Imam Ahmad Bin Hambal Dipenjarakan
Ahmad bin Muhammad bin Hambal.
Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki
sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di
Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama
datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hambal hidup dalam keadaan
miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah
yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah
bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain
dan kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau
lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang
menerima hadiah-hadiah.
Ketika ia masih berumur 14 tahun,
Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau
bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama
yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya,
berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun
terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang
telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji
keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas
dari berbagai ujian dan cubaan.
Ujian dan cubaan berupa fitnah,
kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi
orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran.
Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang
dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu
datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga
timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.
Imam Hambali berada di zaman
kekuasaan kaum Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah
makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga
barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu
akan mendapat seksaan. Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan
Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat
bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu
menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat
demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar
melarikan diri dari Baghdad.
Sultan Harun Al-Rasyid pernah
berkata: “Kalau umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar
nescaya akan kubunuh dia dengan cara yang belum pernah aku lakukan
terhadap yang lain?” Selama 20 tahun lamanya Syekh Basyar menyembunyikan
diri dari kekuasaan Sultan.
Tetapi setelah Sultan Harun
Al-Rasyid meninggal dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin
barulah Syekh Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia
mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin
juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut.
Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.
Kemudian kepala negara pindah lagi
ke tangan saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan
Al-Makmun inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima.
Al-Makmun sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada
suatu kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar, untuk
membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap berpendapat bahawa
Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya pendapat itu
diterima orang ramai.
Pada masa itu satu-satunya ulama
yang keras berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah
Imam Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa
Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah
Kalamullah.”
Imam Hambali satu-satunya ulama
ketika itu yang berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu
bahasa. Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia
dipanggil bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin
Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua
ulama di antara mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat baginda
sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh dengan tegas menjawab
bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu dimasukkan ke dalam
penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat dari Tharsus
yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.
Kedua ulama tersebut betul-betul
dirantai kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang
ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya
dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar
bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam
pendirian.
Terhadap Imam Hambali mereka minta
supaya dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja
menerima usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja dan
ditanyakan tentang pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan
pendiriannya bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia
menegaskan lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.
Akhirnya terjadilah persidangan yang
dipimpin oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali
dan berkata: “Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW saya akan
memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah
saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya kata?” Kerana Imam
Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka baginda memerintahkan
kepada perajuritnya untuk memukul Imam Hambali.
Ketika cambuk yang pertama singgah
di punggung beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang
kedua, beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah” (tiada
daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga
kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk”
(Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan
yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah ayat 51.
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan
menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi
kami.”Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah merah.
Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam
penjara kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa ke Kota
Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu
Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya:
“Hai Abu Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak wahai
Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu.
Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah
umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat
juga tidak mahu menjawab seperti apa yang ingin engkau jawab. Bila
engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau juga akan mati dengan cara
yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti kehendak mereka.”
Mendengar kata-kata Ja’far itu
beliau mencucurkan air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!,
Masya-Allah!. Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama
Abdul Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini
seorang pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun saya
tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal saya menyedari bahawa saya
salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima dera, sebab engkau
dalam kebenaran.”
Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal
dunia pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang
mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun
Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah. Sebelum Khalifah
Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada bakal
penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”
Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa
para ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar
hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad bin Abi
Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa
jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran
itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang berat.
Setelah kerajaan dipegang oleh
Al-Muktasim ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada
suatu hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali dengan
melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat
mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali
tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.
Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.
Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”
Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.
Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”
Penderaan pun terus berlangsung,
sehingga beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus
dan hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas
sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika
Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah Engkau
jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula seluar beliau yang akan
jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi terlihat
oleh orang ramai.
Penyeksaan terhadap beliau itu baru
berakhir setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir
kemudian berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan
saja tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya,
pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh
badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap didera
sehingga pengsan.
Setelah Al-Muktashim meninggal dunia
ia diganti dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak
penganiayaan dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah
yang memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i.
Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi:
“Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa Al-Quran
itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam neraka,
kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari
kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin
Naser.
Kemudian Khalifah Al-Watsiq
meninggal dunia dan digantikan dengan saudara beliau yang bernama,
Al-Mutawakkil. Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan
diadakan pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam
Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau
diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau
tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima dan
dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.
Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul
Awal tahun 241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan
tenang dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh
Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih dari
130,000 orang muslimin. Demikian berakhirnya riwayat seorang penegak
kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui berbagai
seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada jalan Allah
menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan
keredhaanNya.
Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan seksaan.
Firman Allah ertinya:
“Apakah manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka
tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang
sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang
benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang
dusta.”(Al-Ankabut: 2-3)