Dalam
kehidupan yang dilalui seharian, wajar sahaja terdapatnya sesuatu
perkara yang menjadi keutamaan dibandingkan dengan perkara-perkara
yang lain dan semestinya dikedepankan biarpun sebenarnya,
perkara-parkara lain juga adalah dalam senarai suatu kewajaran.
Hatta, perkara-perkara yang menjadi keutamaan ini kekadang dilihat
melangkau atau mengatasi perkara-perkara yang diwaktu lain adalah
suatu perintah wajib didalam usul fiqf seperti contohnya diwaktu yang
begitu darurat, daging haiwan yang haram dimakan, menjadi halal atas
keutamaan menyelamatkan nyawa dari kebuluran.
Keadaan
dimana suatu perkara menjadi keutamaan dibandingkan dengan
perkara-perkara yang lain sebenarnya berlaku saban waktu dalam
kehidupan 24 jam seharian seorang muslim seperti bekerja mencari
rezeki yang halal adalah keutamaan namun solat fardu 5 waktu adalah
begitu jauh utamanya dari bekerja, lantas dari itu, seorang muslim
menjadi kewajipan bagi dirinya bersolat fardu tidak kira dimana
dirinya bekerja (solat fardu tersebut hanya mengambil beberapa minit
dan boleh dilakukan selama mana waktu solat ada). Ini kerana,
keutamaan solat fardu 5 waktu adalah menduduki tangga yang kedua
selepas seseorang tersebut menyebut kalimah syahadah hatta dizaman
nabi, sebaik sahaja seseorang memeluk agama Islam, yang utama
diajarkan adalah thaharah dan bersolat.
Dan
tentulah, kalimah syahadah itu sendiri menjadi keutamaan pada segala
yang ada, dimana keutamaan bererti juga memahami apa kandungan
kalimah tersebut dan bersaksi dengan sebenar-benar saksi akan
penyataan diatas syahadahnya. Lantaran itu, tidak kira samada seorang
tersebut ulama, awam mahupun umarak, semuanya wajib berusaha keatas
kalimah ini, iaitu keatas iman dan yakin mereka. Atas keutamaan ini
juga, semuanya wajar memberi masa saban waktu untuk mencapai
pengertian sebenar iman dan yakin mereka.
Sebagaimana
juga, berusaha keatas iman dengan dakwah adalah lebih utama daripada
usaha mendapat kekuasaan pemerintah, hatta objek utama sebenarnya
mendapat kekuasaan pemerintah buat kaum muslimin adalah agar usaha
keatas iman dapat dilaksanakan dengan aman (sebagaimana dizaman Nabi dan para
sahaba, terutama dalam mana keadaan mereka dizalimi kerana
melaksanakan keIslaman mereka). Lantaran
itu, mereka yang hanya berusaha dengan segala helahnya untuk mencapai
kekuasaan dengan membelakangi usaha keatas iman adalah perjuangan
yang sia-sia dan tiada nilai disisi Allah.
Berbalik
kepada keutamaan sesuatu mengatasi yang lain, ianya disebut sebagai
Fiqh Awlawiyat yang mana awlawiyat adalah dari perkataan awla
bermakna paling utama, paling afdal atau paling penting. Dari itu,
makna fiqh awlawiyat adalah memahami sesuatu yang paling utama
daripada yang lain, dengan keadaan wajar didahulukan daripada
perkara-perkara yang lain, sesuai dengan masa dan tempat
pelaksanaannya.
Dalam
pelaksanaan keatas fiqh awlawiyat, selain daripada pemahaman akan
usul fiqh itu sendiri seperti apa itu fardu ain dan fardu kifayah
serta juga akan letaknya hukum-hukum buat sesuatu sesuai dengan masa
dan tempatnya, iainya juga dalam pertimbangan apa itu kemaslahatan
dan apa itu kemudaratan. Kemaslahatan adalah kepentingan sesuatu
perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan pada diri serta ummah
manakala kemudaratan adalah perkara-perkara yang membawa kepada
keosakan pada diri mahupun pada ummah seterusnya.
Pertimbangan
keatas kemaslahatan contohnya adalah berupa mendahulukan sesuatu yang
jelas kepentingan atau kebaikannya, mendahulukan sesuatu yang jelas
membawa lebih besar kebaikannya, mendahulukan sesuatu yang
kebaikannya membawa kepada sesuatu yang berterusan atau berkaitan
dengan sesuatu yang lain pula dan seterusnya.
Manakala
pertimbangan keatas kemudaratan contohnya adalah menghindari sesuatu
yang jelas membawa kerosakan, membelakangi sesuatu yang biarpun ianya
kelihatan sebagai keutamaan lantaran kesan buruk yang lebih besar
akan terjadi, melaksanakan sesuatu yang dilihat ada bahaya
khusus padanya namun dengannya dapat menghindari bahaya yang lebih
besar dan seterusnya.
Bersambung...