
Dalam masa diantara kewujudannya yang singkat, perhiasan dan kecantikan muncul, dan terbit dalam berbagai-bagai bentuk rupa, fikiran, warna, bunyi-bunyian dan seterusnya. Sebegitulah dengan hayat manusia, didalam tempoh hayatnya, akan wujud perhiasan dan kecantikan buatnya.
Samaada dari sudut harta, rupawan, zuriat-zuriat dan berbagai-bagai perkara yang lainnya yang mana memikat dan menakluk hatinya. Akan tetapi, dari itu, ramai manusia terlupa permulaannya dan memalingkan wajahnya dari tempat dirinya akan berakhir.
Lalu tenggelamlah dia dalam waktu kehidupannya yang singkat dengan segala perhiasan dan kecantikan dunia hingga terlupa bersiap untuk menempuh waktu yang kehidupannya akan berkekalan nanti.
Sebagaimana tersebutlah kisah yang mana seorang Raja menawarkan sesuatu sebagai pertukaran untuk intan yang dimiliki oleh seorang pemuda, yaitu, pemuda tersebut berhak mengambil apa sahaja dari kamar khazanah sang Raja, tapi dengan syarat, waktunya hanyalah dari waktu matahari terbit, hingga kewaktu zohor.
Selepas itu, segala yang ada didalam kamar khazanah akan dimiliki kembali oleh sang Raja, manakala apa yang dapat dikeluarkan dari kamar khazanah, akan sang Raja berikan pada pemuda tersebut sebagai pertukaran dengan intan yang dimiliki oleh pemuda tersebut. Lalu pemuda tersebut pun bersetuju.
Keesok harinya, sipemuda menanti dengan penuh gelisah didepan pintu kamar khazanah Sang Raja. Bila sahaja matahari terbit, maka pintu kamar khazanah Sang Raja pun dibuka oleh hulubalangnya.
Bergegaslah pemuda tersebut memasukinya, dan alangkah terkejutnya melihatkan segala isi yang ada didalamnya. Kamar khazanah Sang Raja terlalu luas, seakan tiada penghujungnya, dan penuh dengan segala perhiasan-perhiasan yang memukaukan mata yang melihatnya. Kerana sipemuda masih mempunyai waktu yang panjang, maka dia bercadang bersiar-siar dahulu didalam kamar tersebut.
Dalam pada itu, matanya terpaut pada satu katil berukir begitu cantik yang diperbuat dari emas dan bertilam-bantal empuk yang disalut dengan sustera halus serta penuh dengan perhiasan. Teringin benar sipemuda untuk berbaring diatas katil tersebut.
Lalu sipemuda pun merebahkan badannya keatas katil tersebut, dan oleh kerana empuknya tilam katil tersebut, sipemuda pun terlelap. Tiba-tiba hulubalang sang Raja mengejutkannya dan memberitahu, waktu zohor telah masuk, lalu menangkapnya dan memasukkannya kedalam penjara untuk dijadikan hamba abdi kepada sang Raja kerana begitulah perjanjiannya dengan sang Raja. Kini menyesallah sipemuda, hanya kerana terlelap diatas katil emas yang penuh perhiasan itu, dia kini kehilangan intannya mahupun juga harga dirinya.