Chu yang baru beberapa kali mengikut Gun, kini berdiri dihadapan pintu bar sambil memerhatikan Gun menyelaknya. Hatinya begitu gementar namun dia mengikut sahaja Gun melangkah kedalam bar tersebut.
Terasa Chu seperti dia berada dalam filem cowboy dengan langkah perlahan-perlahannya. Kelihatan hanya seorang pelanggan sahaja yang dalam usia pertengahan dan dengan wajah yang begitu muram, duduk dimeja tengah sambil meneguk air berwarna merah gelap, sambil menyedut dalam-dalam asap rokoknya.
Gun dan Chu pun melangkah kearah orang tersebut tetapi tiba-tiba mereka tersentak kerana dijergah oleh towkey bar, yang ditangan kanannya memegang erat sebatang kayu; “Apa kamu buat dalam bar aku, kedatangan kamu berdua ni memang membawa sial pada bar aku, setiap kali kamu datang dan bila pergi, kamu bawa pelanggan-pelanggan aku bersama kamu. Dan kini hanya tinggal seorang sahaja pelanggan aku, itu pun kamu nak bawa pergi.“
Gun yang terkejut sambil matanya meliar melihat kayu ditangan towkey bar tersebut berkata; “Maaf tuan, maaf tuan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan sentiasa menanti-nanti akan hamba-hamba-Nya kembali kepada-Nya. Rahmat Allah mengatasi kemarahan-Nya, kerana itu marilah tuan, marilah kita kembali kejalan kebenaran.“
“Apa, kamu ke bagi duit pada aku setiap bulan, apa kamu ingat kamu sahaja berada dijalan kebenaran, sudahlah, kalau kamu berdua tak keluar dari bar aku, aku pukul kamu dengan kayu ini,“ jergah towkey bar tersebut.
“Tuan yang mulia, sesungguhnya maut datang bila-bila masa sahaja dan bila kita disakratul-maut, tiada lagi bernilai segala duit-duit yang kita ada.......“ belum sempat Gun menghabiskan kata-katanya, towkey bar menjerit, “Keluar kamu dari bar aku...aku tak mahu dengar ceramah kamu“.
Dengan perasaan tertekan, Gun dan Chu pun melangkah kembali kemasjid. Dalam perjalanan, Chu yang merungut-rungut tentang sikap towkey bar itu berkata; “Apalah towkey bar tu, sungguh kasar, semoga Allah melaknati dia“
Gun yang sesejak tadi mendiamkan diri, tiba-tiba berkata; “Jangan doa laknat pada orang, tak baik. Kita doakan semoga Allah memberi hidayat padanya. Para anbiya lagi teruk ujian mereka namun mereka tetap gigih berdakwah. Nabi Nuh a.s, 950 tahun dia berdakwah, siang dan malam, hanya 83 orang sahaja yang mengikuti dia. Kita ni, apalah nak dibandingkan dengan para anbiya dan para sahaba.“
Gun menyambung lagi kata-katanya; “Kita keluar berdakwah ni pun, sebenarnya pertama-pertamanya untuk diri kita. Dari kita membuang masa mengadap internet dan benda-benda lain, alhamdulillah, dapat juga kita korbankan waktu dijalan Allah. Semoga Allah terima kita, islahkan diri kita serta jadikan pengorbanan kita sebagai asbab hidayat pada pihak lain. Dan sesungguhnya, hidayat adalah dari Allah semata-mata“
Chu yang mendengar kata-kata Gun, mengangguk menyetujui kebenaran kata-kata Gun lalu beristghifar dan meneruskan langkahnya. Sesampai mereka kemasjid, Gun masuk kedalam masjid untuk duduk berdoa sambil Chu pergi mengambil wuduk.
Tiba-tiba Chu terlihat kalibat lelaki yang duduk dalam bar tersebut sedang mengambil wuduk. Bila selesai wuduknya, Chu memberi salam dan bertanya apakah benar, lelaki tersebut yang dilihatnya tadi.
Lelaki tersebut menganggukkan kepalanya sambil mengucapkan terima-kasih atas kedatangan mereka tadi, kerana kata-kata Gun pada towkey bar tersebut benar-benar menyedarkannya bahawa Allah itu Maha pengampun dan menanti kembali hamba-hamba-Nya kejalan kebenaran, sedangkan hamba-hamba-Nya sentiasa berpaling dari jalan kebenaran saban waktu. Lelaki tersebut merasa malu pada Allah dan mengharap akan Allah mengampuninya. Lalu dia memohon untuk menunaikan solat asarnya sebelum azan Magrib.
Chu dalam riangnya terpinga-pinga berkata pada dirinya, “Subhanallah, kami tak sempat pun nak mendakwah lelaki tersebut kerana dihalau oleh towkey Bar, tetapi dia datang sendiri. Benar, hidayat adalah dari Allah semata-mata.“
No comments:
Post a Comment