Imam Abu Hanifah Diracun
Imam Abu Hanafih adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.
Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80
Hijrah bertepatan tahun 699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama
yang sebenarnya ialah Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian
masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.
Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:
1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak kecilnya sangat
tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap
seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya
ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut bahasa Persia, Hanifah
bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana,
ia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.
Waktu ia dilahirkan, pemerintahan
Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani
Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau
mengerti betul tentang ilmu fiqih, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga
ilmu hadith. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu kesusasteraan
dan hikmah.
Imam Hanafi adalah seorang hamba
Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi
dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi
mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang yang
berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.
Sifat keberanian beliau adalah
berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak
takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan
keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan
perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu
tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan
merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik
yang ada di tempat tersebut.
Sebahagian dilukiskan dalam sebuah
hadith Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang
didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang
yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat.
Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu
tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa.
Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan
orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka
semuanya akan selamat.
Sifat Imam Hanafi yang lain adalah
menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak
pangkat dan menolak wang yang dibelikan kepadanya. Akibat dari
penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam
penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.
Gabenor di Iraq pada waktu itu
berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu
dapat mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah
kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi akan diangkat menjadi
ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu
ditolaknya. Ia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai
berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun
tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain Gabenor Yazid
menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid
tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi
memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu
ia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum dera. Ketika Imam
Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi
Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku,
sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Demikian beraninya Imam
Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari Yazid memanggil para
alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka
istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi
Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka,
masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika itu gabenor menetapkan Imam
Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah
bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam
memutuskan jabatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak
menerima pangkat itu nescaya ia akan dihukum dengan pukulan.”
Walaupun ada ancaman seperti itu,
Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia
tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam
urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya
ditangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua
minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baru dipukul
sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari
sesudah itu gabenor menawarkan menjadi kadi, juga ditolaknya. Kemudian
ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari
didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Hanafi tetap
dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali
cambukan.
Akibat dari pukulan itu muka dan
seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja
untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa
ia sempat berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman
neraka di akhirat nanti.” Ketika ia berusia lebih dari 50 tahun, ketua
negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga
menerima ujian. Kemudian pada tahun 132 H sesudah dua tahun dari
hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan
Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as
Saffah.
Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas
meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar
Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu
Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama
besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu
persoalan.
Suatu hari Imam Hanafi mendapat
panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya ia datang mengadap
ke istana. Sesampainya ia di istana Baghdad ia ditetapkan oleh baginda
menjadi kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah
seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan menolak
kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Hanafi “Amirul mukminin lebih
kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.”
Kerana ia masih tetap menolak, maka
diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke
dalam penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di
Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila.
Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti
kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila
pun dilarang memberi fatwa.
Pada suatu hari Imam Hanafi
dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur,
tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya, “Apakah engkau telah suka
dalam keadaan seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah
kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang
tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh
dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu
marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”
Baginda berkata lagi: “Kamu
berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu.” Dijawab oleh Imam
Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri,
jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang
jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat
seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab
tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”
Pernah juga terjadi, baginda Abu
Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu
Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei.
Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk
menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing
diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri diangkat
menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu
kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pengangkatan itu di manapun
ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa
saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali
deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu,
tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke
Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula
berusaha melarikan diri.
Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah
dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100
kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau
dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu kali Imam Hanafi dipanggil
baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya
segelas air yang berisi racun. Ia dipaksa meminumnya. Setelah diminum
air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara.
Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika itu ia
berusia 70 tahun.
No comments:
Post a Comment