Wednesday

Dunia jin - 10


Kita biasa mendengar ayat yang menyatakan bahawa 1 hari dilangit bersamaan dengan 1000 tahun dibumi, yang mungkin bagi sesetengah pihak ianya kedengaran ganjil atau menjadi pertanyaan akan pengiraan sebegitu sekiranya ditafsir dengan akal pengiraan insan semata-mata, sedangkan itu adalah hakikat kebenaran;

Dia mengatur urusan dari langit ke bumi kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitungan kamu.” - (Surah As-Sajadah, ayat 5)

Ayat ini (ayat mutasyabih) bukan bermakna Allah bertempat dilangit dan Allah memerlukan sekian-sekian masa untuk sesuatu sampai kepadaNya tetapi bermakna kekuasaan Allah yang mutlak pada ruang dan masa dimana Allah menguruskan segalanya dari langit kebumi pada setiap ruang dan masa, dan ditetapkanNya sekian-sekian waktu buat segalanya itu seperti umur, hayat atau pengiraan akan buat segalanya.

Ayat ini juga bukan bermakna sekiranya seseorang tersebut melakukan sesuatu amalan maka amalannya sampai pada Allah setelah 1000 tahun kemudian, tetapi ayat ini adalah kenyataan mutlak akan kekuasaan Allah buat ruang dan waktu dimana apa yang dianggap ratusan atau ribuan tahun oleh insan melalui pengiraannya didunia ini, boleh sahaja menjadi sesaat sahaja hakikatnya.

Contohnya dinyatakan didalam ayat yang lain, bagaimana sehari akan sesuatu kejadian adalah seperti 50,000 tahun lamanya, dimana jelas dimensi ruang dan waktu itu mutlak kepunyaan Allah semata-mata:


تَعۡرُجُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ وَٱلرُّوحُ إِلَيۡهِ فِى يَوۡمٍ۬ كَانَ مِقۡدَارُهُ ۥ خَمۡسِينَ أَلۡفَ سَنَةٍ۬ (٤


Para Malaikat dan Jibril naik (menghadap) Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun,” - (Surah al-Maarij ayat 4)

Sesungguhnya, Allah Taala sahaja yang berkuasa memanjangkan usia sesuatu tersebut atau memendekkannya. Sebegitu juga, Allah berkuasa memberikan sesuatu tersebut yang hayatnya singkat tetapi beramal seperti ribuan tahun lamanya atau sebaliknya sesuatu tersebut yang panjang hayatnya tetapi beramal hanya seperti beberapa hari atau detik sahaja.

Jin yang hidup dalam dunia yang paralel dengan dunia insan, namun dijadikan panjang hayatnya ratusan sehingga ribuan tahun dibandingkan dengan insan sebagaimana Allah menjadikan kaum Nabi Nuh yang usia mereka mencecah ribuan tahun sedangkan mereka adalah dari kalangan insan itu sendiri.

Hari ini, ada yang menyatakan bahawa masa dimuka bumi tidak sama dengan masa diangkasa lepas. Seorang angkawasan yang berada diangkasa lepas dalam masa 10 hari, bila kembali kebumi, hakikatnya dirinya mengalami kelewatan atau muda beberapa hari dari yang berada dimuka bumi.

Einstein menyatakan bahawa masa itu bergantung pada kelajuan sesuatu tersebut bergerak dimana masa adalah suatu aspek relativ atau kenisbian manakala Newton pula menyatakan bahawa masa itu seperti air yang mengalir dimana sama sahaja kelajuannya atau sama sahaja detiknya tidak kira dimana-mana. Sedang terdapat teori yang menyatakan semakin menghampiri sesuatu tersebut dengan tarikan graviti, semakin perlahan waktunya manakala semakin menjauhi dari tarikan graviti maka semakin pantas waktunya, namun apakah benar semuanya itu?

Pengiraan yang dilakukan oleh insan bukanlah suatu penyataan mutlak untuk disebatikan buat segala kehidupan yang ada dialam semesta ini. Mungkin ia amat bersesuaian untuk kehidupan insan dalam ruang dan waktunya, tambahan diperbaiki cara-cara pergiraannya seperti suatu waktu dahulu, insan amat begitu payah untuk mengira dalam kiraan roman namun dunia Islam telah merubahnya menjadi suatu kiraan yang mudah dan serta juga dunia Islam telah memperkenalkan Aljebra oleh ibnu al-Khawarizmi pada abad ke-9 diBaghdad (dimana suatu kiraan tamadun silam India yang diperbaiki) atau Al Jazari yang pertama mencipta jam mekanisme untuk mengira detik-detik masa, namun semua dari itu, ia tentulah tidak sesuai untuk ditegaskan bahawa itu adalah mutlak untuk kiraan buat keseluruhan kehidupan yang ada didalam alam semesta ini.

Haiwanat yang menetap didalam ruang dan masa yang sama dengan insan, memiliki detik kiraan kehidupan yang berbeza dengan insan, lantaran itu, pengiraan sebenar buat ruang dan masa buat kehidupannya tidak sama dengan insan. Contohnya lalat yang singkat hayatnya, amat sukar untuk ditangkap dengan tangan kosong biar pun dicuba sepantas mungkin kerana, detik buat lalat adalah berbeza buat insan dimana biarpun sepantas mungkin pergerakan tangan dihayunkan kepada lalat, namun lalat melihatnya sebagai suatu pergerakan yang perlahan yang mana lazimnya ada ruang dan masa buat dirinya terbang melarikan diri.

Sebegitulah seterusnya jelas, ruang dan masa bagi dunia jin, biarpun dunianya paralel dengan dunia insan dan hidupnya jin dalam kalangan kehidupan insan, namun dunia jin itu sendiri memiliki ruang dan masanya yang tersendiri serta unik sekiranya dibandingkan dengan ruang dan masa insan.


Bersambung...



Sunday

Dunia jin - 9



Dalam kehidupan insan, yang menjadi tunjak akan kewujudannya adalah kaitan dengan ruang, masa, tenaga serta materi. Sebegitu juga dengan kewujudan dunia jin. Tanpa element-element ini, maka tiadalah wujud sesuatu kehidupan dialam ini, hanya pertanyaannya, apakah yang dimaksudkan dengan ruang, masa, tenaga serta materi buat dunia jin.

Bila seseorang tersebut melihat jauh keangkasa lepas atau kesuatu sudut biliknya yang kosong dari segala perabot dan lain-lain, apa yang dilihatnya tentulah suatu kekosongan, namun apakah benar penglihatannya? Hari ini telah dibuktikan, apa yang dilihat sebagai sesuatu kekosongan seperti jauh keangkasa lepas atau sudut biliknya yang kosong sebenarnya dipenuhi oleh element-element yang tidak dapat dicapai oleh pandangan kasar seperti angkasa lepas dipenuhi oleh segala galaksi-galaksi mahupun sudut biliknya yang kosong dipenuhi oleh debu, udara, kuman-kuman dan lain-lain.

Buat dunia ilmiah insan iaitu ilmu pengetahuan insan dalam keadaan sedarnya buat kenyataan apakah alam yang diduduki insan, hukum fizik adalah suatu jalur untuk menyatakan atau menentukan apakah sesuatu tersebut. Hukum fizik adalah asas pengetahuan am berdasarkan pengamatan empiris (pengalaman). Seperti keputusan buat apakah sesuatu tersebut diatas kesimpulan yang diambil atau hipotesis adalah dari suatu pemerhatian berulang-ulang sehingga mencapai kata setuju samada melalui pengiraan, pengulangan uji-kaji dan lain-lain.

Contohnya akan daya tarikan dalam kehidupan insan seharian yang wujud namun tidak dilihat iaitu daya tarikan graviti. Dunia hari ini hanya mengenal Isaac Newton (1642-1727 AD) sebagai insan yang pertama memperkenalkannya dengan hukum-hukum gerakan Newtonnya. Sedangkan perkara ini telah lama dikaji oleh para ilmuan Islam seperti dalam hukum-hukum gerakan pertama, objek akan kekal dalam keadaan pegun atau bergerak dengan kelajuanya melainkan adanya pengaruh luaran, Ibnu Sina / Avicenna (980-1037 AD) dalam kitabnya, Isharat wa Tanbihat menyatakan, bila sesuatu objek tersebut tidak terkesan dengan pengaruh luarannya, maka ia akan kekal sebagaimana keadaannya. Dimana jelas ini adalah prinsip pertama hukum-hukum gerakan.

Dalam hukum-hukum gerakan kedua, kadar perubahan momentum bagi sesuatu objek adalah berkadar terus dengan daya yang bertindak keatasnya. Hebattullah bin Malaka (1087-1167 AD) dalam kitabnya, Al-Moatabar fil Hikma, bab ke-14 berjudul vakum, menerangkan dengan kekuatan kuasa, sesuatu objek bergerak laju dan mengambil waktu yang singkat dan sekiranya dipertingkatkan kekuatan kuasanya maka semakin laju dan semakin singkat waktu yang diambil, sebaliknya sekiranya kekuatan kuasanya tidak meningkat, maka kelajuannya juga tidak meningkat.

Manakala hukum gerakan ketiga, bagi setiap objek yang bertindak keatas sesuatu objek, objek akan mengenakan daya yang sama tetapi berlawanan arah. Newton dengan kiraan mathematiknya menghuraikan setiap tindakan ada tindak-balas yang mana bertentangan arah. Sedang Imam Fakhr El-Din Al-Razi (1150-1210 AD) dalam kitabnya, Al-Mabaheth Al-Mashrikayyah fi Illm Al-Illaheyyat wa Al-Tabi'yyat, menerangkan, dalam bulatan yang ada tarikan antara keduanya sehinggalah keduanya berhenti dipertengahan bermakna adanya daya yang dipamirkan dalam tindakan bertentangan antara satu sama lain.

Sebegitu juga dengan Ibnu Haitam / Alhazen (965-1040 AD) dalam kitabnya Al-Manathar menerangkan, objek yang bergerak terhalang oleh sesuatu penghalang dimana sekiranya daya penghalang ini berkekalan maka objek yang bergerak tersebut mengenakan daya yang berlawanan dengan penghalangnya bergantung sebanyak mana daya penghalangnya.

Berbalik pada suatu ruang yang dikatakan kosong pada sesuatu masa, sedang bukanlah bermakna ruang tersebut benar-benar kosong lantaran terbukti adanya daya graviti darinya. Yang mana jelas, apa yang difahami dengan penglihatan kasar bahawa sesuatu yang dikatakan kosong seperti ruang angkasa-raya atau ruang disuatu sudut bilik yang tiada perabut, bukanlah dalam kekosongan sebagaimana erti kata kosong.

Dalam itu, pada permulaan abad yang lepas, Albert Einstein (1879-1955 AD) menyatakan dalam general relavitinya bahawa graviti bukan dalam ruang dan masa tetapi graviti itu sendiri adalah ruang dan masa. Namun apakah benar sebegitu sebagaimana diajar dalam semua sekolah-sekolah diseluruh dunia? Sekiranya graviti itu sendiri adalah merupakan ruang dan masa, maka bagaimana mungkin adanya kewujudan dunia jin yang jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip daya tarikan graviti sebagaimana yang diketahui prinsipnya oleh ilmu ilmiah hari ini.

Daya tarikan graviti sebenarnya adalah merupakan suatu kompenen tenaga dimana bukannya graviti itu merupakan ruang dan masa. Cahaya bergerak dengan kelajuan yang tidak terkesan dengan daya graviti sedangkan cahaya adalah dalam ruang dan masa. Ini mungkin menjadi penjelasan ilmiah akan bagaimana jin Ifrit tiada bermasaalah langsung untuk mengerakkan kerusi Balqis dari Yemen keJerusalam dengan kelajuan cahaya yang berada lebih kurang 2000km jauh jaraknya, sebelum Nabi Sulaiman sempat bangun dari kerusinya. Sedang untuk bagaimana seorang insan bernama Asif bin Bakhiya yang dapat mengerakkan kerusi Balqis jauh lebih pantas dari jin Ifrit iaitu sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip adalah sesuatu yang tidak dapat dihuraikan lansung oleh ilmu ilmiah insan. Ini kerana untuk mengerakkan sesuatu dan untuk sampai pada sesuatu destinasi, tenaga kelajuan yang menentukan masanya tetapi untuk sesuatu yang bergerak dan sampai pada destinasinya sebelum detik pengiraan masa insan bermula, adalah sesuatu yang jelas semestinya jauh lebih pantas dari kelajuan cahaya.

Sebagaimana Einstein menyatakan, tiada kelajuan yang dapat menandingi kelajuan cahaya namun pada akhir tahun 2011, uji-kaji telah diadakan diSwitzerland yang menunjukkan bahawa neutrino memiliki kelajuan yang lebih pantas dari kelajuan cahaya dan biarpun diadakan sebanyak 15000 kali ulang kaji untuk memastikannya tetap didapati keputusan yang sama. Namun uji-kaji ini mendapat tentangan kerana ia adalah suatu fenomena yang merubah segala kefahaman ilmiah insan hari ini. Apa-apa pun, kefahaman ilmiah insan bukanlah segalanya dalam dunia ini kerana insan itu sendiri hidup dalam ruang, masa, tenaga dan materi yang terhad.



Friday

Dunia jin - 8


Parallelnya dunia jin dan insan adalah dimana ruang dan masa yang sama diduduki tetapi berbeza suasana. Contohnya dua dunia yang berbeza dalam suatu ruang dan masa adalah seperti dua orang insan menerangkan apakah warna sesuatu tersebut tetapi keputusannya adalah berbeza sedangkan warnanya adalah sama lantaran seorang memiliki mata yang jelas manakala seorang lagi mengalami sindrom buta warna.

Atau terjadinya stimulasi yang berbeza keatas perasaan dalam suatu bilik yang sama, dimana salah seorang darinya melihat suasana bilik tersebut ceria kerana perasaan selesa atau gembira atas sesuatu sebab, manakala seorang lagi melihat suasana bilik tersebut suram dan menyesakkan kerana perasaan sedih atau duka atas sesuatu sebab, sedangkan kedua-duanya adalah dalam bilik yang sama dan diwaktu yang sama.

Ini kerana, setiap sesuatu itu nyata bergantung pada keadaan dunia yang diduduki seperti contohnya berat sesuatu bongkah tersebut, dikatakan sekian-sekian kilogram beratnya tetapi bila diletakkan ditempat yang keadaannya kurang daya tarikan graviti atau tiada daya tarikan graviti, maka bungkah tersebut bukan lagi berada dalam berat sekian-sekian kilogram sebagaimana yang lazim diketahui.

Sebegitulah juga dengan dunia jin yang parallel dengan dunia insan, dimana samada sekumpulan jin ini menduduki ruang dan masa yang sama dengan insan seperti diatas muka bumi atau ditempat dan masa yang berlainan, namun keputusannya adalah tidak akan sama keadaan kedua dunia ini biar pun menghadapi kehidupan yang sama sebagaimana berat sesuatu bungkah yang sama tetapi tidak sama beratnya sekiranya berada didalam suatu daya tarikan graviti yang kuat dengan yang tiada daya tarikan graviti keatasnya.

Dalam pada itu, hari ini, para ahli ilmuan dari berbagai bidang juga cuba mengkaji akan kewujudan dunia parallel dengan dunia insan. Mereka cuba mengkaji dan mengukur akan kewujudan dunia parallel dengan dunia insan melalui ilmu ilmiah insan. Ada yang mengatakan bahawa terdapat empat jenis dunia yang parallel dengan dunia insan seperti contohnya berlandaskan teori dawai (springteory), teori-M (M teory), quantum multiverse dan lain-lain. Apakah ada benarnya atau hanya berligar-ligar dalam teorinya:



Bersambung...

Wednesday

Dunia jin - 7


Insan lazimnya menyakini bahawa segala kehidupan yang wujud adalah bergantung hanya kepada asbab-asbab materi yang diketahuinya atau yang berada dalam pencapaian pengetahuannya. Dari itu, segala kehidupannya dikaitkan semata-mata dengan asbab materi dan kemuncak dari itu, keyakinan dirinya hanya tertanam pada segala asbab materi. Segala yang dipercayai hanyalah dari apa yang dapat dicapai oleh panca-inderanya sedangkan panca-indera insan sendiri adalah begitu terbatas.

Hari ini, segala sesuatu yang tidak diketahui atau bukan dalam pencapaian pengetahuan insan tetapi dilihat akan fenomena kejadiannya, disebut paranormal. Kejadian paranormal-paranormal yang tidak dapat dinafikan sering terjadi didalam kehidupan insan, kekadang boleh mengundang kearah keburukan pada perasaan dan pemikiran insan sekiranya hanya berpandukan semata-mata dengan fakta-fakta ilmiah sains atau pencapaian pengetahuan insan keatas asbab materi dengan menafikan kewujudan alam ghaib.

Kesilapan yang amat besar hanya berpandukan semata-mata dengan fakta-fakta ilmiah sains atau pencapaian keatas asbab materi insan adalah kerana atas itu, terbinalah suatu keyakinaan yang salah iaitu dunia ini hanyalah apa yang dapat dicapai oleh panca-indera luaran insan yang mana ini boleh membawa insan menolak akan adanya dunia ghaib dan seterusnya menolak adanya Tuhan pencipta alam semesta mahupun menolak akan dunia insan yang sebenarnya terlalu naif serta terpencil dibandingkan dunia sebenar dari sekelian angkasa-raya mahupun dunia setelah insan meninggalkan alam fana ini.

Contohnya menolak kewujudan dunia jin itu sendiri adalah suatu perbuatan yang boleh membawa kepada kekufuran kerana perihal jin itu sendiri dijelaskan didalam Al Quran. Mahupun kitab-kitab terdahulu dan Rasulullah s.a.w sendiri menyebut tentangnya. Hanya-sanya wajarlah berhati-hati kerana terlalu mempercayainya tanpa berlandaskan apa yang disebut dalam Al-quran dan sunnah atau tanpa fikiran yang jelas mahupun sihat wajar juga membawa kearah khurafat, tahyul dan juga kearah kesyirikan kerana dunia jin adalah antara dunia yang ghaib buat insan.

Dunia jin yang mana ada kehidupan disitu, dari bangsa jin sendiri sehinggalah kepada binatang tunggangan, ternakan mahupun liarnya, hidup tanpa memerlukan asbab materi yang diketahui oleh insan seperti contohnya tulang yang sebelum dahulunya dimakan insan dengan disebut permulaannya “bismillah“ boleh menjadi berisi daging kembali dan dagingnya boleh dimakan oleh jin sedangkan mata insan melihatnya hanya sebagai tulang. Dunia jin tidak memerlukan asbab materi sebagaimana contohnya dalam dunia insan memerlukan bahan makanan mahupun oksigen yang disedut saban detik untuk kelangsungan kehidupan insan. Hatta untuk menyelam didalam lautan dalam mahupun menetap disitu atau untuk terbang diangkasa-raya dan berada didalam keadaan daerah tidak berudara adalah tiada masaalah buat bangsa jin kerana mereka tidak memerlukan udara untuk bernafas sebagaimana insan.

Dalam pada itu, sesejak zaman purba sehinggalah kehari ini, dunia insan telah menyaksikan bagaimana banyaknya kepercayaaan khurafat atas kejadian paranormal sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau kepada keadaan perbuatan yang jauh menyeleweng dari kebenaran. Seperti kepercayaan pada kuasa-kuasa ghaib contohnya gunung berapi, pohon tua yang merimbun, batu-batu, patung-patung dan lain-lain serta juga kewujudan hantu-hantu yang dikatakan dari roh-roh simati (sedangkan roh-roh simati adalah terkunci rapat dialam barzakh dengan keadaan samada dirahmati Allah atau diazab Allah, yang kekadang atas izin Allah, dapat berhubung dengan alam insan seperti melalui mimpi, contohnya seseorang insan bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w yang mana syaitan tidak mampu menyerupai Rasulullah s.a.w atau bermimpi melihat keadaan seseorang yang telah meninggal seperti melihat siarwah dalam keadaan yang baik).

Inilah keadaan dimana dua pandangan ekstrim atas kejahilan insan terjadi iaitu suatu pandangan hanya menyakini akan asbab materi yang diketahuinya atau hanya dalam pencapaian pengetahuan fiziknya manakala suatu pandangan lagi mempercayai berlebih-lebihan sehingga mengundang perasaan serta pemikiran insan dalam keadaan tahyul, khurafat, syirik dan lain-lain dari kejadian paranormal-paranormal yang berlaku dipersekitarannya. Kedua-dua pandangan ekstrim ini sebenarnya adalah merupakan salah satu kunci pintu bagi syaitan mengawal perasaan dan pemikiran insan kelembah menyeleweng yang dikehendakinya.

Menyatakan bahawa mereka yang memiliki teknologi atau mereka-mereka yang berjaya membina dunia hari ini dalam keadaan serba kemajuan dunia tidak mempercayai perkara-perkara tahyul atau khurafat adalah juga suatu kesilapan kerana ternyata majoriti darinya adalah dari mereka yang memiliki kepercayaan memuja patung-patung berhala dan segala macam perkara-perkara khurafat seperti yang didapati didalam kepercayaan masyarakat Jepun, Korea mahupun negara-negara Eropa dan lain-lainnya. Manakala disuatu sudut pula, pihak ini juga yang cuba menafikan sama sekali adanya kuasa luar dari insan lalu mempercayai sepenuhnya semata-mata pada pengetahuan ilmiahnya seperti mempercayai akan evolusi-evolusi insan yang berasal dari micro hidup didalam air, berkembang menjadi monyet sebelum mencapai rupa bentuk insan hari ini. Malah sering terjadi, kedua-dua pandangan yang salah ini, disatukan dalam diri insan.

Dalam dunia insan, ada banyaknya rahsia-rahsia yang tidak dapat dicapai oleh insan atau belum dicapai namun atas kekurangan pengetahuan atau belum mencapai ilmu tentang sesuatu tersebut, insan lazim sahaja menduga-duga atau pun sampai menyalahkan sepenuhnya pihak jin seperti bila seseorang tersebut mengalami histeria tetapi berpunca dari tekanan jiwa namun dikatakan dirasuk jin mahupun kes lain-lainnya.

Sedangkan, banyaknya kes-kes paranormal adalah berasal dari dunia insan. Contohnya telepati, suatu yang bukan boleh dicapai dengan alat-alat asbab materi tetapi berlaku. Telepati yang sering terjadi adalah antara siibu dengan anaknya iaitu siibu merasa tidak sedap atau hatinya kurang enak lantaran sesuatu yang berlaku terhadap anaknya seperti kemalangan dan lain-lain. Telepati ini terjadi kerana kaitan perasaan yang kuat antara siibu dan sianak. Atau “de ja vu“ iaitu seseorang bermimpi berada dalam sesuatu suasana dan suasana ini menjadi kenyataan disuatu masa hadapan.

Sebegitu juga dengan kes-kes paranormal yang lain lantaran insan sendiri yang kejadiannya antara malaikat dan haiwanat, belum difahami sendiri oleh insan. Hatta otak yang merupakan alat untuk insan berfikir, dikatakan, insan menggunakan buat kehidupannya tidak lebih dari 4 sehingga 8 peratus sedang baki keupayaannya, tidak pernah atau tidak dapat dicapai oleh insan. 

Yang pasti lagi jelas, insan dicipta oleh Allah Taala dengan segala kehidupan yang dihadapi untuk mengenal Penciptanya dan mendambakan diri pada Penciptanya serta sentiasa memohon perlindungan dari Penciptanya. Perkataan yang wajar diucapkan dengan pemahaman yang mendalam adalah, hanya Allah yang Maha Mengetahui.



Bersambung...


Sunday

Dunia jin - 6


Sebenarnya, peperangan antara jentera syaitan-Iblis dengan insan tidak pernah berakhir dan malah Iblis sentiasa melatih jentera-jenteranya dari kalangan jin dan insan untuk membawa bukan sahaja insan, malah jin-jin yang bukan dari kalangan syaitan agar menyertai jalan-jalan yang memesongkan. Namun begitu, syaitan-Iblis sebenarnya tidak memiliki kuasa mutlak untuk menganggu insan dalam bentuk fizikal, mungkin hanya segelintir yang berilmu dan gagah seperti jin ifrit. Kerana sekiranya syaitan-Iblis berkemampuan sebegitu, tentu sedari awal, dihapuskan Nabi Adam dan Hawa atau kesemua keturunan Nabi Adam.

Yang jelas apa yang mampu dilakukan hanyalah berupa bisikan-bisikan buat melakukan kejahatan sebagaimana yang dikehendakinya seperti bisikan keatas Nabi Adam untuk memakan buah larangan atau bisikan keatas Qabil untuk membunuh adiknya. Keupayaan syaitan adalah begitu terhad tetapi ramai insan yang tidak menyedari, mempercayai akan sepenuhnya buat kekuatan yang dimiliki oleh syaitan, lalu hanya membuat syaitan mengambil peluang atas sangkaan-sangkaan salah sebegini.

Syaitan sebenarnya hanya sentiasa mencuba dengan segala yang mampu dicapai buat menguasai insan dan salah satu cara yang berjaya dilakukan sesejak dahulu adalah dengan melalui jalan pintu ilmu sihir. Dimana lazimnya kalangan insan yang mengikut jalan menyeleweng ilmu sihir, membuka sendiri sempadan antara dunia syaitan dan insan.

Ilmu sihir, pada awalnya bukanlah ilmu yang digunakan untuk kejahatan tetapi suatu ilmu yang dibawa oleh malaikat kedunia insan. Kisahnya bermula bila kalangan malaikat tidak memahami mengapa insan hidupnya selalu memilih jalan silap, lalu Allah turunkan 2 dari kalangan malaikat bernama Harut dan Marut kemuka bumi dengan dipersiapkan dari bentuk fizikal mahupun nafsu seperti insan untuk memahami keadaan sebenar kehidupan insan.


وَٱتَّبَعُواْ مَا تَتۡلُواْ ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلَىٰ مُلۡكِ سُلَيۡمَـٰنَ‌ۖ وَمَا ڪَفَرَ سُلَيۡمَـٰنُ وَلَـٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَرُواْ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحۡرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلۡمَلَڪَيۡنِ بِبَابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ‌ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنۡ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحۡنُ فِتۡنَةٌ۬ فَلَا تَكۡفُرۡ‌ۖ


Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman [dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir], padahal Sulaiman tidak kafir [tidak mengerjakan sihir], hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir [mengerjakan sihir]. Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat dinegeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan [sesuatu] kepada seorang pun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan [bagimu], sebab itu janganlah kamu kafir". - (Al-Baqarah ayat 102...)

Diriwayatkan, keduanya diturunkan ditanah Babylon (Iraq) dan menetap disitu dikalangan insan. Malaikat yang kejadiannya memang hebat, berilmu tinggi samawi serta jujur yang kini hidup berintegrasi dengan insan mula mengajar insan akan rahsia-rahsia ilmu pengetahuan yang tidak diketahui oleh insan. Dipesannya agar menggunakan ilmu-ilmu ini buat kebaikan membina kehidupan insan, namun disamping itu, para syaitan juga berminat padanya. Tambahan kebanyakkan ilmu-ilmu tersebut dilihat merupakan peluang untuk syaitan memesongkan insan, maka para syaitan pun gigih menokok-tambah sehinggalah lahir ilmu sihir yang beribu jenis.

Harut dan Marut pula yang hidup dikalangan insan sebagai insan, terperangkap dalam jasad yang nalurinya berhawa-nafsu, berkenalan dengan seorang wanita jelita. Sehinggalah terjadi dimana keduanya menaruh nafsu pada wanita tersebut dan mahu menidurinya. (Lazimnya, perkara sebegini tidak akan terjadi kerana perbezaan kejadian antara malaikat dengan insan, tetapi dalam kes ini, kedua-dua malaikat ini dijadikan sepenuhnya seperti keadaan insan agar mereka hidup dikalangan insan dan menyedari perbezaan anatara insan dengan malaikat yang mana biarpun insan berakal tetapi berhawa nafsu membuatnya selalu memilih jalan yang silap).

Siwanita jelita tetapi jahat, ada yang menamakannya az-Zuharah, memberitahu Harut-Marut, sekiranya keduanya mahu meniduri dirinya, wajarlah pertamanya mensyirikkan Allah kerana wanita tersebut sendiri adalah seorang musyrik. Namun ini ditolak oleh kedua malaikat tersebut, lalu siwanita memberitahu, sekiranya mereka tidak mahu mensyirikkan Allah, cukup sahaja mereka membunuh bayi yang dilahirkannya dari perzinaan. Namun ini juga tidak mahu dilakukan dan akhirnya wanita tersebut hanya mengajak Harut dan dan Marut meminum arak yang menyebabkan kedua malaikat tersebut mabuk, membunuh sibayi dan meniduri wanita tersebut.

Bila tersedar dari mabuknya, Harut dan Marut menyedari akan dosa kesilapan yang amat besar dilakukan oleh mereka lantaran hawa nafsu seperti insan yang dimiliki. Keduanya memohon keampunan kepada Allah dan bersedia disiksa selamanya sehinggalah dihari perhitungan dimana mereka tidak akan diperhitungkan.

Imam Ahmad dalam Musnadnya (2/134) meriwayatkan dari Ibnu Umar bahawasannya beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Nabi Adam as, ketika hendak diturunkan oleh Allah kebumi, para malaikat berkata: “Ya Allah, apakah Engkau akan menjadikan sebagai pemimpin orang yang biasa melakukan kerusakan di muka bumi, juga mengalirkan darah, sementara kami biasa bertasbih memuji dan mensucikanMu. Allah berfirman: “Aku lebih tahu apa yang kalian tidak ketahui”.

Para malaikat berkata kembali: “Tuhan kami, kami lebih patuh dan taat kepadaMu dari pada keturunan Adam”.

Allah lalu berfirman: “Kalau demikian, cuba pilih dua malaikat yang paling taat yang akan diturunkan kebumi, dan lihat apa yang akan dilakukan oleh keduanya”.

Para malaikat menjawab: “Tuhan kami, ini pilihan kami, Harut dan Marut”.

Kedua-duanya lalu diturunkan ke bumi. Tidak lama kemudian, diciptakan seorang wanita sangat jelita bernama, az-Zuharah, yang mendatangi keduanya. Keduanya menjadi terpesona dan kagum dengan kejelitaannya sehinggakan kedua-duanya berhajat untuk berzina dengannya.

Wanita tersebut menolak dengan berkata: “Daku tidak akan melakukannya, kecuali kamu berdua menyebut kata-kata syirik kepada Allah”.

Demi Allah, kami tidak akan pernah berbuat syirik kepada Allah sedikit pun dan buat selamanya”, jawab Harut dan Marut.

Wanita tersebut kemudiannya pergi dan datang kembali dengan membawa seorang bayi dengan menyatakan sekiranya kedua malaikat tersebut mahu meniduri dirinya, maka mereka harus membunuh bayinya. Kedua malaikat tersebut menjawab: “Demi Allah, kami tidak akan melakukannya dan kami tidak akan membunuh siapa pun buat selamanya”.

Wanita tersebut pun berlalu pergi dan tidak lama kemudian datang kembali dengan membawa minuman arak untuk dihidangkan pada Harut dan Marut sambil berkata sekiranya kedua-duanya mahu meniduri dirinya, mereka haruslah meminum arak yang dibawanya. Keduanya lalu meminum arak tersebut, sampai keduanya mabuk, dimana kemudian, kedua-duanya membunuh bayi tersebut dan juga meniduri wanita tersebut.

Ketika keduanya sedar dari mabuk, wanita tersebut berkata: “Kamu berdua tidak mahu melakukan sesuatu yang aku tawarkan tadi, kecuali kini kamu berdua telah melakukan semuanya ketika kamu mabuk”.

Lalu dipilihkan untuk kedua malaikat tersebut antara siksa dunia dan siksa akhirat. Harut dan Marut pun lebih memilih siksa dunia” (HR. Ahmad).

Hadith diatas, menurut para ulama, seperti Ibnu Katsir, satu-satunya hadith yang marfu’ sampai kepada Rasulullah s.a.w tentang kisah Harut dan Marut. Hanya sahaja, hadits diatas dinilai sebagai hadith dhaif oleh para ulama hadith, kerana didalam sanadnya ada perawi bernama Musa bin Jubair, yang oleh para ulama hadith seperti Imam al-Haitsami dalam Majmauz Zawaid, Ibnu Katsir dan Ibnu Asyur dalam tafsirnya menilai sebagai perawi yang dhaif.

Dalam mana, hadith dhaif bukanlah bermakna hadith palsu atau tertolak (mardud), hanya terdapat dikalangannya seorang perawi yang dilihat sebagai seorang yang lemah hafalan atau sering melakukan kesilapan dalam penyampaian. Dimana juga telah disampaikan oleh jumhur ulama terdahulu, hadits dhaif boleh dipakai dalam bab targhib atau bab yang bukan berkaitan dengan aqidah. Seperti kisah-kisah Israel boleh didengar dan disampaikan selama-mana ianya tidak bercanggah dengan Islam dan tidak disabitkan dengan Rasulullah s.a.w sekiranya Rasulullah s.a.w sendiri tidak bersabda sebegitu. Wallahuallam.

Manakala akan tentang Nabi Sulaiman dituduh melakukan sihir adalah dinyatakan bahawa semasa hidup Nabi Sulaiman, iaitu dimana kekerajaannya meliputi insan dan jin, didapati beliau akan terdapat kalangan syaitan yang melakukan sihir lalu segala berkenaan ilmu sihir dihapuskan dengan ditanam dibawah istana beliau yang dikawal oleh para pengawal yang perkasa. Namun setelah nabi Sulaiman wafat, para syaitan membongkar simpanan ini dan menyebarkan kembali ilmu sihir disamping menyatakan bahawa itu adalah dari ilmu-ilmu Nabi Sulaiman. Tuduhan ini ditentang dengan penyataan ayat ini, iaitu: “Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman [dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir], padahal Sulaiman tidak kafir [tidak mengerjakan sihir], hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir [mengerjakan sihir].“



Bersambung...






Friday

Dunia jin - 5




Biarpun dunia jin adalah parallel dengan dunia insan namun tidak akan berlaku generasi kacukan antara keduanya. Ini kerana, keduanya amat jauh berbeza dari sudut kejadiannya. Seperti perbezaan antara mahluk-mahluk yang wujud iaitu antara malaikat, jin, insan mahupun haiwanat yang tidak akan berlaku generasi kacukan dari perbezaan ini.

Menyatakan "orang bunian" adalah generasi dari kacukan insan dan jin adalah suatu penyataan yang tidak benar dan tiada berfakta langsung. Orang bunian adalah sebenarnya panggilan untuk jin dalam kamus bahasa Melayu. Mungkin ada yang menyatakan terdapat individu yang menetap dipenempatan orang bunia atau jin sehinggakan dikatakan terjadi perkahwinan antara individu tersebut dengan salah seorang jin wanita tetapi tidak melahirkan zuriat. Bagaimana pun, perkara ini juga amat dicurigai kebenarannya kerana masakan seorang insan akan mengahwini kuda atau seekor rusa berkahwin dengan seekor singa contohnya.

Rupa insan dan jin adalah berbeza bukan sahaja dari sudut kejadian, malah dari rupa bentuk fizikalnya. Mungkin terdapat kalangan jin yang berilmu untuk menjelmakan dirinya kealam insan dalam bentuk fizikal sebagai seorang insan, namun penjelmaannya bukanlah hakikat tetapi berbentuk singkat. Yang lazimnya berlaku dari penjelmaan jin kedalam dunia nyata insan, hanyalah dari anggapan gambaran bayangan insan yang dimanipulasikan oleh syaitan. Sebagaimana contohnya seseorang yang mendakwa melihat hantu pontianak, adalah kerana dirinya yang membayangkan sesuatu sebegitu dan bayangannya ini dimanipulasikan oleh syaitan sehingga menjadi kenyataan bagi dirinya akan kewujudan hantu pontianak.

Atau seseorang yang menganggap sekian-sekian batu, patung dan lain-lain mempunyai sesuatu kekuatan, sedangkan tidak, tetapi atas anggapan ini, syaitan menampilkan seakan sesuatu yang tiada kuasa itu menjadi sesuatu yang ada kuasa sehinggalah insan tenggelam dalam dunia dusta anggapannya dan tergelincir dari jalan kebenaran.

Penguasaan keatas anggapan bayangan insan ini juga berlaku didalam berbagai cabang kehidupan seharian insan, selama mana ia dapat membantu syaitan memesongkan insan. Seperti dari cabang pelajaran, yang ada kalangan insan menganggap bahawa insan berasal dari monyet sehinggalah kecabang seni yang mana ramai mereka menganggap bahawa dengan melakukan sekian-sekian aksi seperti menonjolkan aurat mahupun keterampilan akan keglamouran mereka akan membuat mereka mencapai kejayaan, lalu syaitan membantu sehingga apa yang dianggap itu adalah suatu kebenaran, sedangkan sebaliknya, semua itu adalah suatu yang membawa kearah terpesong dari kebenaran.

Berbalik akan mustahilnya terjadi kacukan antara insan dan jin, ini adalah suatu sunnah fitrah alam yang dijadikan oleh Allah. Bagaimana pun, insan wajar berhati-hati agar benih zuriatnya tidak dikorup oleh syaitan seperti ketika insan hendak berjimak antara suami-isteri, wajar membaca doa untuk dilindungi dari syaitan.

"Bismillah. Allaahumma jannibnaash syaithaa-na wa jannibish syaithaa-na maa razaqtanaa".

- Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah kami berdua (suami-isteri) dari gangguan syaitan serta jauhkan pula syaitan itu dari apa saja yang Engkau rezekikan kepada kami.

Dari Abdulah Ibnu Abbas r.a.: Maka sesungguhnya apabila ditakdirkan dari suami-isteri tersebut mendapat seorang anak dalam persetubuhan itu, tidak akan dirosak oleh syaitan selama-lamanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Doa ini bukan bermakna, mereka yang tidak membaca doa ini, maka syaitan pun berjimak sama sehingga anak yang lahir adalah anak kacukan antara syaitan dan insan tetapi bermakna kemungkinan unsur-unsur jahat dapat diselitkan kedalam benih insan yang tidak membaca doa memohon perlindungan dari Allah sehinggalah bila lahirnya anak tersebut, maka tersemadi didalam dirinya sesuatu unsur gangguan yang dapat dimanipulasikan oleh syaitan.

Unsur-unsur jahat yang boleh diselit kedalam benih bayi yang terhasil dari persetubuhan suami-isteri adalah seperti contohnya hari ini, pada sesuatu gen tersebut, dapat diubah-suaikan dengan membawa sesuatu unsur yang lain kedalamnya dimana proses ini dipanggil gen manipulasi atau GMO iaitu organisma terubah suai secara genetik (genetically modified organism). Proses ini adalah keupayaan untuk mengabung molekul DNA daripada pelbagai sumber menjadi satu.

Gen, iaitu asal dari bahasa Belanda adalah merupakan unit pewarisan bagi organisme hidup. Keseluruhan maklumat bagi struktur dan fungsi sesuatu organisma dikodkan dalam gennya. Bagi sesetengah maklumat yang dikodkan oleh gen menentukan hanya satu ciri, tetapi sesetengah lokus (lokasi - posisi gen pada sebuah kromosom ) bagi gen yang sama boleh membawa maklumat yang berlainan. Gen yang mempunyai maklumat yang berlainan pada lokus yang sama dinamakan alel (merupakan bentuk-bentuk alternatif dari gen pada suatu lokus) Berlainan maklumat adalah contohnya datang dari sebelah siayah juga dari sebelah diibu. Sedang gen manipulasi adalah unsur lain atau luaran yang dimasukkan untuk menghasilkan sesuatu keputusan lain yang dikehendaki.

Sebegitulah, tanpa membaca doa memohon perlindungan Allah dari syaitan, kemungkinan besar menyebabkan syaitan-syaitan berupaya menyelitkan unsur-unsur negatif kedalam benih-benih insan, contohnya sifat angkuh dimana bayi yang membesar ini mudah sahaja menzahirkan sifat angkuhnya dibawah bisikan syaitan, tambahan pula tidak dididik agar mengawal keangguhannya atau tidak dididik bersifat tawaduk.

Bersambung...

Btn_blue_77x28

open source - sumber terbuka

Mana-mana coretan yang dikira baik, dibenarkan mengambil (copy-paste) tanpa perlu bertanya tuan blog ini. Manakala mana-mana coretan yang terdapat kesilapan, mohon ribuan kemaafan dari tuan blog ini. - " Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya "

Coretan lalu

zar4art

Bayan

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

Waktu sholat

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Salam damai