Salah satu hijrah yang utama adalah bagaimana dari kehidupan seharian, amal harian, fikir harian, muamalat, muasyarat, akhlak, ibadat, doa dan seterusnya berkenaaan keimanan buat diri, dari sesuatu yang tertolak atau tidak dinilai oleh Allah kepada pengabulan dan penerimaan-Nya.
Untuk pengabulan serta penerimaan-Nya, pertama-tamanya adalah memerlukan niat yang ikhlas dimana dengan niat yang ikhlas, amal yang sedikit pun Allah boleh memberi ganjaran sebesar-besarnya sedangkan tanpa keikhlasan, amal yang bertimbun-timbun pun tiada nilainya langsung disisi Allah.
عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
Umar bin Al-Khattab r.a berkata: saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung atas niatnya dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendaki atau kerana wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya (akan dinilai sebagaimana) yang dia niatkan. - (Bukhari & Muslim)
Berkenaan hadits ini, Imam Ahmad rah. dan Imam Syafii rah. menyatakan bahawa dalam hadits tentang niat ini, ia mencakupi sepertiga ilmu. Ini kerana perbuatan insan adalah terdiri daripada perbuatan anggota badannya, lisannya dan hatinya. Imam Syafii rah juga berkata bahawa hadits tentang niat ini mencakupi tujuh puluh bab dalam fiqh.
Sebegitu juga akan hadits lain tentang keutamaan niat ikhlas seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang lebih kurang makna terjemahannya, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan (jasad) dan rupamu (kedudukan, posisi dan lain-lain), tetapi memperhatikan niat dan keikhlasan dalam hatimu. - (Muslim)
Atas itu, perlunya sentiasa memperbaiki niat (tashihun niat) agar sentiasa mencapai keikhlasan dan ini dilakukan dengan memperhatikan niat diri sebelum melakukan sesuatu amal atau perbuatan, sedang dalam melakukannya dan sesudah melakukannya.
Disamping dakwahkan atau ucapkan lagi dan lagi akan keutamaan memiliki sifat niat ikhlas ini agar diri sendiri pertama-tamanya sentiasa mengingati akan keutamaan niat ikhlas dan seterusnya ingat-mengingati sesama insan. Dan juga berdoa agar dikurniakan oleh Allah akan keikhlasan didalam hati kerana Allah sahajalah yang mampu membantu insan yang fitrahnya bersifat dhaif ini.
No comments:
Post a Comment