Apakah takbir dihari raya secara lantang dan berjemaah itu bid`ah dholala sebagaimana yang ditegaskan serta difatwakan oleh sesetengah pihak sedangkan perbuatan tersebut telah diamalkan oleh beratus-ratus juta umat Islam diseluruh dunia bila setiap kali menjelangnya Hari Raya? Umat Islam yang terdiri daripada setiap lapisan masyarakat termasuk para-para ulama dari dahulu hingga kini, apakah mereka itu semuanya termasuk ahlu-ahlu bid`ah dan tidak tahu tentang hukum-hukum tersebut?
Tentunya tidak sama sekali, bahkan takbir dihari raya yang sebegitu, ternyata suatu kebaikan. Mungkin fatwa atau pandangan bahawa takbir secara lantang dan berjemaah itu dholala adalah dari pandangan-pandangan mereka yang menganggap bahawa segala yang berkenaan dengan zikir secara berjemaah adalah bid`ah dholala, sedangkan sebaliknya, zikir secara berjemaah telah jelas ada sanadnya.
Sheikh Allamah Musnid Prof. Dr. Ali Jum'ah (Mufti Mesir) mengatakan (dalam buku beliau "Al-Bayan") bahawa: " Berhimpun untuk melakukan zikir secara berjemaah dalam satu halaqah (perhimpunan) merupakan suatu amalan yang sunnah, yang bersandarkan dalil syarak yang mulia.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّہُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُ ۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡہُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya dipagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka [kerana] mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." (Al-Kahfi: 28)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya, bagi malaikat itu, sekumpulan malaikat yang berlegar-legar dalam mencari ahli zikir. Maka, apabila mereka (malaikat) mendapati satu kaum berzikir kepada Allah s.w.t., mereka (malaikat) akan berkata (kepada sesama para malaikat yang lain): "marilah segera kepada hajat kamu (apa yang kamu hajati)" Maka, mereka menaungi golongan yang berzikir (secara berjemaah tersebut) dengan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia..." - (Bukhari).
Mu'awiyah r.a. telah berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah keluar menuju kehalaqah para sahabat Baginda s.a.w. Lalu, Baginda s.a.w. bertanya (kepada para sahabat yang berhimpun tersebut): "Apa yang menyebabkan kamu semua duduk berhimpun ini?" Mereka menjawab: "Kami duduk untuk berzikir kepada Allah s.w.t., memuji-Nya terhadap nikmat-Nya takkala Dia memberi hidayah kepada kami dalam memeluk Islam..." sehinggalah sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah s.w.t. berbangga terhadap kamu di hadapan para malaikat" - (Muslim)
Abu Hurairah r.a. telah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tidaklah duduk sesuatu kaum, akan suatu majils untuk berzikir kepada Allah, melainkan para malaikat akan menaungi mereka, akan terlimpah rahmat ke atas mereka, dan Allah s.w.t. juga akan memperingati mereka..." - (Muslim)
Imam An-Nawawi dalam syarah beliau mengatakan bahawa: "Hadis ini menunjukkan tentang kelebihan majlis-majlis zikir dan kelebihan orang-orang yang berzikir, serta kelebihan berhimpun untuk berzikir beramai-ramai.