Monday

Ulama tak mahu campur politik

IPOH 24 Okt. - Sikap membisu kebanyakan ulama di negara ini adalah disebabkan mereka tidak mahu terlibat dalam mana-mana parti politik.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai pihak yang menjurus kepada soal-soal keagamaan, adalah lebih baik jika mereka tidak dikaitkan dalam urusan itu.

"Saya pun tidak suka bercakap soal politik, saya bercakap tentang perpaduan orang Melayu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan wakil Perak, Datuk Rosli Husin ketika membentangkan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam yang mahu institusi agama bijak menangani isu berkaitan agama terutama yang ditimbulkan parti pembangkang agar mereka tidak dilihat seperti dilanda 'sindrom bisu.'

Rosli bimbang, jika isu-isu yang dibangkitkan itu tidak segera diperjelaskan kepada rakyat, ia boleh menimbulkan perpecahan umat serta persepsi negatif terhadap Islam.

Dalam hubungan ini, katanya lagi, Majlis Agama Islam di negeri-negeri perlu agresif dan senada ketika memberi penjelasan berkaitan soal hukum dan fatwa agar difahami umum.

Menurut Tuan Mufti Harussani, beliau sering menjadi sasaran parti-parti pembangkang apabila berusaha membantu menjelaskan sesuatu isu.

"Bila saya kena hentam, tiada siapa pun bantu saya. Tetapi disebabkan saya bercakap atas kepentingan Melayu, saya tak kisah," katanya.

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

**********************************************************************************************************************************

Sebegitu juga dinasihatkan kepada semua yang bergerak dalam usaha dakwah Tabligh, agar menghindari dari menggunakan nama dakwah Tabligh untuk perkara-perkara berkaitan politik. Pada mereka yang bergiat dalam hal-hal politik, wajar diatas penampilan sebagai individu, bukan diatas nama jamaah atau usaha dakwah Tabligh.

Ini kerana usaha ini melangkaui semua perkara dan usaha ini adalah umum untuk semua tidak kira dari parti apa sahaja, tidak kira kaum mahupun tarafnya serta tidak kira apa warga-negaranya. Usaha ini adalah usaha mengajak kepada Pencipta bukan kepada yang dicipta. Usaha ini juga adalah pertama-tamanya adalah usaha membaiki diri, keluarga serta umat, agar agama sentiasa dapat dihidupkan dimana-mana. Dalam mana juga, menanamkan perasaan kasih-sayang dan hormat pada setiap insan terutamanya yang ada kalimah Lailahaillallah, tidak kira dari parti mana yang diikuti.

Oleh itu, disyorkan mereka-mereka yang ada penampilan dirinya berkaitan dengan usaha dakwah-Tabligh tetapi tetap mahu mencurahkan perasaan mereka terutama diblog-blog, facebook dan seterusnya agar sentiasa bersikap berkecuali. Dan sebaiknya, curahkan perasaan dengan mengadap Allah dimalam hari dengan berlinangan air-mata. 

Sebaik-baiknya, segala bahan komunikasi seperti internet dan sebagainya digunakan untuk membawa kepada fikir umat, menanamkan kerisauan keatas umat, membina jiwa tawaduk, menambahkan pengetahuan disamping berfikiran terbuka dalam mana, niat adalah ikhlas untuk Allah. Bukan sebagai tempat melepaskan perasaan tertekan, geram dan sebagainya apatah lagi sebagai tempat untuk diri menjadi bertambah isolasi dari dunia realiti. (Seperti mengurung diri mengadap komputer dan tidak memberi waktu untuk usaha agama)

Dari itu, bukan suasana dunia dibawa kemasjid, tetapi suasana masjid dibawa kedalam dunia seperti bukan suasana jual-beli dibawa kedalam masjid tetapi suasana masjid seperti zikir, jaga mata, jaga adab dan lain-lain dibawa kedalam pasar atau dimana sahaja. Sebagaimana bukan budaya luar kehidupan seharian dibawa kedalam agama Islam tetapi ajaran agama Islam itu dikembangkan kedalam budaya kehidupan seharian.

Segala pesanan adalah pertama-tamanya untuk diri saya yang dhaif ini. Kesilapan harap dimaafkan.......


Sunday

Tetamu depan pintu - 7

Chu yang baru beberapa kali mengikut Gun, kini berdiri dihadapan pintu bar sambil memerhatikan Gun menyelaknya. Hatinya begitu gementar namun dia mengikut sahaja Gun melangkah kedalam bar tersebut. 

Terasa Chu seperti dia berada dalam filem cowboy dengan langkah perlahan-perlahannya. Kelihatan hanya seorang pelanggan sahaja yang dalam usia pertengahan dan dengan wajah yang begitu muram, duduk dimeja tengah sambil meneguk air berwarna merah gelap, sambil menyedut dalam-dalam asap rokoknya.

Gun dan Chu pun melangkah kearah orang tersebut tetapi tiba-tiba mereka tersentak kerana dijergah oleh towkey bar, yang ditangan kanannya memegang erat sebatang kayu; “Apa kamu buat dalam bar aku, kedatangan kamu berdua ni memang membawa sial pada bar aku, setiap kali kamu datang dan bila pergi, kamu bawa pelanggan-pelanggan aku bersama kamu. Dan kini hanya tinggal seorang sahaja pelanggan aku, itu pun kamu nak bawa pergi.“

Gun yang terkejut sambil matanya meliar melihat kayu ditangan towkey bar tersebut berkata; “Maaf tuan, maaf tuan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan sentiasa menanti-nanti akan hamba-hamba-Nya kembali kepada-Nya. Rahmat Allah mengatasi kemarahan-Nya, kerana itu marilah tuan, marilah kita kembali kejalan kebenaran.“

“Apa, kamu ke bagi duit pada aku setiap bulan, apa kamu ingat kamu sahaja berada dijalan kebenaran, sudahlah, kalau kamu berdua tak keluar dari bar aku, aku pukul kamu dengan kayu ini,“ jergah towkey bar tersebut.

“Tuan yang mulia, sesungguhnya maut datang bila-bila masa sahaja dan bila kita disakratul-maut, tiada lagi bernilai segala duit-duit yang kita ada.......“ belum sempat Gun menghabiskan kata-katanya, towkey bar menjerit, “Keluar kamu dari bar aku...aku tak mahu dengar ceramah kamu“.

Dengan perasaan tertekan, Gun dan Chu pun melangkah kembali kemasjid. Dalam perjalanan, Chu yang merungut-rungut tentang sikap towkey bar itu berkata; “Apalah towkey bar tu, sungguh kasar, semoga Allah melaknati dia“

Gun yang sesejak tadi mendiamkan diri, tiba-tiba berkata; “Jangan doa laknat pada orang, tak baik. Kita doakan semoga Allah memberi hidayat padanya. Para anbiya lagi teruk ujian mereka namun mereka tetap gigih berdakwah. Nabi Nuh a.s, 950 tahun dia berdakwah, siang dan malam, hanya 83 orang sahaja yang mengikuti dia. Kita ni, apalah nak dibandingkan dengan para anbiya dan para sahaba.“

Gun menyambung lagi kata-katanya; “Kita keluar berdakwah ni pun, sebenarnya pertama-pertamanya untuk diri kita. Dari kita membuang masa mengadap internet dan benda-benda lain, alhamdulillah, dapat juga kita korbankan waktu dijalan Allah. Semoga Allah terima kita, islahkan diri kita serta jadikan pengorbanan kita sebagai asbab hidayat pada pihak lain. Dan sesungguhnya, hidayat adalah dari Allah semata-mata“

Chu yang mendengar kata-kata Gun, mengangguk menyetujui kebenaran kata-kata Gun lalu beristghifar dan meneruskan langkahnya. Sesampai mereka kemasjid, Gun masuk kedalam masjid untuk duduk berdoa sambil Chu pergi mengambil wuduk.

Tiba-tiba Chu terlihat kalibat lelaki yang duduk dalam bar tersebut sedang mengambil wuduk. Bila selesai wuduknya, Chu memberi salam dan bertanya apakah benar, lelaki tersebut yang dilihatnya tadi.

Lelaki tersebut menganggukkan kepalanya sambil mengucapkan terima-kasih atas kedatangan mereka tadi, kerana kata-kata Gun pada towkey bar tersebut benar-benar menyedarkannya bahawa Allah itu Maha pengampun dan menanti kembali hamba-hamba-Nya kejalan kebenaran, sedangkan hamba-hamba-Nya sentiasa berpaling dari jalan kebenaran saban waktu. Lelaki tersebut merasa malu pada Allah dan mengharap akan Allah mengampuninya. Lalu dia memohon untuk menunaikan solat asarnya sebelum azan Magrib.

Chu dalam riangnya terpinga-pinga berkata pada dirinya, “Subhanallah, kami tak sempat pun nak mendakwah lelaki tersebut kerana dihalau oleh towkey Bar, tetapi dia datang sendiri. Benar, hidayat adalah dari Allah semata-mata.“


Tuesday

Tetamu depan pintu - 6

Untuk sekian detik, Amiru terjegat didepan pintu pagar batu yang penuh dilinggari oleh pepohon melata dan sebegitu juga dengan rumah besar bertingkat tiga didalam halaman pagar tersebut, kelihatan terlalu usang seakan telah ditinggalkan sebegitu lama oleh penghuninya.

Setahu Amiru, 25 tahun yang lepas, sebelum Amiru meninggalkan daerah ini, rumah ini dahulunya begitu meriah terutama dihujung minggu dimana ramainya tetamu-tetamu berkenderaaan mewah mengunjunginya disamping bunyi musik serta gerlipan-gerlipan lampu yang meneranginya seakan setiap minggu ada kenduri kahwin disitu namun hari ini, iaitu hari pertama Amiru menjejak kaki disitu setelah sekian lama, nampaknya segalanya telah berubah.

“ Kemana agaknya gerangan penghuni rumah ini, apa khabar mereka ketika ini“, kata Amiru didalam hatinya.

Penghuni rumah tersebut adalah merupakan mereka yang terkaya didaerah tersebut dan memiliki begitu banyaknya tanah-tanah namun begitu, Tuan Tua iaitu penghuni rumah tersebut adalah seorang yang baik-hati dan sentiasa bersedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Disamping itu, dia juga sentiasa menyediakan kemudahan-kemudahan untuk penduduk daerah tersebut seperti meluaskan tali-air dan juga membina jambatan-jambatan.

Namun setelah kematiannya, segala harta-tanah Tuan Tua kecuali sebidang tanah yang diwasiatkan untuk pembinaan masjid, diambil-alih oleh anaknya, yang sifatnya begitu berbeza dengan ayahnya. Sewaktu kematian Tuan Tua, anaknya baru berusia 8 tahun, kemudiannya dibesarkan oleh pakciknya yang merupakan seorang usahawan yang berjaya diibu-kota. Persekitaran disitu bersama teman-teman kaya disekeliling menyebabkan anaknya kemudian menjadi seorang yang begitu sombong, keras-hati serta sentiasa mengasingkan diri dari mereka yang dianggapnya jauh lebih rendah kelas dari dirinya.

Setelah tamat pengajian, anaknya kembali kedaerah tersebut dan meneruskan usaha-usaha ayahnya namun diatas sifat sombong dan tamaknya, dia sebenarnya telah membebankan penduduk didaerah tersebut. Ramainya penduduk daerah tersebut, akhirnya terpaksa menjual tanah mereka kerana tidak berkemampuan berdepan dengan hasil-hasil keluaran tanaman gen-manipulasi anak Tuan Tua, yang mana disamping hasil tanaman anak Tuan Tua yang amat subur, bebas dari serangga serangga-serangga serta begitu besar saiznya dari tanaman-tanaman biasa, ia juga mengeluarkan 4 kali ganda hasilnya dibandingkan dengan hasil penduduk daerah disitu.

Diatas keuntungan ini juga, anak Tuan Tua memonopolikan segala tanah-tanah yang dijual oleh penduduk daerah tersebut, dalam mana kerana kesempitan hidup, penduduk-pendudk daerah tersebut telah menjual tanah mereka dengan harga yang terlalu murah. Tanah-tanah tersebut kemudiannya dijadikan ladang-ladang tanaman gen-manipulasinya, manakala penduduk daerah tersebut samada terpaksa berkerja dengannya atau berpindah kedaerah lain untuk memulakan hidup baru.

Anak Tuan Tua adalah juga seorang yang suka berpoya-poya dan setiap hujung minggu, rumah ketinggalan ayahnya akan sentiasa dipenuhi teman-teman setarafnya dengan bunyi musik yang bergema sehingga kepagi hari dan lazimnya pesta hujung minggu disitu, dipenuhi juga dengan gadis-gadis muda yang entah dari mana datangnya.

Amiru teringat, telah beberapa kali dia dan beberapa orang dari masjid berdiri didepan pintu pagar tersebut untuk bertemu dengan anak Tuan Tua namun sentiasa diberitahu bahawa anak Tuan Tua tidak ada dirumah. Hanya sekali sahaja Amiru berpeluang bertemu dengan anak Tuan Tua, namun belum sempat Amiru berkata, anak Tuan Tua telah memberitahu bahawa dia telah menguruskan wasiat ayahnya tentang pemberian tanah serta wang buat pembinaan masjid baru disamping memohon maaf kerana dia ada urusan lain. Niat sebenar Amiru, bukan untuk bertanya akan hal tersebut, tetapi hanya untuk mengajak anak Tuan Tua kemasjid, kerana ada program agama yang dijalankan disitu.

Sedang Amiru masih terjegat didepan pinti pagar batu yang usang tersebut, tiba-tiba lamunannya terhenti kerana terdengar suara orang memberi salam. Bila Amiru menoleh, terlihatnya seorang lelaki tua yang amat dikenalinya lalu berkata;

“ Waalaikumsalam, ini Pako ke, apa khabar, wah sudah beruban Pako sekarang“. Pako yang kelihatan sedikit terkejut, cuba mengingati siapakah gerangan pemuda tersebut berkata “Pako sihat alhamdulillah, anak muda ni siapa?“

Amiru pun memperkenalkan dirinya serta keluarga-keluarganya yang memang berasal dari daerah tersebut. Bila Pako mendengar nama ayah Amiru, teringat Pako bagaimana keluarga-keluarga Amiru yang terpaksa menjual tanah mereka pada anak Tuan Tua dan berpindah kekota untuk mencari kehidupan lain.

Amiru lalu bertanya; “apakah yang terjadi pada penghuni rumah usang ini Pako?“. Pako menjawab, “Panjang ceritanya, biarlah Pako ringkaskan sahaja, anak Tuan Tua telah meninggal dan kuburnya ada ditanah perkuburan kawasan masjid yang diwakafkan oleh ayahnya. Dahulunya dia memiliki beribu-ribu hektar tanah, kini hanya beberapa kaki sahaja luas tanah kuburnya.“

“Semoga Allah merahmati dan mengampuni rohnya, Pako“ kata Amiru sambil memikirkan benarnya kata-kata Pako, bahawa berapa banyak pun tanah-tanah yang insan dimiliki, namun akhirnya, setiap insan hanya memperolehi beberapa kaki tanah sahaja untuk kuburnya.

Wednesday

Tetamu depan pintu - 5

Komat merasa begitu gembira kerana pinjaman bank yang dipohon untuk membeli kereta barunya telah diluluskan. Tanpa membuang masa, Komat pun pergi mengambil kereta barunya, biarpun dia tahu bebanan yang akan ditanggung diatas hutangnya ini, apatah lagi hutang kereta lamanya pun belum berbayar ditambah dengan hutang-hutang lain yang masih bertimbun.

Namun itu semua tidak penting kerana pada Komat, apa yang penting, dia adalah kalangan mereka yang kehadapan dalam hal-hal kebendaan disamping masyarakat sekeliling mengagumi akan dirinya. Falsafah ´biar papa asal bergaya` adalah telah menjadi darah-daging dalam dirinya sebagaimana juga kebanyakkan masyarakat disekitarnya.

Setelah Komat mencapai kunci kereta baru dari taukey kereta yang tersenyum puas kerana hari itu adalah hari keuntungan, maka Komat pun terus memandu keretanya dengan rasa hati yang seakan seluruh dunia miliknya.

Bila sahaja memasuki kawasan flat tempat tinggalnya, Komat pun menekan horn keretanya kuat-kuat sambil menjerit-jerit memanggil isteri dan anak-anaknya. Sebenarnya, Komat tahu, dia boleh mengunakan telefon bimbitnya untuk memanggil isterinya namun memang Komat berhajat agar semua jiran-jirannya akan menjenguk dan teruja bila melihat kehebatan kereta barunya.

Jelas sebagaimana yang dihajati, jiran-jiran Komat yang terkejut mendengar bunyi horn keretanya, menjenguk keluar dan teruja melihat kehebatan kereta baru Komat. Begitu berbangganya Komat seakan mahu melompat menyanyi kegembiraan sebagaimana lazimnya didalam film-film Hindustan. Sebegitu juga, kegembiraan terpancar jelas diwajah isteri Komat dan anak-anaknya yang berlari-lari menghampiri keretanya.

Setelah isteri dan anak-anaknya sampai, Komat berkata; "Jom naik, kita ronda-ronda". Maka berderulah kereta Komat meninggalkan kawasan flat mereka, diiringi irama lagu-lagu yang berkumandang dari dalam kereta Komat.

Tiba-tiba, seorang lelaki menahan kereta mereka. Komat pun memberhentikan keretanya sambil bertanya kepada lelaki yang terjegat dipintu keretanya; "Siapa kamu, apa kamu mahu?" Lelaki tersebut menjawab; "Aku adalah ringgit, sila bawa aku bersamamu".

Mendengar nama ringgit, maka begitu bercahaya-cahaya raut muka Komat sambil membuka pintu keretanya dan berkata; "Silakan-silakan". Dan Komat pun mula memandu.

Tidak lama kemudian, seorang lagi lelaki lain menahan kereta Komat, lalu Komat memberhentikan keretanya sambil bertanya kepada lelaki disebelah luar pintu keretanya; "Siapa kamu, apa kamu mahu?“. Lelaki itu menjawab; „“Aku adalah dollar, sila bawa aku bersamamu“. “Dollar“, kata Komat yang seakan mahu menjerit kerana kegembiraan, lalu membuka pintu keretanya sambil berkata pada anak-anaknya; “Duduk rapat-rapat, bagi tempat untuk dollar“.

Dengan gembira, Komat pun mula memandu keretanya, sedang anak-anaknya dibelakang mula merasa gelisah kerana duduk berkepit-kepit. Tiba-tiba seorang lagi lelaki menahan keretanya, lalu Komat memberhentikan keretanya sambil bertanya pada lelaki ketiga yang tercegat didepan pintu keretanya; "Apa kamu mahu?". Lelaki tersebut menjawab,  "Aku adalah euro, sila bawa aku bersamamu". Komat yang tidak tahan lagi merasa gembira berkata pada anak-anaknya; "pergi duduk dalam bonet kereta, euro nak duduk tu", maka dengan sedih hati, anak-anak Domat pun pergi kebelakang bonet dan euro pun duduk mengambil tempatnya.

Komat pun mula memandu keretanya sambil berkira-kira akan keuntungan dunia yang dimiliki, tiba-tiba seorang lelaki tua menahan keretanya. Komat pun memberhentikan keretanya sambil bertanya kepada orang tua yang berdiri disebelah pintu keretanya; “Siapa kamu, apa kamu mahu?“. Orang tua tersebut menjawab, “Aku adalah amal-solehan, sila bawa aku bersamamu.“

“Apa“, kata Komat terkejut sambil menyambung, “Maaf, keretaku sudah penuh, tengok ni, ringgit, dollar, euro berserta keluargaku, mana ada tempat bagimu dalam keretaku“.

Berderulah kereta Komat meninggalkan orang tua tersebut tetapi tiba-tiba tidak jauh dari situ, seorang lelaki yang bertubuh perkasa dengan senjata yang berkilau ditangannya menahan kereta Komat. Komat yang terkejut cuba menekan minyak untuk melarikan diri namun tiada berdaya langsung. Seakan-akan keretanya diangkat oleh lelaki bertubuh perkasa tersebut.

Komat dengan terketar-ketar suaranya, berkata pada lelaki yang bertubuh perkasa tersebut; "Siapa kamu, tolong jangan apa-apakan aku". Lantas lelaki bertubuh perkasa itu menjawab yang suaranya bak guruh dilangit; "Kamu telah sampai dihujung perjalananmu. Kini tamatlah perjalananmu".

“Oh...“ kata Komat sambil merasa seluruh sendi-sendinya seakan bercerai antara satu sama lain. “Tolonglah lepaskan aku, aku masih mahu hidup menikmati duniaku disamping ringgit, dollar dan euroku. Kereta ni pun, baru sahaja aku membelinya“, rayu Komat pada lelaki bertubuh perkasa tersebut.

Lelaki bertubuh perkasa tersebut menjawab; "Kamu akan bebas dan berbahagia selama-lamanya, dalam mana kamu akan mendapat berpuluh-puluh kali ganda dari dunia dan segala isinya, dengan syarat adanya seorang penumpang kamu bernama amal-solehan".

"Amal-solehan, ohh... saya sudah tinggalkan dia, tolonglah tuan, ambillah ringgit, dollar dan euro ni, tolong lepaskan saya," rayu Komat, namun semuanya sudah terlewat. Keesokan harinya, terpapar dimuka depan surat-khabar gambar kereta Komat yang remuk dilanggar lori, bersama gambar pemandunya yang terkorban.


- Kisah ini hanyalah misal bagaimana kesibukan tentang hal dunia sehingga ramai terlupa untuk beramal-soleh, sedangkan bila kematian menjelang, semuanya akan ditinggalkan melainkan amal-solehannya dibawa bersama.


Tuesday

Tetamu depan pintu - 4

Seperti kebiasaan pagi-pagi sebelumnya, bila sahaja azan subuh berkumandang dari masjid yang terletak hanya beberapa pintu dari rumahnya, pasti dia akan menarik selimut untuk menyambung tidurnya, yang mana disaat inilah, terasa begitu enak untuk menyambung tidurnya dari waktu-waktu lain.

Tiba-tiba pintu rumahnya diketuk dengan diringi oleh suara garau memberi salam. Berat rasanya untuk dia menjawab salam tersebut, apatah lagi  untuk mengorbankan bantalnya yang penuh berpeta.

Bila pintunya diketuk dan kedengaran lagi suara garau tersebut memberi salam, tiba-tiba mindanya merasa sesuatu yang tidak kena, kerana siapa pula yang akan mengetuk pintu pagi-pagi buta ini, kalau tidak kerana sesuatu hajat yang penting.

Dengan malasnya, dia menjawab salam tersebut dan bangun melangkah kearah pintu. Bila dibukanya daun pintu, tiba-tiba terlihat seorang tua lagi buta bertongkat tercegat disitu. Lalu dia bertanya: "Pakcik nak apa, boleh saya bantu Pakcik?", dengan mengharap agar orang tua buta tersebut cepat-cepat berlalu kerana terasa benar akan seperti bantal berpetanya memanggil-manggil dari dalam.

"Pakcik nak tanya, ini masjid ke?", tanya orang tua buta tersebut.

"Bukan Pakcik, masjid kedepan sedikit", jawabnya. Orang tua buta tersebut pun memohon kemaafan dan mengucapkan terima-kasih, lalu berlalu dari muka pintunya.

Dia pun menutup daun pintunya lalu bergegas kekatilnya. Namun dalam pada itu, hati kecilnya berkata: "Masyallah, orang tua itu buta, cacat, tetapi masih bernekad untuk bersolat subuh berjemaah, sedangkan aku ini muda, sihat dan tidak buta, malah duduk pula bertahun-tahun hanya beberapa pintu dari masjid, tidak pernah pun bersolat subuh berjemaah".

Dengan detik hatinya itu, kakinya kini ditukar arah, dari menuju kekatilnya, kini menuju kebilik mandi untuk mengambil wuduk, dan pagi-pagi seterusnya baginya, tidak lagi seperti pagi-pagi sebelumnya.

Monday

Tetamu depan pintu - 3

Biarpun Ani merasa hidupnya bercelaru, namun itu adalah pilihannya sendiri. Pada mulanya, ayahnya pernah menentang pilihan hatinya kerana walaupun lelaki pilihannya itu adalah dari keluarga berada, tetapi lelaki pilihannya itu memang terkenal dengan lagak samseng dan panas-baranya. Seluruh daerah kenal akan perangai dia dan keluarganya. Tetapi, cinta itukan buta dan dalam umur mudanya dulu, manalah panjang akalnya. Sudah jodoh, kata hatinya memujuk.

Malam itu, sebagaimana seperti biasa, hidangan-hidangan memenuhi meja mereka. Biarpun hanya mereka berdua sahaja dan kemudiannya pembantu rumah mereka yang menjamahnya, tetapi sudah menjadi kebiasaan suaminya, dijamu sebegitu sesejak kecil dari keluarganya yang berada.

Tiba-tiba kedengaran loceng rumah berdering yang mana mengugat suasana hening dimeja makan mereka. Kerana pembantu rumah kelihatan sibuk didapur, Ani pun pergi keruang tamu untuk melihat tetamu mana yang menekan loceng mereka. Kemudian Ani bergegas kembali kemeja makan dan berkata pada suaminya, "Bang, ada seorang fakir diluar sana, memohon diberi makan".

"Biarlah dia", kata suaminya sambil menyambung mengunyah peha ayam goreng. "Bang, banyak baki makanan kita ni, bagilah sedikit kat fakir tu", katanya lagi pada suaminya.

"Kalau kita bagi, nanti dia datang pula meminta tiap-tiap hari", jawab suaminya selamba tanpa kelihatan sedikit pun perasaan simpatinya pada sifakir diluar sana.

Selang beberapa tahun dari peristiwa itu, suaminya menceraikan Ani dengan alasan pada keluarganya, dia tidak mampu memberikan zuriat sedangkan kisah yang sebenar adalah kerana suaminya terlajak menjatuhkan talak tiga pada Ani, atas sifat panas-baran sisuami.

Namun tidak lama selepas itu, ditakdirkan Allah, Ani dipinang oleh seorang lelaki lain yang kuat pegangan agamanya. Alhamdulillah, syukur Ani kepada Allah, kerana kini dia dikurniakannya seorang suami yang penyayang dan penyabar, dan dari suami barunya, kini sudah masuk bulan kelima, Ani mengandung.

Tiba-tiba loceng rumah mereka berdering, sewaktu mereka hendak menjamah hidangan malam mereka, lalu suami baru Ani pun bangkit untuk melihat siapa tetamunya. Tidak lama kemudian, suami barunya melangkah menuju kedapur untuk mengambil beg plastik kosong dan mengisinya dengan beberapa ketul ayam goreng serta roti, lalu melangkah kembali keluar pagar.

Dalam pada itu, Ani mengintai dari tingkap disebelah dan terlihat olehnya, suami barunya menghulur bungkusan itu pada seorang yang lelaki yang kelihatan begitu kurus dan dhaif sekali keadaannya. Dan bila diperhatikan lagi olehnya, alangkah terkejutnya Ani, kerana sifakir diluar tersebut adalah bekas suaminya.

Bila suami baru Ani kembali, terlihat akannya, isterinya seperti dalam kebingungan lalu menegur, "Ada apa sayang, nampak macam sesuatu yang tak kena?" tanya suami barunya.

"Tu, sifakir dekat luar pagar tadi, adalah bekas suami saya, bagaimana kuasa Allah yang dapat mengubah segala-galanya, dulu dia kaya dan sombong, tetapi kini, dia pula yang meminta-minta", jawab Ani.

"Benar, Allah Maha Berkuasa, beberapa tahun dahulu, saya teringat, masa baru sampai kedaerah ini, saya pernah berdiri dipintu pagar dia dan Ani waktu itu isterinya, memohon sedikit makanan kerana terlalu lapar, ingat tak", kata suami barunya yang mana membuat Ani lebih kebingungan, tetapi kemudian suami barunya menyambung, "Segalanya takdir Allah, abang tidak pernah mendoakan keburukan pada dia. Allah telah memudahkan rezeki abang, juga setelah Ani menjadi janda, Allah telah mengizinkan abang mengambil Ani jadi isteri dan insyaallah, abang berjanji akan menjaga Ani dengan sebaiknya, sebagaimana Abang tahu, Ani seorang yang berjiwa murni".

Sunday

Tetamu depan pintu - 2

Ding...dong, loceng rumahnya berdering, tetapi dibiarkan sahaja kerana sibuk dengan komputer barunya, yang dibeli secara bayaran ansuran dan memang jauh lebih hebat dari komputer lamanya yang tercerok dibawah katil.

Ding...dong, untuk kali keduanya, loceng rumahnya berdering, malas rasanya untuk dia memalingkan perhatian dari komputer barunya, lalu dia berteriak pada adiknya: "Salem, pergi tengok, siapa dia didepan pintu". 


Sejurus kemudian, adiknya Salem, berlalu kemuka pintu kemudian kembali padanya, lalu berkata: " Abang, ada beberapa orang berkupiah dari masjid didepan pintu, diaorang tanya mana abang". Lalu dia berkata pada adiknya, " Beritahu diaorang, abang tengah sibuk, tak ada masa". 

Lalu adiknya pun berlalu kembali kedepan pintu. Beberapa minit kemudian, adiknya kembali padanya seraya berkata, "Abang, diaorang kirim salam pada abang dan berpesan datang kemasjid magrib nanti, ada program agama". 


Tak-kala itu, hatinya yang mengerutu berkata, "Kenapalah diaorang sibuk-sibuk menziarahi aku, aku punya kubur, aku punya sukalah".


Tiba-tiba kedengaran lagi loceng rumah berdering, kali ini, lain sedikit bunyinya, namun ia benar-benar mengugat keasyikannya dengan komputer barunya. Dengan perasaan marah yang amat sangat, dia melangkah kedepan pintunya dan dengan suara yang kasar, dia menjerit: "Apa yang kamu semua mahu, tak faham bahasa ke, gua tengah sibuk ni, tak ada masa". 


Bila sahaja dia membuka daun pintunya, tiba-tiba dengan amat terkejut, dia melihat satu susuk badan besar berpakaian gelap, bersama rantai ditangannya dan kelihatan begitu amat menakutkan bersuara: "Aku malaikat maut datang untuk mencabut nyawamu", dan sejurus kemudian, badannya terkulai layu tidak bernafas didepan muka pintu.

Tiba-tiba, dia terjaga dari lelapnya lantaran bunyi loceng rumah ditekan, lalu dia bergegas menuju kearah pintu. Lekanya dia dengan komputer yang baru dibeli, hingga terlelap dia didepannya. Namun, mimpi yang dialami sebentar tadi, benar-benar menghantuinya. Dalam pada itu, lahir suatu perasaan yang begitu bersyukur kerana yang dilaluinya hanyalah sebuah mimpi.


Setelah pintu dibuka, kelihatan beberapa orang dengan berkupiah memberi salam. Dirinya yang agak terkejut melihat tetamunya, terus berkata, "Waalaikumsalam-waalaikumsalam, tunggu sebentar, saya mengambil wuduk dan ikut tuan-tuan kemasjid" dan dengan air-mata yang perlahan-perlahan menitis dipipinya, dia melangkah  pantas kebilik mandi, lalu mengambil wuduk...

Saturday

Tetamu depan pintu - 1

Seperti hari-hari yang lepas sepanjang pengembaraan mereka dibumi asing, yang mana telah lebih dari sebulan tempoh lamanya mereka mengembara dari satu tempat kesatu tempat, selepas Solat Asar, diadakan program menziarahi orang-orang tempatan yang tinggal berhampiran dengan masjid-masjid yang mereka singgahi. 

Dan hari ini, salah seorang dari ahli masjid tempatan, membawa mereka menziarahi rumah-rumah yang terletak disebelah kiri masjid. Jadi mereka pun mulalah bergerak dari satu rumah kesatu rumah, dan dengan kata-kata yang amat bersopan dan berhikmah, mereka mengajak setiap lelaki yang mereka temui untuk datang menghadiri majlis agama yang akan diadakan dimasjid, selepas solat Maghrib.

Masuk rumah yang kelima, mereka pun mula menekan loceng rumah, (Sunnah memberi salam tiga kali, tetapi biasanya rumah-rumah modern, berloceng, kerana suara, biasanya tidak kedengaran dari dalam), "Tring", namun tiada siapa yang membukanya. 


Setelah menunggu beberapa ketika, mereka menekan untuk kali kedua, "Treng", dan menunggu untuk seketika, dan untuk kali ketiga, "Treng", lalu bercadang untuk berlalu kerumah seterusnya. Tiba-tiba, pintu terbuka dan keluar seorang pemuda yang nampak begitu kusut serta bermasalah, menyapa mereka, "Ya, Encik semua hendak berjumpa siapa?", tanya pemuda tersebut. 

Salah seorang dari mereka pun terus memberi salam dan serta memperkenalkan jemaah semua. Lalu ia memberitahu akan bertuahnya dapat berjumpa saudara seagama yang mana sesiapa sahaja yang ada kalimah Lailahaillallah didalam hatinya, sesungguhnya ia amat berharga. Kerana kalimah ini, jika diletak disebelah satu dacing manakala disebelah dacing yang lain, diletakkan seluruh dunia dan isinya, kalimah ini lagi berat timbangannya. Kemudian dengan kata-kata hikmah, mereka mengajak pemuda tersebut menyertai mereka kemasjid. 


Pemuda itu pun bersetuju, mengambil jaketnya dan melangkah bersama mereka kemasjid. Sampai dimasjid, pemuda tersebut mengambil wuduk kemudian bersolat berjemaah Maghrib bersama mereka dan selepas solat, dia mengambil tempat duduk yang agak belakang untuk mengikuti program agama yang diadakan.


Setelah selesai bersolat Isyak bersama mereka, pemuda itu pun meminta diri dan dalam pada itu, dia menjemput mereka datang kerumahnya untuk makan tengah-hari. Kerana tidak mahu melukakan hatinya, mereka pun setuju menyahut jemputan pemuda tersebut.

Keesok harinya, setelah selesai makan tengah-hari, pemuda tersebut pun mula bercerita bahawa sebenarnya dia begitu bermasaalah dalam hidupnya. Jiwanya begitu tertekan, hidupnya tidak tentu arah, tambahan pula, setiap hari, dia bertengkar dengan isterinya.

  
Dan kebetulan semalam, semasa mereka menekan loceng yang pertama, pemuda tersebut memberitahu, dia sebenarnya berada diatas kerusi bersama tali yang tergantung disyiling rumah, yang mana melilit lehernya. Dia begitu bertekad untuk membunuh dirinya. 

Jadi, bilamana dia terdengar loceng yang pertama, dia menyangka itu isterinya, sebegitu juga untuk loceng yang kedua. Tetapi untuk yang kali ketiga, tiba-tiba fikirannya berubah lalu membuka tali yang melilit lehernya, turun dari kerusi dan bergegas membuka pintu....


- Begitulah perlunya usaha lagi dan lagi menjemput atau mengajak semua kepada jalan kebenaran, dan kita hanya berusaha dengan ikhlas, manakala Allah yang membuat keputusan. Sesungguhnya hidayat adalah dari Allah semata-mata, dalam mana alangkah bertuah mereka yang Allah jadikan mereka sebagai asbab hidayat dan asbab menyelamatkan insan-insan lain dari kehancuran serta kekecewaan hidup didunia dan diakhirat.
Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai