan lupa nama saya dalam doa Kilat agar saya dapat pergi skali dgn tuan keBangladesh.

Hideossle said...

bukan ke mati bunuh diri tu bersamaan dengan mati dalam keadaan kafir. dengan mendiskripsinya sebagai "fasik" semata-mata, dikhuatiri lebih ramai umat islam akan hilang takut untuk membunuh diri. statistik menunjukan kadar membunuh diri paling rendah adalah pada negara-negara islam. kemungkinan besar kerana islam mempercayai bahawa bunuh diri itu bersamaan dengan kekafiran dan bukan kefasikan semata-mata.

zarch said...

Assalamualaikum, selamat singgah Hideossle. Pertamanya kita kena faham makna perbezaan antara kafir dengan fasiq.

Secara kasar, maknanya kafir adalah mereka yang ingkar serta menolak dari mempercayai Allah atau ingkar serta menolak ajaran Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Manakala fasiq adalah mereka yang mempercayai Allah serta tidak menolak ajaran Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, hanya orang fasik adalah mereka yang tidak mempratikkan ajaran Islam atau melanggar hukum-hukum Allah.

Misalnya seorang fasiq adalah seperti seorang murid yang nakal dan ponteng sekolah namun dia masih lagi merupakan seorang murid pada sekolah sekian-sekian.

Wallahualam...

Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai