Imam Malik Diheret Dan Didera
Imam Malik dilahirkan di sebuah
perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota
Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin
Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di
Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.
Ketika Imam Malik berusia 54 tahun,
pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad.
Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin
Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti
di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam
Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak
sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh
berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang
disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga
akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.
Kemudian gabenor meminta agar fatwa
tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan
hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa
tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak
sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau
mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan
hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.
Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh
pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor
memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera
Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan
dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah.
Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.
Mereka mengarak Imam Malik supaya
Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap
dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan
sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir
patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:
“Aku dihukum dera begitu berat
lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan
Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”
Bagi Imam Malik hukuman semacam itu,
bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh
jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada
jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan
pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu,
saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata:
“Aku mengharap semoga Allah
mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan
kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.” Insya
Allah.
No comments:
Post a Comment