Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai
Imam Syafie bernama Muhammad bin
Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas
bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul
Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi
Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama
sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H
atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah.
Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke
daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju
Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih
dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan
ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah
hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab
Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah
dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah
SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15
tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan
menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam
Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi
belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak,
Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi
ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam
beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi
malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan
sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat
dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau
diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman,
sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang
pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai
orang yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan
bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah,
sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah,
mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan
Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka
diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda
Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu
diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang
paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan
telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus
dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam
surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin
Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada
bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua
belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh
berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara
(Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad
belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada
rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun
dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan.
Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan
memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher
yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang
diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang
menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian
beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan
segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua
belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan.
Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah
wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau
mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan
mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat
izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Tidak saya
ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati
baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut.
Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada
orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang
soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di
bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka
berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang
telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar
(keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman
sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas
kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati
janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam
baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi
bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa
engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan
atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab
pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika
belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu
baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang
mengikat lmam Syafie itu.
Setelah rantai yang membelenggu
kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik
kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika
datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah
dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum
tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas
perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya
berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya
saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang
adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah
SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka
kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah
dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini
menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya
sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam
Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun
menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari
ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan
kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai
Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie
sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan
dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya.
Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi
setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita
hadapi.
No comments:
Post a Comment